Jumaat, 23 Julai 2021 | 11:01am

Atlet perlu pamer daya juang tinggi di Tokyo

Kontinjen negara yang beraksi di Olimpik Tokyo 2020 perlu membuktikan sasaran tiga pingat termasuk sebutir emas seperti diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dapat diraih dan tidak hanya pulang dengan tangan kosong.

Sasaran itu realistik bersandarkan keupayaan atlet daripada sukan menjadi prospek pingat, iaitu lumba basikal (trek), badminton dan terjun.

Rakyat tentu mahukan pelaburan berbaloi kerana perbelanjaan tinggi dikeluarkan kerajaan untuk membiayai program persediaan atlet negara. Contohnya, basikal digunakan jaguh lumba basikal trek negara, Datuk Azizuhasni Awang dianggarkan mencecah RM13 juta.

Sememangnya diakui tidak mudah untuk memenangi pingat dalam sukan terbesar di dunia itu, tetapi peminat tanah air tentu mengharapkan pencapaian lebih baik dipamerkan atlet negara berbanding empat perak dan satu gangsa dalam temasya Olimpik Rio 2016.

Pada masa sama, perlu diakui persiapan 30 atlet negara membabitkan 10 jenis sukan pada temasya kali ini amat berbeza ekoran impak COVID-19.

Mereka hadir dalam keadaan serba mencabar dan berdepan suasana di luar kebiasaan, selain tidak dapat menjalani latihan seperti biasa. Sebahagiannya kurang pendedahan pada peringkat antarabangsa untuk meningkatkan daya saing.

Mungkin ramai tidak sedar sebelum berangkat ke Tokyo, atlet berkenaan mengharungi kehidupan jauh berbeza kerana mereka hidup dalam gelembung sukan dan tidak dibenarkan keluar atau bertemu keluarga. Ini boleh menyebabkan mereka berada dalam tahap kebosanan tinggi.

Namun seperti dijelaskan Reezal Marican, atlet berjaya melaluinya kerana mental mereka sangat kuat. Justeru, pengalaman itu diharap dapat membantu mereka menggalas cabaran temasya kali ini yang menghimpunkan 11,000 atlet daripada 206 negara di seluruh dunia.

Apa yang pasti, Azizulhasni diletakkan antara sandaran terbaik Malaysia meraih pingat emas Olimpik bersandarkan pengalamannya beraksi dalam tiga temasya sebelum ini, selain kejayaan meraih gangsa acara keirin pada Rio 2016.

Juara Badminton Seluruh England 2021, Lee Zii Jia dan gandingan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut menjadi harapan meraih pingat. Pandalela Rinong serta Cheong Jun Hoong masing-masing ialah prospek acara terjun perlu diberikan tumpuan.

Apapun, ada khuatir prestasi Zii Jia memandangkan ketika beliau menjuarai Seluruh England pada Mac lalu, ramai pemain terbaik dunia seperti dari China dan Taiwan tidak menyertainya, manakala pemain Indonesia pula menarik diri selepas pusingan pertama.

Meskipun jaguh Jepun, Kento Momota berjaya dijinakkan Zii Jia, ketika itu Momota bukan berada pada prestasi terbaiknya dan kali ini, bermain di tempat sendiri.

Justeru, berdasarkan situasi itu, Zii Jia diharap mampu menguruskan tekanan dan kekal fokus memberikan keputusan diharapkan di Olimpik ini.

Bagi Peng Soon-Liu Ying yang hadir untuk penampilan kali ketiga di Olimpik selepas London 2012 dan Rio 2016, kejayaan meraih pingat perak pada edisi lalu diharapkan dapat dijadikan motivasi untuk meraih emas kali ini.

Begitupun, bagi acara terjun pula adalah satu bonus jika berjaya meraih pingat emas memandangkan tidak banyak kejohanan disertai tahun ini serta prestasi atlet dalam beberapa kejohanan tidak begitu memberangsangkan.

Biarpun temasya kali ini tanpa sorakan penyokong, kesungguhan atlet ketika bertanding dan semangat juang ditunjukkan bakal menjadi ukuran untuk rakyat menghargai pengorbanan mereka. Lakukan terbaik untuk negara.

Mohd Salleh Osman,

Presint 16, Putrajaya

Berita Harian X