Arahan penutupan lokasi perkelahan dan perkhemahan seluruh negara susulan tragedi tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali ibarat sudah kalah baru hendak berkubu.
Apa yang lebih mengejutkan adalah apabila tapak perkhemahan yang terbabit dalam tragedi berkenaan dikenal pasti tidak berlesen, namun sudah beroperasi secara haram sejak 2020.
Apakah selama tempoh itu tiada langsung pihak berkuasa melakukan pemeriksaan dan pemantauan untuk memastikan pemilik premis mematuhi peraturan serta garis panduan yang ditetapkan?
Bencana alam seperti ini umpama sudah menjadi suatu kebiasaan di negara kita kerana sikap tidak bertanggungjawab, kegagalan mengurus dan tiada kesedaran alam sekitar. Hal ini sangat sinonim dengan ungkapan mereka yang melupakan sejarah akan cenderung mengulanginya.
Contoh lain yang juga jelas menunjukkan kekhilafan pihak berkuasa adalah insiden pencemaran Sungai Kim Kim. Akibat tindakan pembuangan sisa kimia selama bertahun-tahun berlaku gelombang keracunan air yang sangat teruk. Ia turut menjejaskan hampir 6,000 orang dan sehingga kini dilaporkan mangsa masih mengalami kesan sampingan.
Sama juga dengan bencana banjir yang menenggelamkan Taman Sri Muda, Shah Alam hujung tahun lalu yang menyaksikan kehilangan nyawa dan kerugian mencecah jutaan ringgit. Sedangkan hal seperti itu boleh dielak kerana khabarnya pihak berkuasa sudah lama tahu kawasan berkenaan berpotensi dilanda banjir. Penduduk Taman Sri Muda turut mendakwa aduan sudah dihantar beberapa kali untuk meneliti situasi di kawasan berkenaan yang kerap dilanda banjir, namun tidak ada sebarang maklum balas dan tindakan diambil.
Bencana alam bukan hanya menjejaskan kualiti kehidupan masyarakat, tetapi juga turut memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara ini. Proses pemulihan ekonomi selepas berlaku sesuatu bencana adalah sangat membebankan, termasuk pembinaan dan penggantian aset yang musnah serta mendirikan semula sektor ekonomi di kawasan terbabit. Kesan itu tentu lebih teruk untuk negara yang masih sedang membangun seperti Malaysia.
Kecuaian manusia undang bencana
Tidak dapat dinafikan bahawa bencana alam juga terjadi disebabkan faktor semula jadi seperti banjir kesan daripada pelbagai fenomena cuaca seperti La Nina. Namun, ia akan menjadi lebih teruk dengan tindakan manusia yang cuai misalnya gagal merancang pembangunan dengan baik, selain pencerobohan tanah dan pencemaran alam sekitar.
Laporan Penilaian Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) juga menjangkakan impak perubahan iklim akan lebih agresif dalam 20 tahun akan datang seperti bencana alam lebih kerap dan ekstrem, kekurangan sumber air akibat peningkatan suhu mendadak, kemusnahan berganda akibat banjir dan peningkatan kadar kepupusan spesies haiwan.
Hal ini memberi kesan langsung kepada sosioekonomi sekiranya tindakan pantas dan cekap tidak diambil dengan segera. Tindakan untuk mengurangkan risiko perubahan iklim tidak boleh dilengahkan dalam memastikan kelangsungan kesejahteraan rakyat, ekosistem semula jadi, bekalan makanan dan sumber air.
Ia harus dimulakan dengan menilai dan mengkaji semula keberkesanan usaha sedia ada, pelaksanaan dasar dan strategi pengurusan risiko yang lebih efektif seterusnya menggalakkan penyertaan aktif daripada masyarakat, terutama penggiat industri serta pihak berkepentingan pada peringkat akar umbi khususnya golongan muda.
Selain itu, usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat juga harus dipergiatkan bukan hanya untuk mengetahui kesan dan akibat berlaku perubahan iklim, tetapi juga peranan dan tindakan yang boleh diambil sebagai seorang individu.
Proses ini sebaiknya bermula melalui pendidikan formal supaya kesedaran dapat dipupuk sejak di bangku sekolah lagi. Misalnya dengan meneliti semula dan mengemas kini kandungan kurikulum kebangsaan supaya dapat menambah lebih banyak elemen perlindungan alam sekitar yang berfokuskan kepada naratif tempatan, tadbir urus perubahan iklim termasuk proses pembuatan dasar dan kaedah pelaksanaan serta menekankan aspek kerjasama antara pelbagai pihak, termasuk sektor awam serta swasta pada pelbagai peringkat.
Mogesh Sababathy,
Universiti Putra Malaysia