Selasa, 12 Oktober 2021 | 11:01am

Patuh SOP, elak 'mengata dulang paku serpih'

Lagu Balik Kampung nyanyian Allahyarham Sudirman berkumandang di media sosial dan komunikasi, manakala video manusia menyerbu keluar dari rumah masing-masing atau selepas pagar dibuka tular selepas Perdana Menteri mengumumkan kebenaran rentas negeri, kelmarin.

Sudah berbulan-bulan lamanya sebahagian besar masyarakat 'terkurung' di daerah dan negeri mastautin masing-masing sejak sekatan pergerakan penuh diumumkan sebelum Aidilfitri lalu.

Justeru, kebenaran rentas negeri dan keluar negara tanpa memerlukan kebenaran polis atau melalui #MyTravelPass kepada individu lengkap vaksinasi COVID-19 perlu disambut dengan syukur.

Apatah lagi ia juga bermakna kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negara ini di bawah Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sudah mencapai 90 peratus, manakala proses pemberian vaksin pula sedang berlangsung kepada murid dan pelajar sekolah.

Kelonggaran itu menandakan kita dalam proses menghadapi fasa endemik dalam tempoh terdekat, malah ia sebagai langkah penting untuk menghidupkan sektor ekonomi secara keseluruhan, termasuk pelancongan.

Oleh itu, meskipun kita bersedia untuk merentas negeri, terutama balik kampung menemui ibu bapa atau keluarga yang sekian lama terpisah, khususnya hujung minggu dan cuti Maulidur Rasul pada minggu hadapan, kita tidak boleh bersikap sambil lewa terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Semua orang perlu memberikan perhatian terhadap Perdana Menteri supaya melaksanakan TRIIS, iaitu Test (melakukan ujian kendiri); Report (laporkan hasil ujian di MySejahtera); Isolate (pengasingan kendiri); Inform (jika positif maklumkan kepada kontak rapat) dan Seek (dapatkan rawatan segera).

Malah, tidak ada salahnya untuk kita membuat ujian Real-Time reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) atau Ujian Pantas (RTK) Antigen kendiri sebagai langkah melindungi ibu bapa atau ahli keluarga rentan dan memiliki sejarah komorbid.

Ia mungkin meningkatkan kos 'balik kampung' kita, tetapi anggaplah seperti mengambil 'insurans' untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Hakikatnya, hujung minggu dan cuti nanti akan menjadi petunjuk sejauh mana kita bakal mencorakkan kehidupan kita selepas ini, khususnya dalam memastikan penularan pandemik COVID-19 tidak berulang lagi.

Mungkin sebelum ini kita mengkritik tindakan ahli politik yang mengambil langkah politik yang boleh menjejaskan pemulihan negara, termasuk menyebabkan pilihan raya diadakan atau mencetuskan kluster politik pada tahun lalu.

Sekarang, kita akan diuji sejauh mana kita mematuhi SOP seperti ditetapkan kerajaan atau kita sebenarnya tidak lebih mengata dulang paku serpih.

Shahrizal Saari,

Kuala Lumpur

Berita Harian X