Sabtu, 18 Disember 2021 | 10:30am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Buli bukan lagi bahan gurauan

Buli sering kali dianggap sebagai hanya sekadar gurauan tanpa kita memahami apakah sebenarnya maksud perbuatan itu dan kesannya kepada mangsa.

Adakah benar ia sekadar usikan dan boleh dikategorikan sebagai gurauan? Buli sebenarnya perbuatan yang berniat menunjukkan kekuatan, menggertak atau mencederakan orang yang dilihat berkeadaan lebih lemah daripada si pelaku. Buli bukan lagi mainan atau gurauan, tetapi ia sememangnya sesuatu yang perlu dipandang dan ditangani secara serius.

Merujuk kepada Persatuan Psikologi Amerika, buli bermaksud kelakuan agresif dilakukan secara sengaja oleh seseorang dalam tempoh berulang kali yang menyebabkan orang lain cedera atau tidak tenteram. Buli boleh terjadi secara fizikal, dalam bentuk perkataan atau secara lebih halus seperti mental.

Mangsa buli kebiasaannya tidak dapat mempertahankan diri dan dalam masa yang sama gagal melakukan apa-apa bagi mengelakkan dirinya menjadi mangsa.

Berdasarkan perspektif Islam, perbuatan buli tidak boleh dilakukan kerana ia bertentangan dengan agama dan nilai kemanusiaan. Ia juga bertentangan dengan Islam sebagai satu agama yang memelihara karamah insaniah atau kemuliaan insan. Dalam surah Al-Isra' ayat 70, Allah SWT berfirman yang bermaksud; "..,Dan demi sesungguhnya kami memuliakan anak Adam."

Masalah buli yang tidak dapat dibendung sejak awal akan meninggalkan kesan negatif kepada mangsa. Misalnya, mangsa akan mengalami kebimbangan yang dahsyat, masalah mental, kecederaan fizikal, enggan ke sekolah dan pelajarannya merosot, sekali gus pencapaian akademik merudum.

Justeru, usaha membanteras perbuatan buli ini perlu ditangani oleh semua lapisan masyarakat secara bersama dan ia bukan hanya tertumpu kepada satu pihak saja. Perbuatan buli ini haruslah dibendung sebelum ia menjadi tidak terkawal dan sewajarnya diberi perhatian penuh oleh semua lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda.

Selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara untuk melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan saja. Hal ini kerana generasi muda adalah penggerak kepada masa depan sesebuah negara.

Auni Najahul Qirana Mohd Khazani,
Nilai, Negeri Sembilan

Berita Harian X