Sabtu, 24 Julai 2021 | 11:01am
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Strategi terbaik urus wabak bantu PKS bertahan

Sudah lebih setahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Sepanjang tempoh ini, kita mengalami jatuh bangun dalam usaha melawan pandemik COVID-19.

Usaha awal hampir berjaya, tetapi kini seolah-olah kurang ampuh melawan virus varian baharu. PKP turut berevolusi mengikut keperluan semasa.

Mei tahun lalu, tulisan saya di ruangan ini berkisar keperluan peniaga kecil kepada insentif rangsangan lebih bersasar oleh kerajaan. Saya ceritakan betapa pentingnya kerajaan mempercepatkan usaha digitalisasi peniaga mikro dengan mewujudkan medium alternatif untuk berniaga secara dalam talian.

Tahniah dan syabas diucapkan kerana selepas itu, banyak inisiatif dilakukan agensi kerajaan, antaranya latihan dalam talian oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) untuk memperkasa penggiat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam arus digitalisasi.

Inisiatif itu sedikit sebanyak membantu usahawan bertahan dalam era pandemik. Modul diajarkan berteraskan platform digitalisasi percuma sedia ada dalam pasaran dan mudah diakses.

Bagaimanapun, kesan digitalisasi memperlihatkan jurang praktikaliti dan kelestarian pelaksanaan apabila jualan dilaksanakan secara dalam talian, tetapi barangan serta perkhidmatan tidak dapat disempurnakan kerana PKP. Prosedur operasi standard (SOP) tidak jelas, turut menambah ketidakstabilan operasi.

Contohnya, pelanggan membeli pendingin hawa secara dalam talian untuk dipasang di kediaman, tetapi pemasangan tidak boleh dijalankan ketika PKP. Peniaga terpaksa menanggung kos menawarkan diskaun dan potongan harga untuk menarik pelanggan walaupun perkhidmatan dan barangan hanya boleh dihantar selepas tamat PKP.

Sama juga kes bungkusan barangan rosak, lewat hantar dan hilang kerana pengendali kurier kekurangan tenaga kerja menguruskan peningkatan pesanan mendadak.

Kerajaan seharusnya lebih peka mengatur strategi mengimbangi antara menangani pandemik dengan memastikan ekonomi kekal membangun.

Pada masa sama, dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), mereka terbabit dalam sektor mempunyai risiko tinggi perlu diberikan panduan mengenai risiko mungkin dan bakal berlaku. Peniaga perlu dimaklumkan, berapa lama masa diperlukan untuk negara pulih kembali.

Kerajaan disyorkan mewujudkan medium sebaran maklumat secara tersusun dengan penyediaan pelbagai garis panduan bagi memudahkan tindak balas responsif peniaga.

Agensi khas boleh berhubung terus dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan maklumat kawasan dijangka mengalami peningkatan COVID-19. Data awal boleh diguna sebagai asas untuk dihebahkan secara berkala. Peniaga kecil akan mempunyai ruang melakukan penyesuaian mengikut saranan agensi terbabit.

Hebahan awal bukan sahaja menangani isu pembaziran stok, malah menstabilkan operasi peniaga. Mereka boleh merancang gerak kerja diperlukan, membuat belian stok pukal sebelum penutupan premis dan menyusun kakitangan sesuai keperluan. Inisiatif ini akan memastikan perniagaan kecil mampu bertahan kerana pengusaha tidak mempunyai banyak simpanan untuk menghadapi arahan penutupan premis mendadak berkali-kali.

Sudah setahun PKP diperkenalkan, justeru kita diharap sudah matang mensiagakan SOP terbaik bagi pengurusan pandemik ini. Kerajaan melalui agensi terbabit perlu proaktif agar pasaran domestik mampu bertahan hingga wabak berakhir.

Izhaar Fazlie Amin Buhari

Pengarah Urusan Mawar Teraju Sdn Bhd

Berita Harian X