Selasa, 23 Mei 2023 | 10:52am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Faktor persekitaran punca merokok usia muda

Masalah ketagihan rokok perlu ditangani dengan pendekatan yang komprehensif terutama orang muda. Hal ini bagi mengelakkan ia menjadi sesuatu yang tidak terkawal dan akhirnya merugikan bukan sahaja mereka, tetapi negara.

Pada dasarnya, ketagihan rokok adalah sesuatu yang sangat membimbangkan dan perlu diambil tindakan serta kawalan segera sebelum terjadi perkara lebih buruk. Seperti kita sedia maklum, ketagihan rokok bukan hanya membabitkan individu sahaja, tetapi juga mempengaruhi kesihatan masyarakat secara keseluruhannya.

Selain itu, impak negatif merokok juga boleh menjejaskan ekonomi dan mengganggu pembelajaran orang muda. Ketagihan rokok menyebabkan mereka tidak segan silu untuk membelanjakan wang yang banyak dan dalam masa sama menggadai kesihatan.

Kenikmatan merokok itu menyebabkan mereka lupa rokok mengandungi lebih 6,000 jenis bahan kimia berbahaya.

Justeru, kita memerlukan pendekatan lebih menyeluruh kerana kawalan kepada ketagihan rokok itu membabitkan pelbagai sektor.

Apa yang kita risaukan sebenarnya pembabitan pelajar terutama murid sekolah rendah. Mereka ini adalah kelompok perokok pasif. Mereka didedahkan dengan tabiat merokok oleh keluarga atau kawan di sekeliling.

Terdapat banyak kajian yang mendapati bahawa hampir 90 peratus murid dari Tahun Tiga hingga Enam mempunyai ahli keluarga yang merokok. Ini menyebabkan kanak-kanak itu berhadapan dengan risiko amat tinggi untuk mendapat penyakit berkaitan rokok terutama masalah paru-paru, meskipun mereka bukan perokok.

Merokok atas dasar ingin tahu

Justeru, apa yang lebih menakutkan pendedahan yang berterusan akan mencipta kecenderungan pula dalam diri mereka untuk turut merokok atas dasar ingin tahu. Malah, ia mungkin juga disebabkan kerana meniru perbuatan orang dewasa. Apatah lagi jika rokok mudah diperoleh, misalnya ayah atau abang mungkin juga datuk adalah perokok.

Oleh yang demikian, kita memerlukan tindakan dan kerjasama pelbagai pihak dalam membendung perkara ini. Antaranya, kerajaan boleh memperketatkan beberapa peraturan berkaitan penghasilan dan percukaian perusahaan rokok.

Namun, pendekatan ini perlu disokong dengan program pencegahan yang efektif, selain penerangan dan kempen kesedaran yang intensif mengenai bahaya rokok kepada kesihatan.

Justeru, pelbagai inisiatif juga hendaklah diambil bagi meningkatkan capaian kepada terapi penggantian nikotin dan bantuan psikologi bagi membantu mereka yang ingin berhenti merokok.

Selain itu, kita sebagai masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam usaha mengatasi masalah ketagihan rokok. Kita boleh mulakan dengan meningkatkan kesedaran dalam kalangan keluarga, rakan dan jiran tetangga mengenai bahaya dan kemudaratan rokok, selain mengamalkan gaya hidup sihat.

Muhammad Afif Syahmi Jamuri, Kuching, Sarawak

Berita Harian X