Khamis, 8 Jun 2023 | 11:41am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Bantu, bimbing remaja elak jadi mangsa 'keseronokan sementara'

Isu remaja merokok sudah acap kali dicanangkan dan dilaporkan media, malah perkara itu juga dalam perhatian dan menjadi cabaran kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha menanganinya.

Berdasarkan kajian, trend merokok dalam kalangan remaja yang dijalankan KKM, didapati lebih 43,000 pelajar sekolah menengah adalah perokok.

Angka ini sebenarnya tidak boleh kita anggap mengejutkan kerana bagi kebanyakan remaja sekolah, mereka bukan hanya mengambil rokok konvensional, sebaliknya mereka juga cenderung untuk memilih rokok elektronik atau vape.

Perkara ini sebenarnya bukan luar biasa, kerana vape sangat mudah diperoleh di pasaran dan ia menjawab persoalan dari mana remaja sekolah mendapat bahan seperti itu.

Ramai daripada kita masih beranggapan vape lebih selamat jika dibandingkan dengan rokok konvensional, namun sebaliknya, apa yang kita tidak tahu kandungan bahan kimia dalam rokok elektronik sebenarnya juga merbahaya.

Rokok elektronik terbahagi kepada dua jenis, iaitu yang bernikotin dan tidak bernikotin. Kedua-duanya membawa kadar kemudaratan yang sama kepada kesihatan manusia, malah kedua-dua rokok elektronik ini berkongsi komponen utama iaitu bahan makanan sintetik yang disebut sebagai 'Propylene Glycol' dan 'Vegetable Glycerin' selain perisa serta pewarna.

Selain itu semua orang tahu, nikotin adalah bahan tembakau yang boleh menyebabkan ketagihan. Nikotin secara asasnya akan menghasilkan kesan kepada fisiologi tubuh manusia iaitu dengan memasuki sistem peredaran darah manusia melalui pertukaran gas di paru-paru. Proses ini hanya memerlukan kurang daripada 10 saat sahaja untuk menghasilkan kesan kepada tubuh manusia dengan organ utama yang dirangsang adalah otak.

Hasil rangsangan ini akan meningkatkan bahan kimia pembawa isyarat (neurotransmitter) digelar dopamine. Ia berfungsi memberi rasa kepuasan dan keseronokan seterusnya menyebabkan ketagihan. Propylene Glycol ini juga mempunyai kesan jangka panjang dan pendek kepada tubuh manusia.

Beri kesan kesihatan jangka panjang

Kesan jangka pendeknya ia akan menyebabkan masalah keradangan kepada mata, tekak dan saluran pernafasan. Kesan jangka panjangnya pula ia mampu menyebabkan penyakit asma disebabkan radang kepada sistem pernafasan.

Bagi Vegetable Glycerin ia adalah bahan sintetik yang lazim digunakan dalam sabun, krim muka dan produk lain. Ia disahkan selamat digunakan dalam konteks berkenaan, namun apabila anda menyedutnya ke dalam saluran pernafasan sebagai bahan vape, ia akan menyebabkan kesan jangka masa panjang terhadap kesihatan, selain mampu menyebabkan kerosakan kepada organ dalaman.

Namun, bukan dua bahan itu sahaja yang menghasilkan vape, sebaliknya cecair vape turut mengandungi bahan kimia termasuk nikel dan plumbum yang turut memberi kesan kepada kesihatan tubuh manusia.

Lebih membimbangkannya adalah dengan kewujudan bahan perisa dikenali sebagai 'Magic Mushroom. Perisa ini adalah cecair rokok elektronik yang dicampurkan dengan dadah iaitu psilocybin. Dadah jenis ini berada dalam senarai kawalan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Pengambilannya akan meninggalkan kesan halusinasi, keseronokan melampau atau mungkin menyebabkan tidak sedarkan diri.

Justeru, cadangan pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau atau RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 oleh KKM adalah wajar dan diperlukan.

RUU ini hanya akan dikuatkuasakan ke atas individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya. RUU mencadangkan hukuman denda RM500 yang akan dikenakan terhadap pembelian dan penjualan serta penggunaan produk rokok. Pengenalan RUU ini diharapkan dapat bantu mengurangkan generasi merokok yang mampu menggugat kesihatan.

Leong Chee Wei, Pelatih Penolong Pegawai Perubatan

Berita Harian X