Selasa, 14 November 2023 | 10:31am
Foto hiasan. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Foto hiasan. - Foto NSTP/Faiz Anuar

Wujudkan kaedah berkesan pantau subsidi beras

Baru-baru ini negara kita dihangatkan dengan isu kenaikan harga beras yang mampu menjejaskan kehidupan setiap isi rumah. Isu ini jika tidak dikendalikan sebaiknya bukan hanya memberi impak kepada keluarga berpendapatan rendah, tetapi juga hampir semua lapisan masyarakat.

Justeru, kita dapat melihat kerajaan berusaha sedaya upaya untuk menanganinya, misalnya langkah pengumuman menyalurkan subsidi berjumlah RM400 juta kepada premis kerajaan seperti polis, kem tentera, asrama sekolah dan jabatan kerajaan lain yang menggunakan beras import bagi meningkatkan beras putih tempatan dalam pasaran.

Hal ini tentu sahaja dapat membantu bekalan beras putih tempatan dalam pasaran, sekali gus memenuhi keperluan pengguna.

Kenaikan harga beras ini sebenarnya perlu dilihat kepada asas ekonomi paling mudah, iaitu konsep permintaan dan penawaran. Justeru, dalam konteks beras putih tempatan, permintaannya mula meningkat disebabkan kejatuhan mata wang. Sebelum ini kebanyakan pengguna lebih gemar membeli beras import. Namun, kejatuhan mata wang menyebabkan harga beras import menurun dan menyebabkan ramai pengguna beralih kepada produk tempatan. Hal ini menyebabkan harga beras tempatan naik.

Selain itu, kita juga sedar mengenai desas-desus berlaku sorokkan stok oleh pihak tidak bertanggungjawab. Hal ini turut menjadi faktor kepada kenaikan harga beras.

Pertambahan populasi 

Selain faktor itu, pertambahan populasi turut menyebabkan permintaan terhadap barangan asas meningkat. Hal ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia.

Dalam konteks Malaysia misalnya, kita boleh melihat sekitar 1970-an, penggunaan beras dalam negara hanya 120kilogram (kg) untuk seorang dalam tempoh setahun. Jumlah berkenaan semakin meningkat pada hari ini sesuai dengan pertambahan populasi. Memburukkan lagi keadaan di beberapa negara pengeluar beras, mereka berhadapan dengan ancaman cuaca hingga jumlah tuaian merosot. Keadaan ini menyebabkan mereka bertindak menyekat dijual di pasaran luar negara.

Bagaimanapun secara asasnya selepas beberapa ketika, kita melihat kerajaan dapat mengawal keadaan. Malah, kemarahan rakyat berikutan harga beras yang meningkat juga dapat dikawal. Semua ini tentu disebabkan usaha kerajaan dan pelbagai pihak lain untuk memastikan beras yang menjadi keperluan asas rakyat negara ini mencukupi dan dijual pada harga terkawal.

Misalnya, kita turut melihat bagaimana Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut mengambil langkah lebih aktif dalam menghantar bekalan beras ke kawasan yang mengalami kekurangan keperluan asas.

Malah, di Sabah seperti dilaporkan media Presiden Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah, David Chan turut mengalu-alukan pemberian subsidi kerajaan terhadap pembelian beras di Sarawak dan Sabah. Langkah itu dapat membantu mengurangkan kos sara hidup yang dihadapi ketika ini.

Pemberian subsidi itu tentu sahaja akan mengurangkan harga beras import di pasaran lebih-lebih lagi ketika ini terdapat juga kenaikan harga barang keperluan lain yang memberi kesan kepada perbelanjaan bulanan.

Namun, pada masa sama kita berharap ada mekanisme sistematik bagi memastikan berlaku penyelarasan dan pemantauan oleh pihak berkaitan supaya subsidi dapat dilaksanakan secara berkesan, termasuk memastikan beras dijual mengikut harga ditetapkan dan bekalan sentiasa mencukupi.

Penulis adalah Siti Nur Arshira Muhammad, Universiti Malaysia Terengganu

Berita Harian X