Sabtu, 30 Disember 2023 | 11:10am

Masyarakat perlu celik ilmu urus hutang dengan bijak

KEBANYAKAN kita hidup dengan menanggung hutang. Bagaimanapun ia bukan hal buruk jika ia mampu dikawal dengan baik. Apa yang menjadi kerisauan apabila kita berhutang di luar kemampuan.

Bagaimanapun secara umumnya berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM), hutang isi rumah masih berada pada tahap yang boleh dikawal. Bagaimanapun dalam jangka panjang ia akan memberi kesan negatif sekiranya langkah pemulihan tidak diambil kira. Hal ini mampu dijangka kerana berdasarkan iklim ekonomi semasa, pertumbuhan pendapatan isi rumah agak lemah dan kenaikan harga yang tidak selari.

Justeru, sebahagian daripada masyarakat terhimpit dengan keadaan ini, namun ia seharusnya tidak menyebabkan kita berhutang melebihi pendapatan.

Namun, bagi sesetengah anak muda disebabkan tiada ilmu merancang kewangan yang baik, ramai perlu menanggung beban hutang melebihi pendapatan. Menambah beban apabila pergerakan semasa kadar faedah pinjaman di pasaran tidak menyebelahi. Risiko kenaikan kadar faedah secara langsung meningkatkan kos hutang dan seterusnya mengurangkan pendapatan boleh guna.

Peningkatan hutang juga ada kalanya disebabkan rekod pembayaran balik pinjaman kurang baik disebabkan jumlah yang banyak. Perkara ini berlaku kerana tahap pengetahuan rakyat Malaysia dalam pengurusan kewangan masih lemah. Sebagai contoh, pinjaman kad kredit yang mudah diperoleh mudah menggoda individu untuk mengambil pinjaman tanpa pertimbangan matang terkait kemampuan untuk membayar balik.

Dalam sesetengah kes kita memang perlu berhutang misalnya membabitkan pembelian hartanah atau kenderaan. Namun, terdapat jenis hutang tidak perlu apatah lagi jika membabitkan gaya hidup, selain itu kita harus tahu merancang kewangan dan mengurus hutang dengan baik. Ini membabitkan pemilihan jenis hutang yang sesuai, mengurus pembayaran tepat pada masanya dan memahami implikasi jangka panjang setiap kewajipan kewangan. Pemahaman yang baik mengenai hutang isi rumah membantu individu membuat keputusan yang bijak dan meminimumkan risiko kepada kestabilan kewangan mereka.

Ibu bapa perlu tunjuk teladan baik

Dalam hal ini pendidikan kewangan seharusnya diterapkan pada awal usia dan dimulakan di rumah supaya ia menjadi tabiat. Justeru, ibu bapa sewajarnya menunjukkan teladan yang baik dan memainkan peranan penting dalam menanam sikap bertanggungjawab terhadap kewangan selain memupuk tabiat menabung sejak kecil.

Kita juga perlu tahu bahawa pentingnya mengurus hutang dengan faedah paling tinggi terlebih dahulu kerana ia boleh membantu anda mengurangkan kadar bunga dan membantu anda menyelesaikan hutang dengan lebih cepat. Hutang dengan kadar faedah tinggi biasanya dalam kategori kad kredit atau pinjaman peribadi.

Oleh itu dengan mengurangkan jumlah hutang kadar faedah tinggi dapat mengurangkan jumlah wang perlu dibayar secara keseluruhan. Di Malaysia juga terdapat agensi seperti Agensi Kaunseling Pengurusan Kewangan (AKPK) dan Perlindungan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dalam membantu masyarakat meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan kewangan yang baik.

Dalam isu pengurusan kewangan yang baik, kita tidaklah hingga ke tahap perlu menjadi pakar kewangan atau jutawan. Apa yang diutamakan adalah meningkatkan pengetahuan berkaitan kewangan dengan adanya perancangan teliti dan disiplin tinggi.

Hal ini kerana pengurusan kewangan peribadi sememangnya mempengaruhi gaya hidup seseorang individu. Namun, terdapat pelbagai kaedah boleh dilakukan supaya kewangan peribadi dapat diuruskan secara bersistematik. Menyedari pentingnya perancangan kewangan, kita juga mestilah sentiasa berhati-hati dalam perbelanjaan supaya tidak terjerumus dengan hutang.

Penyelesaian isu hutang isi rumah juga memerlukan pendekatan menyeluruh daripada pelbagai pihak. Kerajaan, institusi dan organisasi kewangan perlu bekerjasama untuk menyediakan pendidikan lebih baik dengan memastikan capaian adil kepada produk kewangan, selain menyediakan perlindungan terhadap pengguna.

Langkah ini akan membantu mewujudkan masyarakat lebih bijak dari segi kewangan, yang boleh menguruskan hutang mereka dengan baik dan menyumbang kepada kestabilan ekonomi secara keseluruhan.

Isu hutang sebenarnya menuntut kita celik ilmu, kemampuan mengurus hutang dengan lebih bijak supaya keperluan di tahap utama melepasi kehendak, selain membina asas kewangan yang kukuh untuk masa hadapan.

Alissya Izzati Mohd Hisyam,
Universiti Malaysia Terengganu

Berita Harian X