Masalah buli siber amat membimbangkan di Malaysia pada masa kini. Isu ini jelas terlihat berdasarkan kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang menyebut Malaysia merekodkan jenayah buli siber keenam tertinggi di dunia dan kedua tertinggi di Asia selepas India.
Buli siber adalah satu perbuatan menggunakan platform digital dengan niat untuk memalukan, memeras ugut atau mengancam mangsa. Ia boleh terjadi di mana-mana platform media sosial dan umumnya dibuat secara berulang.
Meskipun berlaku di platform media sosial, buli siber masih mampu menjejaskan kesihatan mental mangsa. Sebagai contoh, baru-baru ini kita digemparkan dengan berita seorang ibu tunggal yang meninggal dunia dipercayai akibat dibuli di media sosial.
Kesan negatif buli siber terhadap mangsa boleh meliputi emosi, mental dan fizikal. Malah pakar psikologi turut mendedahkan buli siber mungkin lebih kejam dan memberi kesan buruk kepada mangsa. Sebagai contoh, komen atau gambar yang mengaibkan mangsa di media sosial tidak dapat dipadamkan, sekali gus menyebabkan mereka berasa sentiasa tidak selamat dan tertekan. Ia mengakibatkan mangsa malu untuk berdepan dengan masyarakat, malah gelisah memikirkan perkara itu.
Mereka akan terjejas secara emosi, mental dan fizikal, apatah lagi perbuatan buli siber itu boleh berlaku di mana sahaja dan sepanjang masa.
Sebaliknya, bagi si pembuli pula dalam sesetengah kes mereka beranggapan perbuatan membuli tidak salah kerana ia adalah sebahagian daripada bentuk gurauan.
Menurut statistik, kebanyakan kes buli siber berlaku dalam kalangan remaja. Justeru, ibu bapa adalah kunci utama untuk mengatasi masalah ini dengan memberi kesedaran kepada anak mengenai bahaya buli siber. Malah ibu bapa perlu memantau tingkah laku anak bagi memastikan mereka tidak menjadi pelaku atau mangsa buli.
Selain itu, pihak sekolah juga boleh memainkan peranan dalam membendung masalah buli siber dengan menanamkan kesedaran mengenainya dalam diri anak sejak awal. Justeru etika penggunaan platform digital berhemah boleh diterapkan bagi mewujudkan komunikasi positif.
Undang-undang tidak ketat antara punca
Lanjutan itu, kerajaan haruslah segera mewujudkan satu undang-undang khas untuk mengatasi masalah buli siber bagi memberi keadilan kepada mangsa. Hal ini perlu dipandang serius kerana peningkatan kes buli siber setiap tahun adalah berpunca daripada tiada kesedaran dan juga undang-undang yang tidak ketat di Malaysia.
Walaupun Akta Komunikasi dan Multimedia sudah dikuatkuasakan di Malaysia, tetapi tiada undang-undang yang khusus untuk menangani jenayah buli siber ini. Hal ini menyebabkan masih terdapat laporan mengatakan ramai mangsa tidak tampil membuat laporan atas sebab proses birokrasi dan undang-undang yang panjang.
Justeru dengan peningkatan kes buli siber di Malaysia, kerajaan harus mempercepatkan pembentangan undang-undang yang lebih khusus untuk jenayah buli siber bagi menangani fenomena ini.
Malah, semua pihak sebenarnya perlu memberikan kerjasama untuk membendung masalah ini. Mangsa juga perlu diberi sokongan dan bantuan dalam memudahkan mereka untuk tampil ke hadapan melaporkan jenayah ini kepada pihak polis.
Bahkan, pihak penyedia laman media sosial seharusnya menyediakan protokol khusus untuk melaporkan dan membendung sebarang aktiviti buli siber ini. Hal ini bagi membasmi penyebaran berita palsu, komen jelek dan perkongsian gambar yang mengaibkan individu lain.
Akhir sekali, pihak berkuasa perlulah bergerak seiring dengan kemajuan teknologi digital semasa yang semakin pesat berkembang dalam memantau segala bentuk aktiviti jenayah alaf baharu.
Dr Syamsul Azlan Saleh dan Prof Madya Dr Mohd Asyraf Zulkifley,
Universiti Kebangsaan Malaysia