BUKAN hal biasa kita membaca mengenai graduan universiti yang bekerja di luar bidang. Ini termasuk lulusan profesional yang bekerja sebagai penghantar makanan dan jurujual, malah pelbagai lagi pekerjaan tidak setanding kelulusan demi meneruskan kehidupan.
Apatah lagi selepas penularan COVID-19, hal begini seakan sudah menjadi perkara umum. Namun adakah selama-lamanya mereka perlu bertahan dalam pekerjaan itu? Sedangkan isu sebenarnya, kita kurang peluang pekerjaan menyebabkan berlakunya pengangguran.
Dalam satu laporan mengenai pengangguran kadar tertinggi dicatatkan dalam kalangan graduan berusia 24 tahun ke bawah. Peratusan yang direkodkan adalah 76.9 peratus pada 2021, manakala tahun sebelumnya 78.6 peratus.
Kita tidak menolak pengangguran juga disebabkan permintaan melebihi penawaran. Di Malaysia, institusi pengajian tingginya terlalu banyak. Selain milik kerajaan, universiti swasta tumbuh bagai cendawan selepas hujan.
Namun, pendidikan tinggi bukan jaminan mereka memperoleh kerjaya atau kedudukan yang stabil. Mereka perlu bersaing dengan ribuan lagi graduan. Dalam dunia pekerjaan, deretan A bukan hal utama dilihat majikan. Sebaliknya kemahiran, personaliti dan keupayaan berkomunikasi serta kerjasama berkumpulan jadi nilai utama.
Persaingan menyebabkan hanya yang terampil dilihat, ia juga mewujudkan lebihan permintaan, sekali gus faktor indeks pengangguran negara meningkat.
Masalah pengangguran antara masalah yang perlu ditangani dan pasti menjadi cabaran baharu kepada graduan masa kini. Saban tahun kita melahirkan ribuan graduan pelbagai bidang, ia menyebabkan persaingan tinggi hingga mengakibatkan ramai yang sedia melakukan apa-apa sahaja pekerjaan untuk terus bertahan hidup. Ini termasuk bekerja di luar bidang pengajian.
Namun, kadar pengangguran yang tinggi juga berlaku kerana sikap sebahagian graduan terlalu memilih pekerjaan. Ketika rakan lain tidak kisah menjadi penghantar makanan atau jurujual, ada sesetengah masih memikirkan standard dan cenderung untuk memilih pekerjaan. Mereka mahu kerjaya gah dipandang masyarakat. Jadi, demi standard yang ingin digalas mereka lebih sanggup menganggur.
Kualiti perkhidmatan setanding kelulusan
Melihat pada sisi lain, lazimnya majikan kini ingin pekerja yang aktif dan dapat memberikan hasil kerja berkualiti setanding kelulusan. Bukan itu sahaja, keupayaan berkomunikasi dengan baik dan efektif serta cekap juga diperlukan majikan. Hal ini memperlihatkan cabaran terhadap graduan dalam mendapatkan pekerjaan adalah begitu sengit.
Pada waktu sama, kemasukan tenaga buruh asing juga memberi saingan. Umumnya, majikan lebih berminat membayar tenaga kerja asing kerana gajinya yang murah.
Kebanjiran tenaga asing tidak kira dalam bidang mana sekali pun antara cabaran kepada generasi muda untuk mencari pekerjaan.
Namun, hanya duduk dan mengeluh tidak mampu menyelesaikan masalah. Pekerjaan di luar bidang pengajian atau kerja yang dianggap bergaji kecil dan tidak setimpal dengan kelulusan bukanlah alasan untuk graduan terus menganggur.
Pada usia muda, pengalaman adalah universiti paling baik untuk terus memajukan diri. Kelulusan sedia ada diganding dengan pengalaman akan mematangkan, malah menjadi pembuka jalan untuk terus memajukan diri. Mana tahu ia adalah ruang untuk mencipta pekerjaan sendiri sehingga menjadi usahawan berjaya.
Hari ini kelulusan tinggi bukan tiket mudah untuk memperoleh pekerjaan, bergaji tinggi dan hidup mewah. Keindahan seperti itu tidak ditakdirkan menjadi milik semua orang dan mungkin hanya ada dalam drama televisyen jam 6 petang.
Sebagai graduan, buka langkah dari bawah dan naik perlahan dengan kekuatan, pengalaman dan pendidikan yang diperoleh di universiti.
Angan-angan menjadi kaya sekelip mata hanya milik Mat Jenin. Anda perlu merebut sebanyak mungkin peluang bagi mendapatkan pekerjaan dan membina pengalaman. Paling utama, persiapkan diri supaya lebih berdaya saing.
Huurul 'Ein Razali,
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke [email protected]