Khamis, 2 Disember 2021 | 11:00am
Penguatkuasaan secara berterusan mampu mengawal kenaikan harga barangan keperluan pengguna.
Penguatkuasaan secara berterusan mampu mengawal kenaikan harga barangan keperluan pengguna.

Tindakan proaktif kawal kenaikan harga barang

Kenaikan harga barangan yang tidak terkawal ketika ini memerlukan satu mekanisme atau pelan tindakan jangka masa panjang supaya situasi sebegini tidak berulang.

Keadaan semasa dengan kenaikan harga barang nyata membebankan rakyat khususnya golongan B40 yang sebelum ini terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sudah pasti segala kepakaran, idea daripada sarjana, profesor dan barisan ilmuan yang ada di kementerian dan negara ini dapat digembleng dalam mencari solusi kepada isu kemaslahatan itu.

Saya sendiri merasai kesan kenaikan harga ini sambil berkongsi keluhan pengguna lain apabila mendapati harga bahan mentah yang selalu dibeli di kedai yang kerap dikunjungi sudah melambung tinggi.

Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sepatutnya sudah boleh menjangkakan keadaan sebegini dan membuat persediaan awal. Apabila banyak sektor dibuka selepas PKP, pasti memberi impak khususnya dalam soal harga barangan.

Di pihak pengguna, kita memahami dan boleh menerima kenaikan harga munasabah dengan mengambil kira faktor gangguan bekalan kepada rantaian bekalan dunia. Ini tentu sahaja akibat daripada banyak sektor ekonomi dibuka serentak lalu menyebabkan permintaan tinggi namun faktor ini tidak seharusnya menjadi punca kenaikan yang melampau hingga melebihi 70 peratus.

Kenyataan pengurusan tertinggi KPDNHEP juga tidak banyak membantu malah menimbulkan kekeliruan di pihak pengguna. Paling tidak, skrip 'bangau oh bangau' pasti berulang. Seperti biasa, penguatkuasaan melalui tindakan undang-undang perlu dilaksanakan lebih proaktif dan serius untuk mencari punca adakah dalangnya berpunca daripada pengeluar, orang tengah atau peniaga sendiri yang menaikkan harga sesuka hati.

Jika sebelum ini kerajaan boleh menurunkan harga RTK antigen daripad RM39.90 sewaktu mula dipasarkan kepada RM4.90 hari ini mengapa perkara sama tidak boleh dilakukan kepada lain-lain produk pengguna ?

Siapa lagi yang kita harapkan kalau bukan kementerian yang diamanahkan dan pak menteri yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat di bawah ini ?

Kami berharap isu kepentingan rakyat seperti ini perlulah ditangani dengan bijaksana dan kementerian perlu lebih peka supaya pengguna tidak terbeban. Perlu ada 'pendekatan' yang sewajarnya dan bukan sekadar 'berharap'.

Rakyat terbeban,

Kuala Lumpur

Berita Harian X