Rabu, 22 November 2023 | 11:25am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Cakna maklumat keselamatan siber elak kebocoran data peribadi

Media sosial adalah medium yang paling kerap kita gunakan untuk berinteraksi dengan dunia luar, selain mendapatkan sebarang informasi. Ramai menggunakan media sosial sebagai sumber maklumat utama kerana beranggapan lebih cepat menyebarkan maklumat.

Namun, tanpa pengetahuan dan kesedaran mengenai keselamatan siber, risiko sangat mudah untuk berlaku kebocoran data peribadi. Ini disebabkan masih ramai yang tidak mengamalkan tatacara atau penggunaan media sosial yang betul bagi mengelak diri daripada serangan siber.

Sebelum ini kita pernah digemparkan dengan berita penjualan data rakyat Malaysia di alam siber. Laporan media pada 2022 menyebutkan, kes kecurian maklumat peribadi mencecah sehingga 100 juta set data dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Hal ini berlaku apabila penggodam mengambil data peribadi pengguna dan menjualnya di jaringan gelap. Nilai untuk jualan data peribadi amat tinggi.

Antara teknik yang selalu digunakan penggodam untuk mencuri data peribadi adalah phishing. Menerusi teknik ini pengguna menerima mesej atau e-mel yang menyamar sebagai organisasi dikenali umum dan meminta mereka berkongsi maklumat peribadi seperti nombor kad kredit bank, akaun atau kata laluan pengguna.

Untuk menjayakan proses pengambilan data ini, mereka mendapatkan kepercayaan dengan mengarahkan mangsa ke laman web yang dinyatakan. Setelah mangsa berkongsi maklumat peribadi mereka, penjenayah menggunakan maklumat peribadi yang diterima untuk tujuan jahat.

Tapis maklumat diterima

Jadi, sebagai pengguna langkah yang boleh diambil bagi mengelak kebocoran data peribadi ini adalah perlu sentiasa memastikan mesej atau e-mel diterima datang daripada organisasi yang sah, e-mel diterima itu berkredibiliti.

Pengguna juga perlu memastikan pautan yang diterima mempunyai 'https' di awalannya kerana itu adalah cara untuk mengenal pasti ia selamat ataupun tidak. Jika pautan yang anda terima tidak mempunyai awalan https, sebaiknya abaikan sahaja.

Namun, sebenarnya terdapat banyak lagi kaedah yang boleh digunakan penggodam untuk mencuri data peribadi.

Justeru, anda harus bijak ketika melayari dunia siber dan jangan mudah berkongsi data peribadi. Usah terpedaya dengan janji dan tawaran manis yang di luar akal sihat. Elak diri daripada menjadi mangsa penjualan data peribadi.

Khairi Syafi Khairul Anuar,

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis

Berita Harian X