Jumaat, 17 Februari 2023 | 12:00pm
ChatCPT menjadi saingan hebat kepada enjin carian seperti Google. - Foto Reuters
ChatCPT menjadi saingan hebat kepada enjin carian seperti Google. - Foto Reuters

Elak terlalu obses guna ChatGPT hingga hilang tujuan cari ilmu

SEKITAR November 2022 satu lagi perkembangan teknologi terhasil yang mengubah gaya melayari internet. Ia susulan pengenalan ruang dialog yang dikendalikan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligent) atau AI, ChatCPT.

Sejak diperkenalkan ia menjadi saingan hebat kepada enjin carian seperti Google. Ketika artikel ini ditulis, statistik semasa merekodkan seramai 13 juta orang sudah mengakses ChatGPT setiap hari. Kelahiran ChatGPT ini menggemparkan dunia akademia berdasarkan kekuatan AI dalam menyediakan maklumat yang komprehensif secara pantas.

ChatGPT mampu memudahkan kerja penting khususnya yang membabitkan penghasilan tugasan, pencarian maklumat, penyediaan bahan penulisan dan banyak lagi.

Kelebihan ChatGPT termasuklah ia boleh diakses secara percuma, selain mampu menambah baik kualiti penulisan dan memberi ruang untuk lebih banyak idea dapat diterjemahkan dalam bentuk penulisan.

Masa yang panjang dalam pencarian bahan penulisan dapat dipendekkan dengan kecekapan ChatGPT mempamerkan bahan berkaitan mengikut kesesuaian arahan yang diberikan. Konsep pembelajaran peribadi (personalized learning) dapat memenuhi keperluan pelajar secara khusus dan menjadi nilai tambah dalam peningkatan pengetahuan bagi sesuatu perkara yang dipelajari.

Semua kelebihan penggunaan ChatGPT dapat dinikmati bukan sahaja pelajar, malah golongan ahli akademik. Bagaimanapun, di sebalik keghairahan penggunaan ChatGPT, beberapa perkara penting perlu dipertimbangkan bagi mengelakkan perkara yang tidak wajar berlaku.

Antaranya, kegusaran dalam menilai tugasan pelajar khususnya dari aspek keaslian. Walaupun maklumat terkini menyatakan ChatGPT menyediakan perisian untuk mengenal pasti masalah plagiarisme, ahli akademik perlu mempunyai kemahiran dalam menilai prestasi pelajar.

Tak gambarkan pengetahuan sebenar pelajar

Isu bias atau penilaian berat sebelah berdasarkan isi kandungan tugasan yang dihantar bakal menjadi masalah yang perlu diberi perhatian. Berkemungkinan akan berlaku skor penilaian yang diberikan tidak menggambarkan pengetahuan sebenar pelajar.

Amalan pengendalian peperiksaan, pelaksanaan penyediaan laporan mahupun tesis mengikut cara lama sudah tidak boleh lagi digunakan sepenuhnya. Pengesahan idea pelajar secara lisan dapat memberikan gambaran prestasi sebenar jika dibandingkan dengan tugasan bertulis yang dihasilkan menggunakan ChatGPT.

ChatGPT ini juga jika tidak digunakan secara berhemah akan menjadikan seseorang itu terlalu bergantung dengan maklumat yang diberikan. Justeru, sudah pasti kemahiran berfikir akan terhakis dengan adanya cara yang lebih mudah untuk mendapatkan jawapan bagi setiap persoalan.

Justeru, pemikiran kritis serta kreatif tidak lagi dimanfaatkan dan penyelesaian masalah boleh jadi sebenarnya adalah jawapan yang dihasilkan ChatGPT, bukannya daripada pemikiran manusia.

Malah, pembacaan bahan rujukan juga akan menjadi lebih terhad dan tanpa disiplin dengan segala-galanya bertunjangkan AI. Semua hal ini menimbulkan kegusaran kebanyakan ahli akademia.

Adakah ChatGPT akan membunuh semua kemahiran manusia? Apa yang akan terjadi dengan nilai kesarjanaan yang sering diperjuangkan bagi sebuah bidang ilmu, adakah masih sama seperti dahulu?

Tepuk dada dan tanyalah selera. Tiada pilihan untuk kita menolak sepenuhnya kemajuan tetapi gunakanlah secara berhikmah sebagai manusia yang masih mempunyai akal fikiran. Secanggih mana sekalipun sesuatu alat atau perisian yang disediakan ia umpama pelbagai menu yang boleh kita pilih dan dimakan dengan syarat tidak memberi mudarat.

Secara peribadi saya tidak menolak penggunaan ChatGPT ini, namun elakkan terlalu obses sehingga hilang tujuan sebenar mencari ilmu.

Prof Madya Dr Siti Mistima Maat
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X