Selasa, 29 March 2022 | 10:45am
Rokok elektronik dikhuatiri memberi kesan kepada kesihatan terutama kepada golongan remaja. - Foto hiasan
Rokok elektronik dikhuatiri memberi kesan kepada kesihatan terutama kepada golongan remaja. - Foto hiasan

Kerajaan perlu segera kuat kuasa peraturan rokok elektronik

Ketika ini sudah terdapat dalam kalangan kanak-kanak dan belia di Malaysia yang menjadi pengguna vape. Ia bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan terdapat 16,000 perisa vape di pasaran dan keadaan itu tentu saja berupaya menarik minat mereka.

Justeru, Persatuan Pengguna Pulau Pinang mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan mengenai undang-undang baharu berhubung merokok yang akan dibentangkan Julai nanti. Namun, bilakah tarikh sebenar ia akan dikuatkuasakan tiada siapa yang tahu.

Sebenarnya semakin lewat Kementerian Kesihatan bertindak dalam hal ini, makin meningkatlah risiko kesihatan kepada generasi muda.

Vape dan rokok elektronik sebenarnya berupaya membuatkan golongan pelajar ketagihan. Walaupun ia dilobi sebagai lebih selamat daripada rokok tetapi risiko berkenaan tetap ada.

Kita maklum industri ini menarik perhatian kerajaan disebabkan kemungkinan keuntungan tahunan sebanyak RM300 juta daripada hasil cukai.

Namun, dalam masa yang sama kita memerlukan kawalan terhadapnya. Ternyata pengumuman kerajaan mengenai pengenalan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok pada tahun ini masih lagi sekadar di bibir. Hal ini kerana vape, rokok elektronik dan lain-lain yang hampir dengannya masih dipasarkan, malah dengan lebih kreatif.

Contohnya, penyedutan rekreasi (RID) dipasarkan dengan dakwaan ia dapat membantu dalam menghentikan tabiat merokok dengan menawarkan alternatif ketagihan, selain dipromosikan sebagai 'kurang berbau'. Hal ini mengelirukan kerana hanya sedikit sahaja jumlah perokok yang meninggalkan tabiat itu selepas bertukar kepada RID.

Bagi sistem penghantaran nikotin elektronik (ENDS) pula ia menawarkan beribu-ribu perisa yang berpotensi menarik minat belia. Ia masih menggunakan nikotin dan apabila anak muda ini mula menyukainya mereka berkemungkinan ketagih seumur hidup.

Sebelum ini kerajaan sudah mengumumkan akan memperkenalkan undang-undang baharu melarang mereka yang dilahirkan selepas 2005 untuk merokok dan memiliki produk tembakau. Namun, sejauh manakah undang-undang ini boleh dilaksanakan sekiranya RID tersedia secara meluas?

Terdapat banyak kedai runcit termasuk kedai serbaneka yang menjual peranti sedemikian di seluruh negara sejak tahun lalu. Selalunya peranti sebegini dijual kepada pelajar melalui rakan-rakan dengan diskaun yang besar kerana keuntungan akan datang daripada penjualan berulang isian semula.

Daripada pek rokok yang besar, RID boleh menjadi rata seperti pek gula-gula getah. RID dengan mudah boleh dibawa ke sekolah kerana saiznya dan tabiat tidak sihat ini juga mudah tersebar dalam kalangan rakan sebaya.

Sewaktu kita berkempen supaya tabiat rokok dihentikan, RID adalah alternatif menggantikannya. Maka ia adalah kesinambungan ketagihan nikotin di Malaysia.

NV Subbarow,

Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Berita Harian X