Rabu, 27 Disember 2023 | 11:32am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Guru, ibu bapa main peranan penting banteras buli di sekolah

Kes buli bukan perkara baharu di Malaysia, malah lebih menyedihkan ia banyak dilaporkan berlaku dalam kawasan sekolah. Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), tahun ini terdapat peningkatan insiden buli dengan sebanyak 4,994 kes direkodkan bagi 10 bulan pertama tahun ini berbanding 3,887 tahun lalu.

Buli adalah tindakan dengan niat untuk menyakiti dan memberikan tekanan kepada seseorang. Terdapat tiga jenis buli iaitu secara fizikal seperti memukul, ancaman misalnya memeras ugut dan lisan membabitkan ejek-mengejek atau cemuhan.

Antara faktor yang kerap dikatakan sebagai punca seseorang pelajar untuk membuli adalah sikap ibu bapa yang tidak memainkan peranan secukupnya untuk mendidik anak di rumah. Kita akui, rumah adalah madrasah pertama seorang anak. Di situ dia diajar adab dan akhlak, malah anak menjadi manusia pada peringkat awalnya dengan didikan ibu bapa.

Bak kata pepatah anak adalah kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak anak.

Jadi dalam membentuk sikap anak yang baik, ibu bapa juga mesti meluangkan waktu berkualiti bersama mereka. Ibu bapa menjadi tempat si anak mengadu pelbagai masalah, berkongsi cerita dan meraih perhatian.

Namun, meletakkan kesalahan kepada ibu bapa sepenuhnya juga bukan mudah. Corak hidup dan kemampuan sesebuah keluarga itu tidak sama jadi masing-masing mempunyai kaedah terbaik dalam mendidik anak. Jadi anak perlu belajar menghargai dan cepat matang dalam menangani pelbagai isu.

Bagaimanapun sebagai ibu bapa kita juga perlu peka dengan anak. Misalnya, secara umum mangsa buli akan berasa takut ke sekolah. Pembuli akan sentiasa mencari jalan membuli, jadi mangsa lebih rela tidak ke sekolah. Ini akan mengganggu pelajaran. Mereka tidak lagi fokus dengan pembelajaran.

Mangsa buli juga akan berubah menjadi pasif, tidak ceria dan takut untuk berkomunikasi dengan rakan dan guru, sebaliknya lebih suka menyendiri. Jadi ibu bapa atau guru perlu lebih peka untuk menyedari perubahan sikap mereka. Dalam konteks lebih luas, kejadian buli perlulah dipandang serius oleh masyarakat kerana ia mampu memberikan kesan negatif kepada mangsa.

Didikan agama, moral pupuk sifat prihatin

Langkah perlu diambil oleh ibu bapa untuk mengelakkan anak mereka menjadi pembuli di sekolah ialah dengan memberikan didikan sempurna di rumah. Didikan yang sempurna ini bermaksud memberikan mereka ilmu agama dan moral, selain menanamkan pemikiran positif dan prihatin terhadap orang lain. Hal ini dapat membentuk akhlak mereka dengan lebih baik dan terhindar daripada perbuatan negatif seperti membuli.

Selain itu, ibu bapa hendaklah menjadi pendengar yang baik. Ibu bapa perlu meluangkan masa bersama anak dengan mengadakan aktiviti riadah untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Guru bimbingan dan kaunseling juga perlu memainkan peranan penting. Guru hendaklah lebih aktif dalam mengesan mangsa buli dan memberikan kaunseling kepada mangsa. Hal ini dapat memulihkan semangat mangsa buli dan mereka lebih yakin untuk melaporkan kes buli.

Pada masa sama, tindakan disiplin dan undang-undang ke atas pembuli hendaklah dikaji dan dimurnikan semula. Hal ini penting kerana anak kebanyakan masih dalam proses pembentukan jadi pendekatan menangani kes ini perlu dibuat dengan hikmah.

Penulis adalah Nurul Nadhirah Ahmad Sabri, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X