Rabu, 15 Jun 2022 | 11:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Ibu bapa patut celik digital pantau aktiviti anak di media sosial

Sejak pandemik COVID-19, kehidupan harian kanak-kanak berubah menjadi lebih digital. Mereka menerima pendidikan secara maya dan menghabiskan banyak masa dalam talian.

Perubahan gaya hidup kanak-kanak ini menimbulkan kebimbangan mengenai apakah jenis masyarakat yang kita lahirkan pada masa hadapan. Sudah tentu ibu bapa yang sering diharap untuk melahirkan generasi bijak digital.

Malangnya ibu bapa selalu terabai dalam menerima bantuan atau rundingan setiap kali polisi, perancangan atau projek terhadap kehidupan anak mereka dirangka.

Ibu bapa jarang diberikan kemahiran atau latihan yang dapat membantu mereka menyediakan pengalaman digital paling selamat dan sesuai untuk anak.

Namun, apabila anak semakin terjerat dalam rangkaian teknologi media moden berbahaya, ibu bapa yang sering dipersalahkan.

Ada masanya, ibu bapa turut dituduh sebagai malas kerana terlalu mudah membiarkan anak menggunakan gajet atau alat digital. Sedangkan pada hakikatnya, cabaran ibu bapa hari ini jauh berbeza berbanding generasi sebelumnya.

Lebih mencabar, mereka tidak mendapat bimbingan dan didikan sewajarnya dalam hal keibubapaan digital. Tambahan program sedia ada kerap memberi penekanan pada kesan negatif serta mudarat internet, malah sering mengambil jalan mudah dengan menganjurkan supaya ibu bapa mengehadkan akses anak.

Keadaan ini memberi gambaran kepada ibu bapa bahawa kaedah asuhan digital yang paling berkesan ialah dengan menyekat dan mengawal. Sayang sekali, pandangan ini tidak menyeluruh kerana hakikatnya dunia menuju ke arah itu dan sekatan atau kawalan semata-mata tidak akan mampu melindungi anak daripada risiko negatif media digital.

Justeru, harus ada anjakan paradigma dalam pemahaman masyarakat terhadap apa yang dimaksudkan dengan keibubapaan digital. Berbanding menyekat, ibu bapa harus membenarkan dan terbabit dalam kemahiran digital anak. Ibu bapa tidak seharusnya bertindak sebagai penapis atau pengawal.

Sebaliknya, ibu bapa harus terbabit secara proaktif seperti berbual dengan anak mengenai aktiviti dalam talian mereka, menggalakkan minat dan berbincang mengenai cara menjaga keselamatan apabila menggunakan internet.

Ada masanya, ibu bapa juga harus sanggup belajar daripada anak yang sering terkehadapan dalam penggunaan media digital. Didikan yang positif dan bersifat menyokong ini akan dapat memberikan kesan yang lebih baik ke atas kebetahan anak berbanding kaedah yang menyekat.

Pada masa yang sama, cabaran ibu bapa masa kini tidak terhad kepada akses dan penggunaan digital. Terdapat banyak isu lain yang memberi kesan yang besar dalam kehidupan keluarga.

Pelbagai perubahan sudah berlaku sejak beberapa generasi yang lalu, dalam bentuk demografi, struktur susun lapis sosial, jaminan pekerjaan, struktur keluarga, pendidikan dan politik identiti antaranya.

Semua faktor ini turut memberi kesan mendalam terhadap tanggapan, penerimaan dan reaksi ibu bapa dalam menangani penggunaan teknologi digital anak mereka.

Dalam pada itu, masyarakat cenderung memandang ibu bapa sebagai satu golongan homogen. Lalu, cara asuhan digital mereka dikritik tanpa mengambil kira latar belakang dan sejarah hidup yang nyata membawa cabaran berlainan.

Pandemik COVID-19 memperlihatkan realiti ini, antaranya tidak semua keluarga berkemampuan untuk memiliki teknologi atau internet yang diperlukan untuk sesi pembelajaran di rumah, terdapat anak yang berisiko; terdedah kepada ancaman penderaan di luar dan dalam talian, selain terdapat anak yang mempunyai keperluan pendidikan istimewa atau hal lain yang gagal dipenuhi dengan pendidikan maya.

Kegagalan untuk mengenal pasti pengalaman setiap ibu bapa adalah unik dan berbeza menyukarkan lagi usaha memberi asuhan digital terbaik buat anak mereka.

Kesimpulannya, ibu bapa perlu diberikan kemahiran serta pendidikan keibubapaan digital. Malah, ia harus dilihat sebagai antara komponen pembelajaran sepanjang hayat yang membabitkan usaha pendidikan daripada tahap tadika sampailah ke peringkat warga emas.

Oleh itu, wajar ibu bapa sendiri dijemput untuk memberikan pendapat serta dibabitkan dalam wacana kritis yang melestarikan konsep keibubapaan digital.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Berita Harian X