KITA menutup Ramadan 2023 dengan pelbagai cerita suka dan duka. Pelbagai kisah kita dengar sepanjang Ramadan baik pernikahan, perceraian, malah tidak kurang kematian yang menyayat hati.
Antaranya ketika Ramadan berbaki kurang seminggu kita dikejutkan dengan berita menyedihkan seorang wanita dalam pantang terkorban kerana menikam lehernya sendiri sejurus menerima panggilan telefon.
Berita ini amat mendukacitakan tambahan lagi mengenangkan bayi yang baru berusia 36 hari menjadi yatim. Sedangkan pada usia itu, dia pasti memerlukan belaian dan kasih sayang seorang ibu.
Jika kita telusuri rentetan berita seperti ini, sebenarnya ia bukan kali pertama berlaku. Malah, di seluruh dunia, ramai wanita ketika dalam pantang berhadapan pelbagai tekanan yang akhirnya membawa kepada kematian. Adalah lebih tragis jika anak kecil turut menjadi mangsa akibat ketidakstabilan emosi baik ibu mahupun si bapa.
Justeru, hal seperti ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk tidak kita ambil peduli. Pasangan dan keluarga pasti menjadi orang terpenting dalam membantu mereka yang mengalami masalah ketidakstabilan emosi seperti itu.
Namun, paling utama bagi pasangan suami isteri, janganlah kita terdorong untuk melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan emosi pasangan. Baik isteri, mahupun suami haruslah sentiasa berkomunikasi dengan cara berhemah untuk mengelakkan tragedi sedemikian berulang.
Resam hidup suami isteri pasti sahaja ada perselisihan faham, namun jika terjadi kawal perasaan. Jangan mengikut emosi, bertengkar dengan menunjukkan ego hingga akhirnya memakan diri.
Tidak kira apa puncanya, mungkin ia masalah peribadi atau rentetan ragam di tempat kerja, tetapi janganlah hingga menjejaskan hubungan kita sebagai pasangan. Apatah lagi jika pasangan berada dalam keadaan yang amat memerlukan sokongan seperti si ibu yang berpantang itu.
Keluarga pula haruslah sentiasa mengambil tahu akan satu sama lain. Janganlah kita asyik menggunakan alasan 'tidak berhak masuk campur urusan rumah tangga orang lain' kerana ia sebenarnya menambahkan luka yang sedia ada kerana sikap sambil lewa oleh ahli keluarga sendiri
Beri sokongan moral
Tidak menjadi salah sekiranya ahli keluarga saling menolong. Pertolongan tidak semestinya besar ia mungkin sekadar memberikan sokongan moral.
Begitu juga rakan terdekat seharusnya saling mengambil berat, walau sekadar bertanya khabar. Jaringan komunikasi dewasa ini seharusnya digunakan sebaiknya untuk tujuan ini, bukanlah hanya memerhati dari jauh melalui sosial media sahaja.
Tidak menjadi salah untuk meluangkan masa beberapa minit bertanya hal perihal orang terdekat kita yang mungkin kelihatan terbeban dengan emosinya.
Kita haruslah sentiasa peka dengan perubahan orang di sekeliling kita, apatah lagi dalam kalangan ahli keluarga atau sahabat terdekat. Ambil peduli dan hulurkan bantuan sekadar termampu supaya golongan seperti ini akan merasa masih ada yang ambil peduli dan sayang pada mereka. Sudah terlewat jika tragedi seperti ini berulang lagi yang kelak akan meninggalkan kesan buruk dan rasa kesal yang tak berpenghujung nanti.
Nurul Munirah Azamri,
UiTM Cawangan Perak