KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) termasuk tiga negeri sudahpun diumumkan. Kerajaan Persekutuan bakal ditentukan selepas perbincangan serta nama calon Perdana Menteri dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, manakala Perak dan Perlis pula baru dibentuk.
Sepanjang tempoh kempen pilihan raya berlangsung, pelbagai aktiviti kempen dan jelajah dilaksanakan bagi meraih sokongan pengundi. Kita juga menyaksikan pelbagai kreativiti dan gelagat penyokong parti politik menzahirkan sokongan terhadap parti masing-masing.
Kini, selepas empat hari pengundian tamat, terdapat bahan kempen masih belum dibersihkan dan ditanggalkan dengan sempurna. Berdasarkan pemerhatian juga mendapati kemudahan awam dan infrastruktur sedia ada masih dicemari dengan bahan kempen.
Kawasan tumpuan seperti persimpangan utama jalan, bulatan, perhentian bas dan kawasan tanaman landskap jalan masih kelihatan bendera, poster serta kain rentang calon dan parti bertanding. Di tiang elektrik dan lampu jalan utama juga, masih terdapat bendera parti politik terpacak dan merentasi jalan.
Suhu suasana kemeriahan kempen pilihan raya sudahpun menurun dan berkurangan. Jadi, pihak berkenaan perlu segera menurunkan dan membersihkan bahan kempen bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan kemudahan awam.
Jelas, terdapat potensi risiko keselamatan boleh mengakibatkan kepada kerosakan kemudahan sedia ada dan kemalangan jalan raya sekiranya tidak ditangani segera.
Selain itu, masalah ini ditambah pula dengan keadaan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini.
Sudah pasti, semua faktor ini akan mengakibatkan banyak bahan kempen berterbangan di atas jalan dan menutupi kawasan landskap jalan. Jelas, ia pemandangan tidak menarik untuk disaksikan dalam tempoh lima tahun sekali.
Justeru, semua pihak perlu melaksanakan peranan penting dalam memastikan aktiviti kempen dijalankan tidak mendatangkan kerugian kepada aset dan kemudahan kerajaan. Pemantauan dan penilaian kerosakan kemudahan awam oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dilaksanakan bagi memastikan fungsi utama kemudahan berkenaan tidak terjejas.
Selain itu, PBT juga perlu memastikan parti politik terbabit dalam kempen di kawasan mereka segera mengalihkan dan membersihkan bahan kempen.
Sewajarnya, tindakan denda perlu dikenakan kepada aktiviti kempen tidak mengikuti gari panduan ditetapkan dan mendatangkan kerosakan serta kerugian kepada aset kerajaan.
Jika tidak, PBT terpaksa memperuntukkan kewangan khas daripada pembayar cukai untuk membaiki kerosakan tidak wajar ini. Dana daripada pembayar cukai berkenaan sebaiknya digunakan untuk menambah baik kemudahan sedia ada untuk dimanfaatkan rakyat seluruhnya.
PBT boleh menyediakan tempat pembuangan bahan kempen di lokasi sementara strategik bagi memudahkan kerja pembersihan dilakukan secara sistematik.
Selain itu, PBT juga boleh menjalankan kerja pembersihan bahan kempen secara bersama dan serentak dengan pihak kontraktor pembersihan dilantik parti politik terbabit dengan menyediakan kemudahan lori sampah untuk bergerak seiringan.
Kita tidak mahu kemudahan awan sedia ada menjadi 'mangsa' kempen pilihan raya kerana duit pembayar cukai terpaksa dibelanjakan untuk menanggung kerosakan akibat aktiviti kempen penuh emosi dan tidak mengikuti peraturan seperti ditetapkan pihak berkuasa.
Ini kerana pengurusan 'sisa' kempen ini boleh menjadi petunjuk awal kepada pemimpin beramanah, berintegriti dan berkhidmat semata-mata untuk kepentingan rakyat.
Irwan adalah Koordinator Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak, manakala Amir Fasha adalah Pensyarah Kanan, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Perak