Jumaat, 5 Januari 2024 | 9:46am
Foto hiasan. - Foto fail NSTP
Foto hiasan. - Foto fail NSTP

Masyarakat celik kewangan kurangkan jurang pendapatan

Baru-baru ini, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendedahkan bahawa majoriti rakyat Malaysia mempunyai literasi kewangan yang agak lemah. Perkara ini amat membimbangkan kerana ia semestinya akan memberi kesan yang buruk kepada kesejahteraan kewangan rakyat, terutama ketika mendepani situasi mencabar dan tidak dijangka.

Literasi kewangan adalah satu pengetahuan dan kemahiran seseorang untuk menguruskan kewangan serta membuat keputusan kewangan dengan secara bijak. Literasi kewangan yang lemah akan menyebabkan masyarakat kurang memahami aspek penting dalam pengurusan kewangan, seperti asas menyimpan wang, menguruskan hutang, atau melabur dengan bijak.

Sebelum ini, kaji selidik Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan 75 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai wang simpanan sekurang-kurangnya RM1,000 dan majoriti mereka langsung tidak mempunyai tabung kecemasan sekurang-kurangnya antara tiga hingga enam bulan pendapatan.

Hal ini agak menggerunkan, seakan-akan memberi gambaran mereka langsung tidak memikirkan kemungkinan bakal dihadapi seperti masalah kesihatan, kehilangan sumber pendapatan atau kecemasan keluarga yang boleh menggugat kestabilan kewangan mereka.

Apabila seseorang itu mempunyai literasi kewangan yang lemah, mereka tidak dapat membezakan antara keinginan dan keperluan ketika berbelanja. Jadi mereka cenderung untuk berbelanja tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

Hal ini sebenarnya tidak begitu luar biasa kerana boleh dikatakan ramai rakyat Malaysia tidak merancang perbelanjaan dengan memberi keutamaan kepada perkara yang lebih penting. Malah, mereka berbelanja mengikut nafsu sehingga melebihi kemampuan sedia ada. Kesannya, mereka lebih mudah terjebak dengan bebanan hutang.

Ramai dalam kalangan masyarakat gagal melunaskan bayaran pinjaman yang dibuat, terutama pinjaman peribadi, perumahan, sewa beli kenderaan, selain terbeban dengan timbunan hutang kad kredit. Kegagalan menguruskan hutang boleh mengheret mereka kepada kemuflisan. Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan sebanyak 264,127 jumlah kes kebankrapan sehingga April 2023 dan majoritinya adalah berpunca daripada kegagalan melunaskan hutang.

Hal ini menjelaskan kepada kita, pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan adalah amat penting bagi membantu seseorang itu membuat perancangan kewangan dengan bijak. Sebelum ini, kerajaan pernah melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019–2023. Matlamat utama strategi itu adalah untuk meningkatkan Pendidikan dan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Namun, tidak semua pelan strategik dijalankan sebaiknya.

Guna khidmat perancang kewangan

Justeru, pelbagai pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk membantu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pengurusan kewangan yang baik. Konsep celik kewangan ini perlu diterapkan dalam sistem pendidikan melalui mata pelajaran Ekonomi, Matematik atau subjek baharu misalnya Kewangan yang diajarkan di sekolah. Dalam hal ini, konsep kewangan perlu dipermudahkan supaya individu yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang berkenaan dapat memahami dengan mudah. Usaha ini menggalakkan generasi muda mempelajari aspek penting dalam pengurusan kewangan pada usia muda.

Perkembangan teknologi semasa juga perlu digunakan dengan sebaik mungkin menerusi peningkatan akses orang ramai kepada maklumat, alat kewangan serta sumber berkaitan pengurusan kewangan. Maklumat untuk meningkatkan kesedaran kewangan perlu disebar dan disampaikan dalam bentuk mesej yang ringkas dan padat melalui pelbagai saluran, termasuklah media sosial, platform digital serta secara bersemuka.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia amat digalakkan untuk mendapatkan nasihat kewangan daripada pakar bertauliah bagi membantu mereka membuat pelan dan perancangan yang sesuai. Sesuai dengan peredaran zaman, urusan mengendalikan kewangan tidak lagi mudah kerana keperluan kewangan akan berubah mengikut situasi semasa.

Justeru, khidmat perancang kewangan amat diperlukan oleh rakyat untuk membantu mereka mengurus dengan baik. Keupayaan menguruskan kewangan dengan bijak adalah satu kemahiran yang harus dimiliki oleh setiap individu supaya mereka boleh mencapai matlamat kewangan yang diingini.

Oleh itu, usaha untuk melahirkan masyarakat yang celik kewangan perlu diperkukuhkan. Apabila wujud ramai individu yang celik kewangan, jurang pendapatan dapat dikurangkan dan kemajuan negara dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia.

Penulis adalah daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X