Jumaat, 17 March 2023 | 10:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Hasilkan kamus dwibahasa bentuk braille bantu murid buta

Mempelajari bahasa adalah elemen penting dalam memperbaiki komunikasi, memperelok penulisan dan juga mengindahkan pragmatik bahasa itu sendiri. Melalui bahasa yang betul, penyampaian seseorang akan lebih berkesan dan mudah difahami.

Dalam konteks pembelajaran bahasa, skopnya luas iaitu merangkumi fonetik, tatabahasa dan etika pragmatik dalam penyampaian. Selain memanfaatkan komunikasi melalui pembelajaran bahasa, penulisan seseorang juga akan menjadi lebih baik dan indah dengan susunan bahasa yang bermutu.

Pembelajaran ini tidak terhad kepada murid yang normal. Bagi mereka yang kurang upaya penglihatan, pembelajaran masih menjadi hal yang diutamakan. Justeru bagi memenuhi aspirasi membantu golongan orang buta untuk mempelajari bahasa, usaha yang berkesan perlulah dibuat.

Lebih utama ia juga seharusnya tidak terhad kepada pembelajaran bahasa Melayu sahaja tetapi juga bahasa Inggeris dan lain-lain. Usaha ini perlulah dimulakan di peringkat sekolah.

Dalam konteks pembelajaran bahasa Inggeris misalnya, murid berkeperluan pendidikan khas masalah penglihatan khususnya dalam kategori buta perlu didedahkan dengan pembelajaran subjek itu secara efektif.

Negara kita sebenarnya mempunyai ramai golongan orang buta hebat dan bertugas di universiti awam selain badan bukan kerajaan (NGO). Sifat global mereka terserlah melalui penyertaan mereka dalam aktiviti masyarakat peringkat antarabangsa, menjalankan penyelidikan berimpak tinggi juga di peringkat antarabangsa dan bergelar graduan yang gemilang. Kita sangat bertuah memiliki orang buta yang hebat seperti Allahyarham Prof Datuk Dr Ismail Salleh dan akademia tersohor, Dr Al-Amril Othman.

Hak pembelajaran orang buta

Justeru, kita perlu terus memantapkan usaha dalam membantu golongan pelajar buta mendapat hak pembelajaran misalnya dalam bahasa Inggeris. Antara usaha yang paling signifikan boleh dilakukan pada peringkat awal adalah dengan menghasilkan sebuah kamus dwi bahasa iaitu bahasa Melayu-bahasa Inggeris asas, bersesuaian dengan keperluan di sekolah.

Penghasilan kamus ini perlu menggunakan medium kod tulisan braille supaya ia boleh diakses dengan baik oleh murid buta di sekolah. Sebagai rekod, masih belum terdapat kamus dwi bahasa dalam bentuk tulisan braille dikeluarkan setakat ini di Malaysia.

Diakui bahawa, banyak pihak berkaitan orang buta yang menerbitkan pelbagai bahan bacaan dalam tulisan braille. Bagaimanapun penghasilan kamus dwi bahasa secara khusus dalam tulisan braille masih tidak terdapat di pasaran negara ini. Menyedari hakikat itu, murid-murid buta di sekolah sebenarnya sedikit ketinggalan dalam pembelajaran bahasa Inggeris yang sempurna.

Tidak dinafikan juga bahawa pembelajaran bahasa Inggeris berlaku secara konsisten di sekolah yang mempunyai murid buta, namun bahan rujukan komprehensif seperti kamus yang menjelaskan maksud serta terjemahan sepadan antara dua bahasa ini tidak dapat digunakan di sekolah pada ketika ini.

Umum sedia maklum bahawa, terdapat pelbagai alat, gajet dan aplikasi berbentuk audio di pasaran untuk dimanfaatkan oleh murid buta dalam mempelajari subjek Bahasa Inggeris. Kesemua aplikasi ini sangat membantu murid buta untuk mempelajari komunikasi melalui kemahiran berbahasa. Namun begitu, ia dihasilkan bagi mempertingkatkan daya audio murid buta dan tidak kesemuanya dapat memberikan manfaat yang tepat dalam memperkaya bahasa Inggeris melalui ejaan dan tatabahasa yang betul.

Walaupun pembelajaran bahasa Inggeris murid buta berlaku dengan baik melalui bahan auditori, mereka tetap perlu memanfaatkan sentuhan dalam mengukuhkan kemahiran serta daya ingatan mereka. Adalah lebih sesuai sekiranya murid buta menggunakan bahan bersifat taktil iaitu yang dapat dirasai melalui sentuhan dalam pembelajaran bahasa. Hal ini dapat membantu mereka mengetahui ejaan yang tepat dalam bahasa Inggeris.

Sekali lagi ditegaskan bahawa, usaha untuk menghasilkan kamus dwi bahasa berbentuk braille ini harus direalisasikan supaya kita dapat membantu murid buta di sekolah mempelajari bahasa Inggeris dengan lebih baik. Selari dengan itu, kita juga sebenarnya membantu murid buta untuk bersaing di peringkat global.

Oleh Dr Mohd Norazmi Nordin
Pensyarah Pendidikan Khas, Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X