Selasa, 15 Februari 2022 | 10:45am
Pemerhati politik meramalkan golongan muda akan menjadi elemen penentu dalam PRN Johor nanti. - Foto hiasan
Pemerhati politik meramalkan golongan muda akan menjadi elemen penentu dalam PRN Johor nanti. - Foto hiasan

Pemimpin politik perlu lebih fokus jaga kebajikan rakyat

AKHIRNYA Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan pada 12 Mac depan di sebalik pelbagai pandangan mengenainya. Bagi satu pihak, PRN itu dilihat sebagai tindakan bertanggungjawab untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.

Namun pada pihak yang lain pandangan sebegitu tidak dapat diterima memandangkan rakyat kini amat terkesan dengan keadaan ekonomi semasa berbanding isu berkait politik.

Johor adalah negeri keempat mengadakan PRN selepas Sabah pada 26 September 2020, Melaka (20 November 2021) dan Sarawak (18 Disember 2021). Wujud persoalan dalam kalangan pemerhati politik tanah air apakah Kedah dan Perak akan melengkapkan trend ini sebelum sempat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan nanti.

Sukar untuk menjawabnya kerana di dalam politik apapun boleh terjadi sama ada dirancang atau tidak. Sering kali penafian memberi maksud yang sebaliknya.

Dari satu segi, tiada undang-undang yang menghalang Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan tidak bersekali dengan pembubaran Parlimen. Ia adalah hak istimewa yang dimiliki sultan selepas dinasihati menteri besar masing-masing. Apa sekalipun, rakyat haruslah mendapat manfaat daripadanya dan bukannya dijarah semata-mata oleh wakil rakyat yang memenangi pilihan raya nanti.

Namun apa yang menjadi sungutan ialah pemilihan masa dan kesesuaian keadaan untuk mengadakan PRN memandangkan negara kini secara rasmi berada sepenuhnya dalam gelombang baharu COVID-19 yang didominasi oleh varian Omicron.

Peningkatan kes positif yang kini pada tahap lima angka setiap hari menyebabkan ramai beranggapan bahawa PRN Johor hanya akan memperjudikan nyawa dan keselamatan rakyat.

Namun begitu, satu persoalan timbul, apakah jaminan bahawa angka jangkitan tidak akan melonjak lebih tinggi dan keadaan akan terkawal selepas tamatnya PRN Johor nanti. Juga apakah jaminan bahawa parti yang bertanding akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) memandangkan beberapa kes pelanggarannya tetap berlaku ketika PRN Melaka.

Dalam pada itu, PRN Johor bakal menyaksikan buat pertama kalinya golongan muda berusia 18 tahun ke atas layak mengundi, sekali gus menjadikan ia sebagai penanda aras bagi PRU-15.

Dianggarkan terdapat lebih 750,000 pengundi muda dan di bawah umur 40 tahun, manakala daripada 1.8 juta pengundi yang layak mengundi pada PRU-14 lalu kini sudah bertambah kepada 2.5 juta pengundi.

Statistik ini jelas memberikan cabaran besar kerana untuk meyakinkan pemilih baharu mengundi sesuatu parti bukan tugas mudah. Apatah lagi mereka sudah bijak dan mampu untuk menilai apa jaminan terbaik yang dapat diberikan oleh kesemua parti bertanding.

Selain itu, agak sukar untuk mendapat gambaran ke arah mana kecenderungan anak-anak muda ini dan bagaimana mereka akan membuat pilihan nanti.

Apa yang pasti, anak muda khususnya yang tinggal di bandar lebih mengutamakan masalah berkaitan kualiti hidup mereka. Isu membelenggu mereka seperti peningkatan kos sara hidup yang tidak sepadan dengan gaji, peluang pekerjaan terhad, harga rumah terlampau tinggi serta peningkatan jurang kekayaan akan sentiasa menjadi keutamaan mereka berbanding isu politik.

Sementara itu, pemerhati politik meramalkan golongan muda ini akan menjadi elemen penentu dalam PRN Johor nanti sekiranya separuh daripada jumlah keseluruhan itu keluar mengundi.

Apapun, seharusnya kini pemimpin politik perlu lebih fokus menjaga kebajikan rakyat dan mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap kemampuan negara memperkasa ekonomi pada masa akan datang.

Perlu ada pendekatan berbeza dalam menguruskan proses pemulihan ekonomi negara di peringkat antarabangsa. Malaysia perlu mara seiring negara serantau seperti Indonesia, Singapura dan Kemboja.

Lihat sahaja Indonesia. Mereka kini mengorak langkah untuk semakin maju ke hadapan. Langkah pimpinan Jokowi memindahkan ibu negaranya walaupun mendapat tentangan sesetengah seteru politik, namun ia dilihat bakal menjadi destinasi pelaburan baharu.

Sedangkan di Malaysia, ahli politik Malaysia masih bertelagah sesama sendiri merebut kuasa.

Siapapun yang bakal dipilih menerajui kepimpinan Johor selepas ini seharusnya merangka perubahan terhadap polisi lama membabitkan kebajikan rakyat.

Harus diingat, rakyat kini sudah semakin bijak membezakan politikus yang benar-benar ingin berkhidmat kepada rakyat dalam keadaan sosio ekonomi yang terhimpit dengan kenaikan harga barang.

Mohd Salleh Osman, Putrajaya

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X