Selasa, 21 September 2021 | 10:30am
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (tengah) bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kanan) ketika lawatan kerja ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, semalam. Turut sama Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Zaiton Udin (kiri). - Foto Luqman Hakim Zubir
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (tengah) bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kanan) ketika lawatan kerja ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, semalam. Turut sama Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Zaiton Udin (kiri). - Foto Luqman Hakim Zubir

Khairy diyakini mampu selesai pelbagai isu sektor kesihatan

Pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan berdasarkan prestasi dan pencapaiannya. Sebagai bekas Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), beliau memiliki rekod prestasi baik untuk meletakkan Malaysia pada landasan betul.

Khairy segera mengumumkan 80 peratus populasi dewasa akan diberi vaksin sepenuhnya dalam 100 hari pertamanya di pejabat, selain melancarkan vaksinasi untuk remaja berusia 12 hingga 17 tahun, dimulai Sarawak.

Fasa pandemik COVID-19 juga diumumkan akan beralih ke fasa endemik untuk memastikan pembukaan semula sektor ekonomi dilaksanakan dengan segera.

Bagaimanapun, beberapa masalah lain perlu ditangani segera. Pertama, sistem penjagaan kesihatan kita tidak dirancang untuk menangani krisis ini dan menghadapi tentangan kesihatan berskala besar yang memerlukan mobilisasi sumber daya dengan segera.

Disebabkan seluruh populasi berisiko, sektor kesihatan dilihat semakin lemah kerana pekerja kesihatan seperti doktor dan jururawat semakin letih dari segi fizikal dan mental.

Selain itu, infrastruktur dan kemudahan hospital sedia ada kekurangan kapasiti untuk menampung pesakit COVID-19.

Kerajaan seharusnya memikirkan strategi untuk menggunakan ruang awam dan fungsi pentadbiran yang tidak memerlukan perawatan pesakit langsung hingga memperuntukkan lebih banyak ruangan fizikal untuk digunakan kepada pesakit kritikal.

Antara langkah penyelesaian ialah kerjasama awam swasta (PPP) untuk peningkatan kecekapan dan hasil lebih baik berkaitan penyampaian perawatan kesihatan.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga dapat memanfaatkan sekitar 6,000 pengamal perubatan dari sektor swasta dengan memindahkan sebahagian pesakit kepada mereka. Kos akan ditanggung kerajaan agar overhed di klinik kesihatan awam boleh dikenakan bayaran sama oleh pengamal perubatan dari sektor swasta.

Disebabkan sebahagian besar hospital swasta dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perkara ini akan lebih memudahkan KKM untuk terbabit dalam membincang dan menyusun perincian dan mengintegrasikan pendekatan lebih holistik dengan alasan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

KKM juga harus diperkuatkan untuk mencegah penyebaran varian baharu, bukan hanya menangani cabaran seperti itu hanya ketika berlaku pandemik.

Sementara itu, fokus kepada pesakit COVID-19 mengakibatkan peningkatan prosedur perawatan kesihatan lain dan peningkatan prevalensi penyakit tidak berjangkit seperti barah, obesiti serta diabetes ketika pandemik ini.

Keperluan mendesak lain adalah untuk memperbaiki dilema doktor kontrak. Pada Disember 2016, sistem ini diperkenalkan untuk mengatasi kekurangan graduan perubatan daripada 11 universiti awam (UA), 21 kolej swasta dan 300 sekolah perubatan asing diiktiraf dengan jumlah 4,000 doktor graduan setiap tahun.

Menurut KKM, ada 23,077 pegawai perubatan kontrak diserap masuk sejak 2016 yang hanya 789 diserap sebagai kakitangan tetap. Selebihnya dilantik berdasarkan kontrak antara dua hingga lima tahun oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Baru-baru ini, sebahagian doktor kontrak melakukan hartal, menuntut hak lebih adil kepada lebih daripada 20,000 doktor junior bekerja berdasarkan kontrak, walaupun mereka memainkan peranan penting dalam memerangi COVID- 19.

Apa diinginkan mereka ialah keselamatan kerja, hak sama dan adil, kriteria terperinci serta telus untuk kemasukan ke jawatan tetap dan laluan jelas bagi pengkhususan pascasiswazah.

Lebihan doktor dapat diatasi dengan memastikan semua UA memilih pelajar berdasarkan mempunyai kelulusan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Akhirnya, kita harus melihat ukuran anggaran, peruntukan khusus dan kesinambungan kewangan belanjawan penjagaan kesihatan semasa. KKM memerlukan dana untuk kemudahan infrastruktur kesihatan lebih baik.

Anggarannya belanjawan terkini sekitar RM32 bilion, ketika ini hampir mendekati RM60 bilion kerana kita memerlukan sistem penjagaan kesihatan dan kemudahan lebih baik.

Bagi kumpulan berpendapatan rendah, kerajaan sebelum ini mencadangkan skim insurans penjagaan kesihatan nasional dengan memberikan perlindungan insurans kesihatan RM10,000 setiap tahun kepada semua keluarga B40 untuk rawatan di pusat rawatan kesihatan swasta.

KKM harus terbabit dengan masyarakat sivil untuk memastikan perkara ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Oleh itu, Belanjawan 2022 dibuat untuk memfokuskan pembangunan sektor kesihatan awam dengan meningkatkan kemampuan dan kualitinya, memperkuat modal insan dalam perawatan kesihatan awam serta memupuk kerjasama lebih erat antara penyedia kesihatan sektor awam dengan swasta.

Pandemik ini menunjukkan saling kebergantungan antara dasar penjagaan kesihatan, sumber, kewangan dan penjagaan berpatutan untuk semua rakyat. Dasar kami harus memastikan sumber sedia ada digunakan secara optimum.

Sebagai pegawai perubatan di KKM, saya yakin Khairy akan menyelesaikan semua masalah disebutkan dengan kemampuan terbaiknya.

Dr Myelone Tharmaseelan,
Pegawai Perubatan, Kementerian Kesihatan

Berita Harian X