Pernahkah kita fikirkan bagaimana hebatnya kepemimpinan sehingga boleh mengubah pengikutnya ke arah kebaikan dan kemajuan hingga berjaya membangun bersamanya?
Seandainya kita memiliki pemimpin sebegini, maka Malaysia akan mampu menjadi sebuah negara makmur dan sejahtera dengan kekayaan sumber yang ada.
Justeru, menjelang pilihan raya 19 November nanti, gunakanlah undi milik anda untuk memilih pemimpin terbaik. Pengundian adalah sistem yang diamalkan di Malaysia, iaitu demokrasi berparlimen melalui pilihan raya.
Parlimen mempunyai pelbagai fungsi antaranya meluluskan undang-undang, memeriksa dasar kerajaan, meluluskan belanjawan kerajaan dan perkara berkaitan kepentingan orang ramai turut dilaksanakan pada peringkat Parlimen.
Rakyat harus sedar undi pada pilihan raya akan menjadi penentu nasib mereka kelak apabila kerajaan ini dibentuk. Adakah kerajaan yang menjaga kepentingan rakyat atau kerajaan yang mengamalkan rasuah di sana sini dan mengakibatkan rakyat tertekan dan menderita?
Pada 5 November nanti, pelbagai parti dan perikatan bakal menyenaraikan calon masing-masing untuk bertanding dan bakal dipilih oleh rakyat pada pilihan raya umum. Jadi, apakah ciri-ciri calon yang seharusnya diundi oleh rakyat?
Pertama, cari pemimpin yang berkemampuan maksudnya mereka yang mempunyai segala kebolehan, keupayaan, kemahiran, ilmu, prinsip, disiplin dan mempunyai kecekapan. Dengan kata lain, seorang pemimpin yang mampu bekerjasama dengan orang yang ditadbirnya, melaksanakan tanggungjawab kepemimpinan cemerlang.
Calon yang dapat menjalankan tugasnya dengan sempurna sudah tentu layak diangkat sebagai pemimpin. Pemimpin yang baik dan berpengaruh akan dapat melahirkan lebih ramai pemimpin di bawah pentadbirannya.
Pemimpin amanah dan jujur
Kedua, carilah pemimpin yang amanah. Amanah adalah asas keperibadian yang mendapat kepercayaan pengikutnya. Kepercayaan tidak boleh diminta, tetapi ia terbina. Mustahak bagi seorang pemimpin dipercayai atas kata-katanya yang seiring dengan perlakuannya. Rasuah, khianat, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan harta tidak harus terkait dengannya kerana ia mampu merenggut segala status kepercayaan yang dibina.
Ketiga, carilah pemimpin yang jujur, ia adalah sifat pengukuh kepada amanah. Sifat jujur ini bertembung dengan sifat bermuslihat, berdusta dan berbohong yang merosakkan serta membawa kepada kehancuran. Gandingan dua sifat ini, iaitu jujur dan amanah memberikan kredibiliti kepada seorang pemimpin.
Jujur dan amanah adalah dua ciri tertinggi yang menyerlah dalam setiap profil kepemimpinan individu berjaya. Justeru, berkemampuan, amanah dan jujur adalah tiga sifat asas seorang pemimpin yang harus ada tapi sukar terkumpul dalam watak seseorang pemimpin.
Sifat berkemampuan, amanah dan jujur perlu sentiasa tersemat di minda pengundi, bahkan juga perlu disematkan dalam akal kepemimpinan parti dalam menentukan calon-calon mereka kelak. Tiada tempat bagi mereka yang tidak memiliki sekurang-kurangnya tiga ciri ini.
Pemimpin adalah cerminan pengikutnya dan begitu juga sebaliknya. Seorang pemimpin berwibawa akan diapit kuat oleh orang yang turut membawa nilai integriti yang tinggi.
Kuasa yang diamanahkan pada kepemimpinan negara sangat besar dalam mentadbir masyarakat dan negara.
Mereka memegang dan menggenggam lingkaran kuasa dan pengaruh terpenting. Justeru, adalah mustahak supaya kuasa kepemimpinan hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai ketiga-tiga ciri ini.
Proses pilihan raya umum yang berlangsung boleh dianggap sebagai proses temu duga. Jadi, rakyat harus melihat kelayakan dan latar belakang calon secara teliti berdasarkan rekod mereka selama ini.
Rakyat harus menggunakan kuasa yang ada untuk memilih pemimpin. Rakyat juga boleh memecat politikus yang tidak berprestasi, bahkan tidak mampu menyelesaikan pelbagai permasalahan rakyat
Pilihan raya sepatutnya menjadi tempat untuk rakyat memilih calon berwibawa dan memecat calon sebaliknya diganti dengan pemimpin baharu yang berkemampuan, amanah dan jujur untuk memberi khidmat kepada rakyat.
Sejarah pernah menyaksikan Rasulullah SAW dan sahabat menjadi pemimpin yang berjaya mengubah landskap geopolitik dunia ke arah ketamadunan dan peradaban yang tinggi. Justeru, bertanggungjawablah ketika memilih pemimpin negara.
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia