Sabtu, 23 Disember 2023 | 8:40am

Berpoligami ikut syariat, bukan nafsu elak mudarat rumah tangga

PADA dasarnya Islam membenarkan poligami dengan syarat ketat. Poligami bukan hanya untuk dorongan nafsu dan keinginan semata-mata, sebaliknya lelaki yang ingin berpoligami perlu mematuhi prosedur ditetapkan untuk sentiasa berlaku adil dan tidak menzalimi hak atau kewajipan kepada setiap isteri juga anak-anaknya.

Maksudnya, lelaki tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan poligami. Dalam surah An nisa ayat tiga dijelaskan, Islam sudah memperbaiki martabat wanita jika dibandingkan dengan amalan poligami pada zaman jahiliah. Poligami hanya boleh dilakukan jika lelaki itu memenuhi syarat yang sudah jelas dinyatakan dalam al-Quran iaitu mampu berlaku adil.

Keadilan ini meliputi beberapa aspek, termasuk adil terhadap nafkah zahir dan batin, pembahagian masa bersama, penjagaan hak isteri serta anak, selain memberikan pendidikan terbaik kepada semua.

Namun, sering hal ini gagal difahami dengan sempurna menjadikan isu poligami dilihat penuh ketidakadilan kepada agama itu sendiri. Lebih malang gara-gara ingin berpoligami, kebajikan isteri terabai malah ada yang dimadukan ketika hamil malah hingga ke tahap bercerai-berai.

Oleh itu, ada lelaki sanggup berpoligami secara sembunyi atau berkahwin di negara lain tanpa persetujuan isteri pertama dan tidak mendaftarkan perkahwinan kerana menganggap urusan itu amat rumit untuk diselesaikan. Hal ini jelas membuktikan poligami mengancam kesetiaan perkahwinan bagi seorang suami dan isteri.

Berdasarkan laporan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), statistik pasangan berpoligami tanpa kebenaran ini lebih ramai daripada mereka yang membuat permohonan. Sejak empat tahun tahun lalu, 1,617 pasangan berpoligami tanpa kebenaran di Selangor.

Apa yang silap, poligami selalu dilihat sebagai lambang kemegahan, kekuatan dan kekayaan seseorang lelaki kerana mampu memiliki ramai isteri. Barangkali isu poligami ini turut mewujudkan ramai kelompok manusia yang menyokongnya kerana perbuatan ini dianggap baik di sisi agama, berfungsi untuk menaikkan imej dan prestij seorang ketua keluarga, namun poligami juga ditolak secara jelas oleh sesetengah individu.

Penderaan mental kepada isteri

Poligami ditentang kerana dilihat sebagai bentuk penderaan mental kepada isteri dan menggugat kesetiaan suami. Justeru, poligami tanpa kebenaran adalah salah di sisi undang-undang keluarga Islam kerana boleh mendatangkan kemudaratan dan ketidakadilan dalam rumah tangga.

Banyak faktor boleh dikaitkan sebagai punca poligami, tetapi ada satu yang biasa disebut iaitu ia diterima sebagai satu tradisi atau kepercayaan agama membolehkan seorang lelaki memiliki lebih daripada satu pasangan. Bagi faktor agama pula, kebenaran berpoligami selagi tidak bercanggah dengan syariat diharuskan untuk kesejahteraan semua pihak iaitu ahli keluarga terbabit, masyarakat dan negara.

Oleh itu golongan yang menyokong perkahwinan poligami kuat berpegang dengan faktor 'keharusan' itu apabila mereka mampu untuk berlaku adil. Apatah lagi jika lelaki mampu dari sudut ekonomi.

Tuntasnya poligami boleh mendatangkan impak negatif kepada semua yang terbabit kerana membabitkan isu perasaan, keadilan, kesamarataan dan kesetiaan yang perlu dititikberatkan suami. Poligami menjadikan isteri hilang kepercayaan kepada suaminya. Selain itu, poligami yang dilakukan seolah-olah mengabaikan emosi atau perasaan isteri dan anak kerana lumrah seorang wanita diciptakan dengan sifat kelembutan, selain mudah mengutarakan perasaan. Impaknya seorang isteri akan berasa kecewa atau marah jika dia dikhianati dan dinafikan sejak sekian lama.

Pada era modenisasi ini, amalan poligami dalam masyarakat moden perlu dikawal dengan baik supaya tidak berlaku penyelewengan daripada pihak suami ke atas isterinya. Sebagai contoh pihak mahkamah boleh mengenal pasti kemampuan seorang lelaki yang membuat permohonan untuk berpoligami sebelum ia diluluskan mengikut undang-undang.

Hal ini demikian kerana poligami bukan semata-mata untuk cinta dan keseronokan, namun membabitkan juga tanggungjawab baharu yang lebih besar kepada si lelaki. Ingat setiap tanggungjawab yang dipikul akan dipersoal kembali di akhirat.

Siti Hajar Masrukin
Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X