Sabtu, 29 Januari 2022 | 12:00pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Tangani kelemahan hadapi cabaran PdPR

PENULARAN COVID-19 sejak akhir 2019 mengubah sistem pendidikan di seluruh dunia. Jika sebelum ini persekolahan dibuat secara bersemuka, impak COVID-19 menyaksikan sesi pembelajaran dibuat dalam talian.

Murid dan guru perlu beradaptasi dengan situasi. Malah, cabaran guru lebih besar apabila perlu memikirkan kaedah pengajaran yang baik bagi mengekal minat pelajar.

Apatah lagi dalam masa sama di sesetengah kawasan, warga pendidikan perlu berhadapan dengan masalah sistem komunikasi yang tentunya mengkehendaki Kementerian Komunikasi dan Multimedia bergerak lebih aktif dalam menangani masalah dihadapi.

Pembelajaran dalam talian menerusi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) benar-benar mencabar sistem persekolahan. Manakan tidak, semua aktiviti yang dilakukan secara bersemuka sebelum ini seperti perhimpunan rasmi, sambutan hari guru, kejohanan sukan tahunan, dan lain-lain perlu diolah dan dilakukan secara dalam talian.

Bagi sektor pengajian tinggi pula, kebanyakan aktiviti yang dilakukan secara dalam talian adalah berkaitan seminar dan bual bicara.

Semua itu perlu ditangani dengan sabar selain disuntik kreativiti kerana ia tetapi perlu dibuat demi memenuhi kriteria sebagai sebuah sistem pendidikan yang berkualiti.

Namun, dalam setandan pisang, tak semua isinya elok. Begitulah juga dengan sistem PdPR, yang mana dalam kebaikan terselit juga keburukannya. Hal ini kerana, PdPR menjadi saksi bahawa ramai masyarakat negara kita yang buta teknologi.

Mutiara kata pada masa kini teknologi di hujung jari itu sememangnya benar. Namun, apa yang salahnya adalah masih ada masyarakat pada hari ini yang tidak tahu kaedah untuk menggunakan teknologi.

Perkara itu kebanyakannya berlaku membabitkan pelajar sekolah rendah yang mana ibu bapa mereka juga tidak mahir untuk menggunakan gajet dan mengajar anak-anak melalui saluran yang pihak sekolah sediakan.

Kesannya sesi PdPR tertangguh dan ada juga yang terus tercicir daripada silibus pembelajaran mereka.

Hal ini makin sukar apabila terdapat sebahagian pelajar dibelenggu faktor kemiskinan sehingga menyukarkan mereka untuk meneruskan pengajian secara dalam talian. Kemiskinan yang dihadapi membuatkan pelajar tidak mampu untuk membeli gajet seperti telefon pintar dan komputer riba.

Langkah kerajaan memperkenalkan bantuan telefon pintar bagi pelajar miskin adalah satu keputusan tepat. Namun, bantuan telefon pintar sahaja tidak cukup untuk meringankan beban sesetengah pelajar. Hal ini kerana, bagi pelajar yang miskin tegar mereka juga tidak mampu untuk membeli data internet yang harganya agak mahal.

Secara keseluruhannya, baik dan buruk PdPR mempengaruhi sistem pendidikan. Ia adalah hakikat yang perlu ditelan semua pihak. Kebaikan PdPR boleh menjadi penanda aras kepada sistem pendigitalan dan penggunaan teknologi dalam negara. Keburukan PdPR yang berlaku dalam segala aspek adalah kelemahan yang perlu ditangani oleh semua pihak terutamanya pihak kerajaan.

Apa juga sistem pembelajaran dan pengajaran yang dilakukan perlu berpaksikan matlamat melahirkan modal insan berpengetahuan tinggi dan berkemahiran.

Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X