Rokok sudah menjadi sebahagian kehidupan manusia sejak sekian lama. Sejak abad ke-18, ia menjadi semakin komersial dan dikilangkan. Sekitar tahun 2003, rokok elektronik atau vape diperkenalkan di China.
Sejak itu ia berkembang dengan meluas, menyaingi rokok konvensional. Ramai orang beranggapan vape lebih selamat kerana asap disedut kononnya tidak 'membakar' paru-paru.
Namun apa yang pasti, vape mengandungi nikotin. Malah, perisa cecair nikotin yang ditawarkan mengandungi beberapa bahan kimia berbahaya seperti toluena, asetaldehid, benzena, kadmium, isoprena, nikel, plumbum dan N-nitrosonornicotine.
Sama seperti rokok, kandungan nikotin dalam vape akan mempengaruhi kelajuan degupan jantung dan menaikkan tekanan darah. Nikotin memberi kesan pada otak yang dengan rangsangan rasa lebih segar kepada pengguna.
Ini boleh diibaratkan seperti kesan hormon dopamin yang mengubah kimia otak bagi memberikan rasa ceria dan gembira. Namun apabila kesan rangsangan nikotin ini hilang, rasa gian akan datang kepada perokok sehingga timbul desakan dalam diri untuk perlu mendapatkannya kembali.
Inilah bahaya yang terjadi apabila kesan nikotin mengganggu sistem semula jadi badan apabila berjaya menggantikan dopamin. Rasa gian yang tidak normal ini menyebabkan pengguna ketagih mendapatkan nikotin bagi mengembalikan rasa normal atau feeling good.
Otak kanak-kanak dan remaja yang masih sedang berkembang paling terdedah kepada kesan berisiko ini. Kajian menunjukkan apabila individu mula merokok pada usia muda, mereka akan menjadi ketagih dan kekal sebagai perokok sehingga dewasa atau menua.
Hasil pendapatan daripada jualan vape mencapai berbilion ringgit dan semakin meningkat dari semasa ke semasa. Realitinya, rokok sahaja sudah mengakibatkan kematian lebih 27,000 rakyat Malaysia setiap tahun.
Kedai vape dibuka secara berleluasa
Secara teknikalnya, penjualan peranti vape yang berisi cecair nikotin adalah melanggar undang-undang. Cecair e-rokok bernikotin hanya boleh dijual oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952. Ironinya, kedai vape dibuka secara berleluasa dan terbuka.
Dalam perkembangan terkini, cecair nikotin, iaitu bahan utama produk vape bukan lagi bahan kawalan di bawah Akta Racun bagi memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan cukai produk vape.
Berkuat kuasa 1 April yang lalu, kerajaan mewartakan cukai bagi cecair nikotin untuk penggunaan vape dengan mengenakan RM1.20 setiap mililiter. Ini dikatakan sebagai langkah untuk mengurangkan penggunaan vape dalam masyarakat. Pada masa sama, pelaksanaan percukaian terbaharu ini akan memberikan tambahan ratusan juta ringgit kepada pendapatan negara.
Sebelum ini kerajaan sudah membelanjakan berbilion ringgit setahun bagi merawat pesakit yang menderita akibat merokok. Ini termasuk usaha daripada Kementerian Kesihatan yang menyediakan perkhidmatan di lebih 900 klinik berhenti merokok yang terdiri daripada klinik kesihatan, farmasi dan komuniti. Setelah pelbagai usaha dilakukan selama bertahun-tahun, kadar kejayaan berhenti merokok kekal rendah.
Maka, langkah pencegahan sentiasa lebih baik daripada merawat. Usaha untuk menghentikan tabiat merokok dan menghisap vape harus dilakukan dari awal dan secara serius oleh semua pihak termasuk tekad yang kuat daripada kerajaan.
Ketagihan rokok dan vape sudah dibuktikan dalam banyak kajian sebagai pembuka laluan kepada tabiat penyalahgunaan dadah dan bahan larangan. Maka, tabiat ini perlu dibendung dari awal.
Walaupun Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata bahawa beliau menyasarkan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi mengawal selia semua produk merokok dan vape pada persidangan Parlimen Mei ini, kerisauan masih tetap membelenggu ramai pihak.
Persoalannya, sejauh mana RUU ini dapat diluluskan oleh ahli Parlimen dan berapakah tempoh yang akan diambil untuk mewartakannya bagi pelaksanaan sebelum nasi menjadi bubur?
Tambahan pula, adakah RUU yang baharu ini akan dikuatkuasakan dengan tegas sehingga dapat membendung penjualan vape yang sudah tersedia jual berleluasa dan mudah didapati?
Negara berpotensi mengalami krisis kesihatan awam terbesar sekiranya berlaku peningkatan mendadak dalam kalangan golongan muda termasuk kanak-kanak yang mengalami ketagihan nikotin akibat vape dan rokok.
Isu ini perlu ada tindakan segera yang berkesan untuk mengawalnya sebelum membarah demi kesihatan generasi masa depan yang lebih baik.
asmin Maarof,
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media Pertubuhan IKRAM Malaysia