Khamis, 20 Januari 2022 | 8:36am
Daniel Iskandar sudah pun diadili dan terbaharu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan beliau melakukan kerja khidmat masyarakat selama 120 jam dan dikhususkan di masjid. - NSTP/Faiz Anuar
Daniel Iskandar sudah pun diadili dan terbaharu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan beliau melakukan kerja khidmat masyarakat selama 120 jam dan dikhususkan di masjid. - NSTP/Faiz Anuar

Mandikan remaja seperti jenazah 'hukuman' emosi di luar batasan

PEMUDA berusia 19 tahun, Daniel Iskandar Mohd Nasir menggemparkan Malaysia apabila video beliau dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap atas dakwaan mencuri tabung masjid baru-baru ini menjadi tular.

Sudah tentu jika terbukti bersalah perbuatan mencuri mahupun cubaan mencuri adalah jenayah. Ia tindakan berdosa dan patut dihukum bagi yang sudah mencapai usia baligh dan mukallaf selepas disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, apa yang dikesali adalah tindakan pihak tidak berautoriti yang memberinya 'hukuman', sedangkan dia sepatutnya dibawa ke muka pengadilan untuk diadili. Tindakan berkenaan adalah teladan yang salah dan memberi gambaran masyarakat awam mempunyai 'kuasa' untuk menjatuhkan hukuman.

Tidak dinafikan masyarakat mempunyai peranan mendidik generasi muda termasuk menggunakan kaedah hukuman sebagai pendidikan. Namun ia mestilah punya batas dan tidak mengikut emosi. Tindakan penuh emosi akan menyebabkan berlakunya hukuman luar batas apatah lagi apabila ia dirakam dan ditularkan pula di media sosial.

Penularan video beliau dimandikan secara jenazah juga sangat dikesali kerana ia memberi imej negatif dan mengundang pelbagai perspektif serta sangka buruk oleh masyarakat awam. Mereka ini tidak tahu isu dan fakta sebenar tetapi sangat mudah menjatuhkan hukuman.

Generasi muda dan masyarakat perlu terus dididik untuk menyemak fakta dan tidak mudah memberikan komentar liar terutamanya di media sosial. Paling penting masyarakat perlu sedar kesan perbuatan seperti itu yang mudah mengundang fitnah kepada kedua-dua belah pihak.

Kita tiada di tempat kejadian dan tidak memahami cerita sebenar ada baiknya jangan celupar memberikan komentar dan tuduhan.

Daniel Iskandar sudah pun diadili dan terbaharu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan beliau melakukan kerja khidmat masyarakat selama 120 jam dan dikhususkan di masjid, sekali gus mengetepikan keputusan hukuman 10 hari penjara dan denda RM4000.

Sebenarnya, kes seperti ini adalah sebahagian kecil daripada isu belia berisiko yang disenaraikan Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015 – 2035 untuk disantuni. Setiap anak muda berhak untuk menyerlahkan potensi diri. Justeru dia perlu diberikan sokongan moral dan sosial dengan memberikan peluang kedua. Apatah lagi dia masih muda dan mempunyai masa depan yang cerah jika dibimbing sebaiknya.

Kes seperti Daniel Iskandar ini perlu dibimbing dan diberikan peluang untuk belajar, membina kerjaya, berkeluarga dan berkhidmat kepada masyarakat. Kelompok seumpama ini tidak ramai, namun majoritinya perlukan sokongan persekitaran kerana seperti kata pepatah Arab, manusia adalah anak kepada persekitaran.

Justeru, pihak masjid dan persatuan belia setempat boleh membantu dalam membina semula akhlak dan bakat kepimpinan untuk membantunya berjaya dalam hidup. Jika kena cara dan gayanya dia boleh bingkas bangkit dan menjadi ikon perubahan anak muda dan agen perubahan untuk dijadikan teladan.

Pengalaman penulis melawat anak-anak muda di Sekolah Henry Gurney dan Penjara Sungai Buloh melalui projek Riben Kuning mendapati kedua-dua institusi ini sebenarnya institusi yang mengajarkan erti kehidupan dan makna keinsanan sebenarnya. Ternyata penjara fizikal itu membebaskan kurungan maknawi mereka lalu menjadikan kumpulan ini manusia yang jauh lebih baik apabila masuk semula ke dalam masyarakat.

Mari berikan peluang kedua kepada Daniel Iskandar dan belia berisiko sepertinya.

Jufitri Joha, Presiden Majlis Belia Malaysia

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X