Rabu, 22 Disember 2021 | 11:01am

Tingkat ilmu teknologi marin bantu kelestarian laut

Usaha memelihara dan memulihara hidupan laut sangat penting dalam pembangunan global disebabkan faktor ia sebagai ekosistem terbesar di alam ini.

Berdasarkan kajian, kehidupan di dalam laut seperti phytoplankton menyumbang sehingga 85 peratus oksigen di atmosfera bumi dan lautan itu sendiri, membentuk lebih daripada 97 peratus air di bumi.

Selain itu, hampir tiga bilion manusia di planet ini bergantung kepada hidupan laut sebagai sumber protein dan pendapatan.

Bagaimanapun, laut terjejas dengan pencemaran disebabkan sisa kumbahan dan hasil daripada aktiviti di darat. Di Malaysia misalnya, hampir setiap tahun lebih lapan juta tan plastik berakhir di laut.

Masalah pembuangan plastik sebegini sebenarnya memudaratkan kesihatan diri kita sendiri. Masalah pencemaran laut juga akan menjadi lebih buruk dan menimbulkan risiko kepada kesihatan awam serta memberi impak besar kepada industri perikanan dan habitat laut pada tahun akan datang.

Kepentingan mengurangkan pencemaran laut ini disenaraikan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang ditetapkan pada 2015.

SDG ini juga dirangka untuk mencegah dan mengurangkan segala jenis pencemaran laut, khususnya mencegah pembuangan plastik di laut.

Ketika ini, terdapat beberapa tindakan diambil kerajaan Malaysia bagi menangani masalah ini. Antaranya dengan melarang penggunaan bekas makan pakai buang dan menggalakkan penggunaan bekas sendiri.

Sasaran kedua ialah melindungi dan memulihkan ekosistem menjelang 2020 seterusnya, langkah mengurangkan keasidan lautan.

Dalam konteks lautan yang berasid, ia disebabkan peningkatan tahap karbon dioksida di atmosfera akibat daripada kegiatan manusia. Hal ini menyebabkan peningkatan karbon dioksida meresap ke permukaan laut yang memberi impak kepada hidupan marin yang berasid.

Seterusnya, kerajaan turut memperkenalkan perikanan lestari bermula tahun lalu iaitu kawalan terhadap kadar penangkapan ikan yang berlebihan dan membendung aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak diatur.

Dilaporkan, populasi ikan di perairan negara sudah mulai berkurang. Satu laporan dikeluarkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB tahun lalu menunjukkan hampir 95 peratus stok ikan dunia, sama ada ditangkap secara berlebihan atau ditangkap secara maksimum.

Malaysia berada di tangga ke-20 negara dengan hasil tangkapan ikan terbesar di ASEAN. Jika penangkapan secara maksimum ini masih diteruskan dan tidak dibendung, kemungkinan besar semua spesies ikan yang ditangkap sekarang ini akan pupus menjelang 2048.

Atas kesedaran itu, Jabatan Perikanan Malaysia mengambil inisiatif dengan mewujudkan taman laut dan kawasan larangan perikanan untuk memberi ruang kepada pemulihan populasi ikan.

Pemuliharaan kawasan pesisiran laut juga penting dalam mengelakkan pencemaran laut. Contohnya, melindungi spesies hidupan marin yang semakin terancam termasuk menjaga biodiversiti laut. Malah, kerajaan juga perlu melarang subsidi perikanan yang menyumbang kepada penangkapan ikan secara berlebihan.

Dalam usaha itu, faedah ekonomi daripada penggunaan sumber laut juga perlu dilihat bagi tujuan membantu negara sedang membangun dan kurang membangun. Ia bagi memastikan penggunaan sumber laut secara lestari termasuk pengurusan perikanan dan pelancongan.

Namun perkara paling utama tentu sahaja meningkatkan pengetahuan saintifik dan teknologi marin supaya dalam membantu kelestarian laut. Selain itu, melindungi hak nelayan kecil juga penting kerana mereka juga menyumbang kepada ekonomi negara dalam industri perikanan.

Langkah itu perlu dilaksanakan dengan menguatkuasakan undang-undang laut antarabangsa. Ini penting supaya SDG mencapai matlamatnya.

Marsya Syahira Marzuizuddin,

Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Berita Harian X