SEBAGAI sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya isu perpaduan, persefahaman dan keharmonian perlu sentiasa dipertingkatkan. Justeru apa sahaja isu yang berpotensi merosakkan suasana keharmonian kaum perlu disingkirkan.
Justeru setiap orang perlu berperanan untuk mempereratkan lagi perpaduan kaum di negara ini. Ia bukan hanya dipikul oleh pemimpin tidak mengira di peringkat mana pun tetapi juga ahli masyarakat.
Dalam konteks yang sama, peranan warga pendidikan juga amat penting malah amat digalakkan. Sama ada guru atau pensyarah merekalah yang perlu menjadi ejen mengeratkan perpaduan dalam kalangan anak muda, remaja dan belia di negara ini.
Peranan yang sama juga perlu dilakukan oleh ibu bapa dan jiran tetangga. Kegagalan menyemai rasa kasih sayang, hormat menghormati selain bertolak ansur antara satu sama lain hanya akan menyebabkan jurang perpaduan antara kaum di negara ini semakin melebar.
Ada banyak kaedah yang boleh digunakan dalam mempertingkatkan perpaduan.
Pertamanya, kita tidak boleh menafikan sistem pendidikan sebagai tempat pertama anak-anak muda mengenali bangsa lain. Ia juga adalah penentu utama dalam usaha memupuk perpaduan kaum. Sekolah aliran kebangsaan wajar dilihat sebagai agenda penyatuan satu tamadun bangsa Malaysia merentasi demografi. Sekolah dan institut pengajian tinggi adalah wadah sebenar dalam membentuk interaksi kaum.
Selain di sekolah, agenda pemerkasaan perpaduan juga mampu diterapkan melalui sukan. Tidak kira di peringkat mana pun sukan umumnya membabitkan golongan anak muda, generasi yang bakal memimpin negara di masa depan.
Sukan menyebabkan mereka bertindak dan berfikir sebagai satu pasukan demi memburu kejayaan. Justeru melalui sukan, mereka bukan hanya dipupuk dengan semangat kesukanan tetapi membentuk persefahaman. Mereka bukan hanya menyertai pertandingan sukan sekadar untuk mengejar kemenangan tetapi juga secara tidak langsung menjadi contoh kepada ahli masyarakat lain bagaimana individu berlainan bangsa atau agama mampu mencipta kejayaan bersama demi negara.
Imej negara harmoni
Badminton, bola sepak, hoki dan lain-lain jenis sukan lagi yang disertai oleh rakyat pelbagai kaum. Ia adalah penjenamaan yang baik bagi Malaysia sebagai negara berbilang kaum. Melaluinya Malaysia bukan saja membina imej atau reputasi negara harmoni tetapi lebih manis apabila setiap kemenangan yang diperoleh menerusi sukan diraikan bersama masyarakat pelbagai bangsa.
Selain itu, sebenarnya pejabat tempat kita bekerja juga adalah medan terbaik memupuk kesefahaman kaum. Contoh paling nyata, kita melihat sektor perkhidmatan awam di Malaysia disertai oleh pelbagai kaum. Begitu juga dengan barisan pemimpin sama ada di peringkat pusat dan negeri. Semuanya boleh berinteraksi dengan baik dan bekerja sama sebagai satu kumpulan. Malah persefahaman dan perpaduan itu mampu diperkasakan lagi.
Keutuhan perpaduan kaum juga dapat diperkasakan melalui peranan media.
Semua tahu, media memainkan peranan penting di dalam menghebahkan berita namun ia juga boleh dilihat sebagai lampu ke arah perkembangan serta pencapaian agenda pemerkasaan kaum di negara ini.
Sama ada media cetak atau elektronik merangkumi digital, semua perlu berperanan secara berterusan memupuk dan memperkasakan perpaduan kaum. Berita sensasi, sensitif yang mungkin meraih ramai pembaca tidak bermakna jika ia akhirnya akan mengocakkan perpaduan dan keamanan negara. Begitu juga bagi televisyen, pemaparan pelbagai filem atau drama dengan sifat kenegaraan atau persahabatan dan pelbagai lagi mampu menginspirasikan anak muda terutamanya dalam memperkasakan perpaduan.
Namun semua itu perlu selari dengan usaha oleh pihak berkuasa tempatan dan juga sistem kehakiman di negara ini. Agenda penguatkuasaan perundangan mampu mencegah sebarang usaha untuk memecah-belahkan perpaduan kaum. Meskipun jika bermula dengan percikan kecil, tetapi tanpa kawalan penguatkuasaan ia mampu merebak dan memusnahkan perpaduan serta keamanan yang kita inginkan.
Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah,
UiTM Cawangan Melaka
Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke [email protected]