Penagihan dadah adalah hal buruk yang sudah berlaku lama di Malaysia. Apa yang membimbangkan semua pihak kini adalah trend penagihan semula di samping pertambahan kes penagih baharu.
Kajian Institut Keselamatan Awam (IPSOM) Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini mendapati dalam tempoh lapan tahun akan datang, negara akan merekodkan 2.5 juta penagih dengan purata penggunaan 319,400 kilogram (kg) dadah dianggarkan bernilai RM16 bilion.
Malah, ia dijangka berlaku lebih serius dengan pengambilan secara berkumpulan dengan nisbah penagih dalam komuniti kini adalah 1:7 orang, sekali gus mendedahkan jumlah sebenar penagih sudah melebihi 3 juta orang.
Pada Mei 2022, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, memaklumkan 119 orang penagih dadah baharu dikesan setiap minggu di seluruh negara pada 2021.
Secara keseluruhan jumlah penagih yang direkod pada 2021 adalah 129,604 orang dengan 15 peratus daripadanya adalah penagih baharu.
Bagi seorang penagih dadah yang dikesan, terdapat tujuh lagi yang tidak dapat dikesan. Mengikut jumlah statistik yang ada, ini bermakna bilangan penagih dadah di Malaysia tahun lalu adalah hampir sejuta orang atau 907,222 orang.
Beliau menyatakan perkara ini berdasarkan statistik Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) yang merekodkan nisbah penagih dadah adalah seorang bagi setiap lapan keluarga dan bilangan itu dijangka meningkat kepada dua penagih bagi setiap lapan keluarga dalam tempoh kira-kira 10 tahun lagi.
Laporan tahunan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pula menunjukkan trend peningkatan kes penagihan pada setiap tahun membabitkan generasi muda iaitu remaja.
Kitaran berkaitan masalah ketagihan dadah dengan aspek kesejahteraan dan keselamatan masyarakat akan menjadi sukar dibendung jika kurangnya usaha efektif pencegahan dalam kalangan generasi muda.
Jika kumpulan penagih ini gagal dipulihkan, mereka akan melalui hidup dalam kesengsaraan serta menjadi warga tidak atau kurang produktif, seterusnya menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Dalam hal ini, ibu bapa perlu lebih serius dalam pendidikan anak dengan menekankan kepada nilai kekeluargaan dengan perspektif Islam.
Peranan ibu bapa
Ibu bapa dan keluarga adalah entiti paling kecil dalam masyarakat yang perlu memainkan peranan paling serius dalam memastikan anak tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
Kemahiran keibubapaan hari ini tidak sama dengan zaman dahulu. Perubahan yang mendadak dalam keadaan hidup kita ibarat tsunami yang memberi kesan kepada nilai dan corak kehidupan kita.
Justeru, penghayatan nilai agama dalam keluarga adalah hal utama untuk membentuk anak menjadi manusia beriman, berakhlak mulia yang mencakupi etika, moral, budi pekerti, serta memiliki pemahaman dan pengamalan nilai keagamaan dalam kehidupan seharian.
Bagi anak muda, mereka perlu membekalkan diri dengan ilmu pengetahuan supaya dapat menangkis gejala sosial, terutama yang berpunca daripada penyalahgunaan dadah.
Kita juga berharap janganlah ada keluarga yang mengambil pendekatan yang merugikan masa depan penagih dadah itu sendiri dengan melindungi mereka berbanding menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk tujuan rawatan dan pemulihan.
Tentunya kita mengharapkan ada sinar dalam menangani permasalahan dadah ini dengan serius dan konsisten. Hal ini disebabkan ia masih menjadi ancaman besar terhadap setiap generasi di Malaysia.
Faridah Maludin,
Pertubuhan IKRAM Malaysia