Sabtu, 20 November 2021 | 10:30am
Anggota Tentera mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Kem Terendak 2 ketika proses undi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. - Gambar hiasan/Asyraf Hamzah
Anggota Tentera mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Kem Terendak 2 ketika proses undi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. - Gambar hiasan/Asyraf Hamzah

Pengundi perlu pilih wakil rakyat setia, bertanggungjawab

Pilihan raya adalah medan memilih calon yang dapat mewakili suara rakyat bagi membuat keputusan terbaik untuk mereka. Justeru, penduduk Melaka seharusnya memilih calon terbaik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bagi mengubat rasa terkilan disebabkan PRN itu berlangsung gara-gara wakil yang diundi sebelum ini mengalih sokongan.

Lebih teruk, berlaku juga lompat parti yang mana apabila hal itu berlaku sistem pentadbiran menjadi goyah dan akibatnya merugikan rakyat.

Bagi ahli politik pula, sesudah tamatnya pilihan raya nanti apa yang dimahukan pengundi adalah kerajaan yang konsisten. Janganlah lagi melompat parti dan tidak setia kerana ia hanya memberi kerugian kepada rakyat. Disebabkan sikap ahli politik melompat parti, sejumlah wang perlu dikeluarkan untuk mengadakan pilihan raya. Sedangkan, dalam waktu kita baru hendak pulih daripada kesan COVID-19, alangkah baik wang itu dibelanjakan untuk manfaat dan kebajikan rakyat.

Kita sebagai pengundi pula pilihlah calon terbaik mewakili suara rakyat. Dalam konteks kaca mata masyarakat, calon itu mestilah mempunyai ciri-ciri baik dan mewakili parti yang diyakini mampu untuk memimpin sesebuah kerajaan. Hari ini terdapat banyak parti politik membuat dakwaan mereka mampu menjadi wakil rakyat yang baik. Namun realitinya adakah sedemikian?

Sebagai anggota masyarakat, kita tentunya mahu calon yang jujur dengan manifesto dibawa dan paling penting berupaya menunaikannya selepas beroleh kemenangan. Calon juga haruslah bersikap amanah dalam melaksanakan tugas sebagai seorang wakil rakyat kelak.

Secara umum, masyarakat memang lebih tertarik kepada calon yang mudah mendekati rakyat, mesra dan tidak kekok bergaul dengan penduduk setempat. Ziarah ketika sakit atau hadir ke jemputan kenduri kendara di kawasan yang diwakili tentu sahaja faktor memudahkan calon disenangi pengundi.

Pemilihan wakil rakyat juga haruslah berdasarkan keterampilan diri dan parti yang disertai. Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman dalam Surah Shad pada ayat ke-47 yang bermaksud : "Dan sesungguhnya mereka di sisi Kami adalah dari orang-orang pilihan yang sebaik-baiknya."

Justeru, pengundi harus memilih dengan rasional dan pertimbangan akal, bukannya secara mudah terpengaruh dengan segala janji serta suara lantang calon ketika berkempen. Namun, paling utama calon mestilah mempunyai rasa setia tidak berbelah bahagi kerana pada akhirnya apa yang ditabur sebelum pilihan raya adalah janji.

Muhammad Zulhelmi Ahmad Zulkifli,
Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X