Sabtu, 24 Julai 2021 | 11:00am
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Kerajaan negeri perlu tegas usir penceroboh hutan simpan

Operasi penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang berkaitan isu penanaman haram di Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub, baru-baru ini, wajar dipuji. Namun, persoalan paling ketara, apakah pencerobohan ini baru atau sudah lama berlanjutan?

Pada awal 2002, terdapat kajian Pembangunan Lestari di Tanah Tinggi Semenanjung. Kajian dijalankan Tabung Hidupan Liar (WWF) dengan Pejabat Perdana Menteri di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan disokong Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), yang mengetengahkan isu pencerobohan hutan simpan di Hutan Simpan Gunung Benum di Raub.

Menurut kajian itu, Banjaran Benum yang terletak di antara Jerantut, Raub dan Temerloh, menempatkan antara rizab hidupan liar terbesar di Semenanjung, iaitu Rizab Hidupan Liar Krau. Satu daripada Hutan Simpan Kekal (PFR), Gunung Benum juga terletak di banjaran itu.

Kajian itu menunjukkan petani haram menceroboh Hutan Simpan Gunung Benum, yang dilaporkan sebagai 'pencerobohan seluas 2,800 hektar,' meliputi tanah kerajaan negeri dan hutan simpan.

Hampir dua pertiga pencerobohan itu berada dalam kawasan hutan simpan dan dibersihkan untuk penanaman komersial. Ini adalah di daerah sama yang baru-baru ini kita dapat lihat 15,000 pokok durian ditebang kerana ditanam secara haram di kawasan hutan simpan.

Hari ini, saya terkejut dengan cara dua ahli politik tempatan di Raub yang seperti mempermainkan isu ini secara terbuka. Seorang daripadanya mendakwa terdapat pencerobohan durian haram seluas 4,500 hektar di Raub dan sedikit sebanyak ada benarnya.

Seorang lagi mengeluarkan kenyataan dalam wawancara video baru-baru ini, mendakwa 70 peratus durian dihasilkan di Raub berasal dari ladang haram ini.

Berdasarkan statistik Jabatan Pertanian, Raub menghasilkan 71,000 tan durian pada 2019, apakah ini bermakna 70 peratus daripadanya adalah sebanyak 49,700 tan setahun. Dengan mengandaikan pengeluaran sebanyak 3.5 tan per ekar setiap tahun, apakah ini bermakna skala pencerobohan di Raub mencapai lebih 5,700 hektar?

Jika diambil kira skala pencerobohan dan saiz industri ini, ditambah kemungkinan kegiatan rasuah, perkara ini sangat merunsingkan. Berdasarkan permintaan pasaran semasa dari China sebanyak hampir 700,000 tan setiap tahun dan eksport Malaysia hanya 30,000 tan seperti dilaporkan, bayangkan tahap pencerobohan haram ini dalam jangka lima tahun ke depan jika terus dibiarkan?

Bagaimanapun, kedua-dua ahli politik berkenaan menggambarkan seolah-olah petani haram ini telah menjadi 'mangsa, miskin dan teraniaya.'

Dengan kadar pengeluaran 3.5 tan per ekar pada harga ladang purata RM30 per kilogram, kita melihat angka pendapatan tahunan sebanyak RM1.5 bilion untuk 5,700 hektar pencerobohan.

Ini secara jelas perniagaan menguntungkan lebih-lebih lagi jika diambil kira transaksi berasaskan tunai dan tanpa rekod. Sekiranya setiap petani mengusahakan ladang durian haram seluas 4 hektar, mereka akan menikmati pendapatan RM1.05 juta setahun.

Mereka pastinya bekerja keras, tetapi mengkategorikan mereka sebagai miskin adalah mustahil.

Bagaimana pula dengan petani mengusahakan kebun berlandaskan undang-undang dan membayar cukai tanah serta cukai pendapatan? Bukankah ini ketidakadilan kepada petani yang sah? Mungkin Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu menyiasat hal ini dengan lebih lanjut. Adalah sangat memalukan apabila ahli politik terus bermain dengan retorik dan sentimen sebegini.

Baru-baru ini, seorang ahli politik berkata tidak ada orang akan terlepas daripada LHDN dan pendekatan 'undang-undang adalah undang-undang' perlu digunakan ketika berurusan dengan peniaga. Mengapa sekarang ahli politik sekutunya bertukar slogan pula di Raub?

Saya berharap operasi kerajaan negeri untuk mengusir petani haram di Hutan Simpan Batu Talam baru-baru ini bukan sekadar aksi publisiti. Tindakan itu perlu diteruskan dengan baki 4,500 hingga 5,700 hektar pencerobohan haram?

Dalam tindakan tegas terhadap pencerobohan haram ini, kita juga harus melihat perkara ini dari perspektif ekonomi Malaysia. Durian kini antara sumber pendapatan eksport paling berpotensi negara.

Sekiranya kerajaan negeri tiada penyelesaian holistik terhadap isu kompleks ini, mereka perlu berani melakukan operasi penguatkuasaan terhadap semua peneroka haram. Semoga kerajaan dapat menyelesaikan masalah rumit ini.

Stephen Wong,

Dengkil

Berita Harian X