Sabtu, 22 Januari 2022 | 11:29am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Mencari persamaan, pererat perpaduan dalam kepelbagaian

MENGIMBAU kenangan 30 tahun lalu di sebuah perkampungan nelayan yang majoritinya Melayu, di tengah-tengah kampung ada beberapa keluarga Cina.

Mereka umumnya peniaga dan hubungan di kampung ketika itu aman damai dengan setiap hari kebesaran diraikan bersama dengan berbahagi juadah. Misalnya ketika Aidilfitri, keluarga kami akan memberikan ketupat pulut kepada keluarga Cina dan pasti dibalas dengan beberapa tin susu pekat yang ketika itu dianggap makanan mewah.

Tiba Tahun Baharu Cina pula, mereka sanggup menempah pulut kuning dan gulai ayam daripada jiran Melayu yang siap dibungkus dalam plastik untuk diedarkan kepada tetangga.

Keindahan waktu itu, seakan sudah tiada hari ini. Sering juga tertanya, kenapa pada zaman tidak maju, komunikasi terhad melalui radio dan televisyen sahaja, kita boleh hidup bersama dengan damai walaupun berbeza keturunan?

Hari ini komunikasi mendekatkan yang jauh, maklumat pula di hujung jari tetapi perpaduan seolah-olah impian yang sukar digapai. Media penuh dengan berita dan cerita mengenai perkauman, adakah kemajuan menjadikan kita mundur dan pendidikan yang tinggi tidak menjadikan manusia lebih bijaksana dalam menilai dan bertingkah laku?

Bilakah kita akan lebih matang untuk bersatu padu dalam isu negara yang menjangkaui bangsa dan generasi? Bila kita akan sedar mengenai isu besar yang boleh meranapkan negara dan memiskinkan generasi mendatang jika ia tidak ditangani? Antara kaedah menanganinya tentu sahaja melalui mempereratkan perpaduan. Itulah ramuan terbaik membentuk persefahaman.

Namun, baru-baru ini kita dikejutkan dengan musibah banjir besar di Selangor yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Dari satu sisi, ia memperlihatkan perpaduan antara kaum masih hidup segar. Di sana-sini masyarakat pelbagai bangsa berganding bahu membantu meringankan beban mereka yang ditimpa bencana.

Berbunga rasa senang di hati menyaksikan senario ini, apatah lagi melihatnya tumbuh segar dalam kalangan generasi muda. Rupanya, kita perlukan suatu isu yang merentasi sempadan bangsa dan agama untuk semua bertaut hati memperjuangkannya.

Malaysia negara unik dengan masyarakat pelbagai bangsa, bahasa, agama dan budaya. Justeru, konsep yang ditekankan dalam Dasar Perpaduan Negara adalah 'Perpaduan dalam Kepelbagaian'.

Walaupun berlaku perubahan demografi etnik, semua individu di negara ini masih kekal dengan pegangan agama, pengenalan etnik dan budaya masing-masing.

Menurut kajian yang dilakukan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengenai perpaduan kaum di Malaysia pada 2014, lebih daripada 68 peratus responden daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India tidak mengamalkan budaya dan adat resam selain daripada budaya sendiri.

Kajian ini juga menunjukkan konsep asimilasi kurang diamalkan. Malah, jika kita lihat sekeliling, dapatan kajian ini masih relevan sesudah lapan tahun.

Justeru, langkah dan tindakan perlu diambil pelbagai pihak bagi memupuk dan mengukuhkan lagi perpaduan tanpa perlu menunggu satu lagi bencana.

Kita semua sebagai rakyat Malaysia diikat oleh prinsip asas yang digariskan dalam Perlembagaan dan Rukun Negara. Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara yang didukung oleh semua rakyat bagi menjamin kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara. Rukun Negara pula ideologi untuk menyeragamkan fahaman dalam kalangan pelbagai kelompok etnik dengan tujuan utama membentuk perpaduan yang mantap.

Selagi semua pihak menghormati dan mengamalkan prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan dan Rukun Negara, aspirasi perpaduan akan dapat dicapai.

Namun bagaimana memastikan ia berlaku? Di sinilah pentingnya penerapan nilai sebegitu sejak peringkat awal pendidikan tidak kiralah di sekolah kebangsaan, vernakular dan sebagainya.

Faktor kedua yang sangat penting untuk mengukuhkan perpaduan adalah peranan pemimpin pada semua peringkat dari yang paling rendah pada peringkat Jawatankuasa Kampung (JKK) hinggalah peringkat tertinggi negara.

Merekalah yang paling perlu membawa atau mempromosi kesatuan etnik dan bukannya memainkan isu perkauman untuk kepentingan peribadi dan politik masing-masing tanpa tanggungjawab.

Cukuplah memainkan isu perkauman dan agama bagi meraih undi yang kesannya akan melebarkan jurang perpaduan.

Dalam konteks masa kini di mana dunia tanpa sempadan, peranan media sangat penting untuk mengetengahkan perpaduan antara kaum dan agama.

Cerita baik dan tidak berat sebelah perlu diulangkan. Media tidak seharusnya dimanipulasi oleh mana-mana pihak untuk membawa isu sensitif atau cerita fitnah yang boleh meretakkan perpaduan kaum.

Peranan individu juga amat penting untuk memupuk perpaduan seperti yang dipamerkan dalam bencana banjir yang berlaku di Selangor.

Semua pihak perlu mengetepikan fahaman politik dan kepentingan peribadi untuk turun sama-sama membantu yang terkesan.

Jika kita semua bersatu, kita boleh memecahkan rantaian stereotaip yang selalu dijaja oleh setengah pihak untuk memecahkan perpaduan. Menerusinya, kita mampu memastikan keamanan negara serta melindunginya daripada segala kemungkinan. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Halipah Mat Ali, Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X