Sesi akademik persekolahan baharu 2023 akan bermula Isnin ini. Pihak sekolah sudah memulakan gerak gempur persiapan sesi pengajaran dan pembelajaran sesi baharu sejak minggu lalu. Ia merangkumi sesi pembayaran yuran dan orientasi pelajar baharu dalam memastikan perjalanan hari pertama persekolahan teratur, lengkap dan selesa.
Cuti persekolahan penggal akhir sesi akademik setiap tahun adalah tempoh berehat yang paling lama dalam kalendar akademik. Ia memberi peluang ibu bapa serta seluruh ahli keluarga menghabiskan banyak masa bersama dengan melakukan pelbagai kegiatan luar.
Anak juga berpeluang melalui pengalaman baharu tidak kira sama ada berkhemah bersama keluarga atau sekadar mandi-manda di pantai atau berenang di kolam sahaja.
Dari sudut lain, menghabiskan masa yang panjang dan lama di luar mendedahkan diri kita kepada risiko jangkitan pelbagai penyakit. Lebih-lebih lagi apabila berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai.
Terdedah kepada cuaca panas atau hujan berpanjangan juga boleh menyebabkan seseorang menjadi tidak sihat. Imuniti badan berkemungkinan menurun apabila tubuh melalui aktiviti fizikal yang berterusan.
Apabila seseorang kurang rehat dan tidur, kekuatan sistem pertahanan badan akan berkurangan. Akibatnya, pelbagai mikro organisma mudah menerobos masuk ke dalam sistem badan yang menyebabkan tanda dan gejala jangkitan kuman mula timbul. Selesema, batuk, sakit tekak dan demam adalah antara gejala awal jangkitan kuman virus pada kanak-kanak yang paling kerap berlaku.
Dalam hal ini, ibu bapa perlu pastikan anak mendapat rehat yang cukup sebagai sebahagian persediaan penting untuk kembali ke sekolah. Sebaiknya, anak sudah diingatkan mengenai aktiviti harian bersekolah yang biasa. Rutin masuk tidur dan bangun awal untuk solat subuh seharusnya sudah pun dipraktikkan ketika ini supaya anak bersemangat dan positif untuk kembali ke sekolah.
Semak keperluan sekolah
Keperluan sekolah anak juga perlu disemak dan dipastikan cukup sebelum kelas bermula. Menyediakan keperluan sekolah bersama-sama bukan saja akan memastikan tiada keperluan yang tercicir, malah ia adalah aktiviti keluarga yang dapat mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak.
Menjadi satu tabiat yang baik sekiranya ibu bapa boleh menyediakan senarai keperluan sekolah anak dan memberi kepercayaan kepada mereka untuk menyemak dan melaporkan sebarang keperluan yang perlu diganti.
Justeru, masa yang cukup mesti diperuntukkan untuk sesi persediaan ini. Minggu terakhir cuti sekolah adalah tempoh yang sesuai dan memadai untuk seluruh ahli keluarga melakukan proses itu.
Selain itu memastikan kesihatan tubuh badan anak pada tahap optimum, ibu bapa juga wajar memastikan status gigi anak adalah pada tahap terbaik. Bawa anak untuk mendapatkan pemeriksaan gigi sebelum sekolah bermula. Sekiranya tiada rawatan gigi diperlukan, nasihat dan tunjuk ajar cara penjagaan gigi adalah penting untuk memastikan rutin penjagaan kebersihan dapat dipantau seterusnya dapat dipastikan ia sentiasa pada tahap terbaik. Hal ini lebih ditekankan kepada anak yang masih mempunyai gigi susu. Begitu juga bagi anak yang dalam peringkat peralihan gigi susu ke gigi kekal.
Amalan penjagaan gigi yang betul membantu anak bebas daripada penyakit gigi dan gusi seterusnya mengelakkan sebarang gejala kesakitan yang boleh mengganggu proses pembelajaran mereka.
Rutin persekolahan sepanjang proses anak-anak membesar adalah prosedur penerapan ilmu pengetahuan yang sangat penting. Ia bukan sahaja membuka peluang untuk anak menimba ilmu dan menjadi bijak pandai tetapi juga proses kemahiran hidup dan belajar untuk memproses semua isu atau masalah dan mencari penyelesaian.
Anak perlu sentiasa diingatkan mengenai objektif dan kepentingan untuk melalui pengalaman bersekolah ini hingga tamat. Semoga di dalam setiap nurani anak tertanam rasa yakin, semangat dan cita-cita tinggi untuk meneruskan perjuangan menimba ilmu dan pengalaman kehidupan sebagai persediaan laluan hidup mereka pada masa akan datang yang lebih mencabar.
Dr Nurjehan Mohamed Ibrahim,
Fakulti Pergigian USIM,
Kuala Lumpur