Khamis, 16 Februari 2023 | 11:45am
Trend mendengar radio di Malaysia
Trend mendengar radio di Malaysia

Radio terus relevan salur maklumat seiring pembangunan teknologi

Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menetapkan tarikh 13 Februari setiap tahun sebagai Hari Radio Sedunia.

Penetapan itu antara lain bertujuan menghargai serta memartabatkan peranan istimewa radio kepada seluruh masyarakat. Di dalam arus modenisasi dan digitalisasi hari ini, peranan radio tidak patut dipinggirkan atau dilupakan. Tidak dinafikan, masih ada yang melihat siaran radio sebagai platform hiburan semata-mata khususnya bagi generasi muda. Radio mungkin dilihat sebagai wadah untuk memutarkan lagu terkini serta retro.

Namun di sebalik tanggapan sebegitu, ramai berpendapat siaran radio masih relevan dalam konteks menyampaikan maklumat merangkumi aspek berita semasa, rencana, keagamaan dan khidmat masyarakat.

Segmen siaran wawancara dengan tetamu undangan membincangkan topik tertentu, terutama isu ilmiah berupaya memperluaskan pengetahuan pendengar radio. Siaran sebegini menjadi medan menambah ilmu kepada suri rumah serta warga tua yang banyak menghabiskan masa di rumah.

Walaupun informasi kini mudah dicapai di hujung jari, namun radio masih kekal menjadi antara medium terbaik untuk menyebarkan maklumat berguna serta terkini khususnya bagi mereka yang memandu atau dalam perjalanan.

Ini jelas terlihat apabila radio sentiasa dipasang sama ada di dalam kenderaan persendirian mahupun pengangkutan awam. Tatkala tersekat di dalam kesesakan jalan raya mahupun dalam perjalanan ke mana-mana destinasi, siaran radio yang berkumandang bukan sahaja mampu menjadi halwa telinga dengan putaran lagu serta celoteh penyampai radio, bahkan lebih daripada itu.

Maklumat mengenai keadaan semasa trafik dan juga siaran berita terkini banyak menyalurkan informasi penting kepada pengguna jalan raya.

Radio dilihat juga sebagai medan yang lebih efektif dan praktikal di dalam menyampaikan maklumat. Berbanding siaran televisyen dan juga laman web yang mengkehendaki pengguna untuk lebih fokus, pendengar radio masih boleh menerima maklumat yang disampaikan secara, pada masa sama masih melakukan perkara lain, misalnya memandu.

Tingkat penyampaian maklumat

Radio juga memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan tahap ilmu pengetahuan sesuatu kumpulan masyarakat, lantas menaikkan taraf hidup mereka. Berbanding internet yang memerlukan capaian yang stabil, radio dikatakan masih mempunyai kelebihan untuk menjangkau semua lapisan masyarakat meskipun mereka berada jauh di lokasi terpencil.

Justeru, radio saling mampu menampung dan melengkapi peranan internet di dalam proses sebaran maklumat asas dan penting.

Tema yang ditetapkan oleh UNESCO bagi sambutan Hari Radio Sedunia tahun ini ialah 'Radio dan Keamanan'. Tema ini secara langsung mengiktiraf peranan yang boleh diperkasakan oleh radio dalam menyampaikan mesej berkait dengan kepentingan keamanan. Ini jelas relevan di dalam konteks sesebuah negara seperti Malaysia yang dibentuk oleh kepelbagaian kaum, agama dan budaya.

Justeru, radio harus bijak menyampaikan kandungan siaran bersesuaian bagi memupuk dan menerapkan unsur-unsur perpaduan. Antaranya ia perlu lebih secara harmoni dan spontan tampil dengan siaran juga mesej menyentuh mengenai kepentingan hidup dalam keadaan yang aman damai.

Pesanan khidmat masyarakat boleh sentiasa disiarkan dengan matlamat memupuk semangat hidup tenteram dan mengamalkan prinsip kemasyarakatan aman secara sejagat.

Dalam kepesatan dan kemajuan abad ini, siaran serta teknologi radio tetap berkembang seiring dengan platform penyebaran maklumat yang lain. Pendigitalan juga pemodenan pengoperasian siaran radio juga membolehkan ia masih dan kekal relevan untuk tetap menyebarkan informasi dengan naratif yang baik.

Dr Mohd Hafiz Zulfakar,
Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam

Berita Harian X