Jumaat, 1 Julai 2022 | 10:30am
Orang ramai membeli buah durian. - Gambar hiasan/Danial Saad
Orang ramai membeli buah durian. - Gambar hiasan/Danial Saad

Tingkat produktiviti durian penuhi pasaran tempatan, eksport

Sebut sahaja raja buah sudah pastinya ramai akan membayangkan kulitnya yang berduri serta isinya berwarna kuning keemasan. Saban tahun jualan durian akan sentiasa mendapat sambutan yang tinggi serta menjadi bualan hangat.

Apabila tiba sahaja musim durian, peminat raja buah itu akan berpusu-pusu untuk membelinya tanpa mengira pagi atau malam. Di Malaysia, durian bukan hanya dimakan mentah, tetapi turut digunakan secara meluas dalam industri makanan. Misalnya ia dijadikan bahan dalam penghasilan ais krim, kek, keropok, snek ringan malah dijadikan sebagai manisan tradisional dan moden seperti serawa durian, bubur dan paf.

Selain itu, durian juga sebenarnya berjaya merapatkan hubungan kekeluargaan serta persahabatan kerana apabila tiba musimnya, kemeriahannya akan dikongsi bersama. Kadang-kala kita juga dapat melihat konvoi penduduk di negeri selatan yang sanggup datang ke utara semata-mata membeli durian. Malah, musim buah sebegini menjadi detik ahli keluarga berkumpul di kampung halaman.

Dari segi saintifik, durian menawarkan khasiat serta kebaikan terhadap kesihatan kerana mengandungi komponen berkhasiat seperti karotenoid dan flavonoid yang bersifat antioksida serta polifenol yang bertindak sebagai antiradang.

Ia juga membantu penghadaman berikutan kandungan seratnya yang tinggi selain kaya zat besi berupaya membantu mencegah anemia. Menariknya, setiap 100 gram durian menyumbang kira-kira 23.3 miligram vitamin C. Hal ini mampu mencegah masalah kekurangan vitamin C, sekali gus meningkatkan sistem imunisasi badan.

Namun, dari sisi yang lain pula pengambilan secara berlebihan boleh memudaratkan kesihatan kerana kandungan karbohidrat tinggi. Ia mampu menyebabkan kenaikan aras gula dalam darah, terutama kepada pesakit diabetes. Sekiranya kandungan gula dalam darah tidak terkawal sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Di Malaysia ketika ini, jenis durian paling popular dikenali sebagai musang king atau D197 berasal dari Tanah Merah, Kelantan. Ia bukan sahaja menjadi kegemaran tempatan, tetapi turut diimport dan menjadi pilihan di negara seperti China, Amerika Syarikat (AS) dan Australia. Permintaan tinggi menjadikan harganya yang lebih mahal.

Namun, selain musang king, sebenarnya terdapat lebih 200 jenis durian sudah didaftarkan Jabatan Pertanian Malaysia. Hal ini menjadikan Malaysia negara pengeluar durian terbanyak mengatasi Thailand dan Indonesia. Jabatan pertanian pada peringkat negeri juga aktif memperkenalkan baka baharu durian misalnya Jabatan Pertanian Negeri Kedah muncul dengan variasi terbaru dikenali sebagai D216 (J Sparrow) dan D217 (Jerai). Durian jenis ini ditanam di Kampung Ketapang, Sungai Tok Pawang, Bedong.

Umum mengetahui harga durian kini semakin meningkat sehingga membuatkan ada kumpulan masyarakat yang tidak mampu untuk menikmatinya. Hal ini seharusnya ditangani dengan baik dan antara kaedahnya dengan meningkatkan produktiviti durian dengan menambah jumlah pokok yang ditanam.

Produktiviti yang meningkat berpotensi merancakkan jualan, membantu menurunkan harga serta membolehkan ia lebih dinikmati semua masyarakat. Ketika ini musang king misalnya dijual dengan harga mencecah RM80 sekilogram. Jika produktiviti meningkat, rakyat dapat menikmatinya pada harga lebih rendah.

Dalam hal ini kita melihat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut bekerjasama dengan kementerian berkaitan bagi memperluaskan akses pasaran durian. Hal ini berpotensi untuk meningkatkan jualannya ke luar negara. Pada 2016 misalnya, FAMA merekodkan nilai eksport durian mencecah RM69.9 juta, manakala pada 2020 melepasi RM144.7 juta. Jabatan Pertanian menganggarkan pengeluaran durian di negara ini terus meningkat kepada 493,397 tan menjelang 2025.

Bagi memenuhi permintaan ini, produktiviti durian perlu ditingkatkan bukan hanya untuk tujuan eksport, tetapi juga memenuhi permintaan tempatan, sekali gus membolehkan petani mendapat pulangan lebih baik.

Nurul Ezzaty Mohd Azhari,
Universiti Putra Malaysia

Berita Harian X