Jumaat, 23 Julai 2021 | 11:00am

Krisis pandemik tuntut pemimpin lebih peka kebajikan rakyat

Pemimpin kerajaan perlu melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan adil. Mereka perlu memiliki akhlak atau sifat terpuji, kebijaksanaan dan ketelusan dalam aspek pentadbiran serta pengurusan, malah dalam berpolitik sekalipun.

Kewajipan memiliki sifat terpuji inilah dinamakan ulama sebagai siasah syariah sebagai 'cerminan pemerintah dan penguasa.'

Semua pemimpin politik, sama ada di luar atau dalam lingkungan kekuasaan harus mengetahui garis sempadan kekuasaan serta bahaya menyalahgunakan kuasa. Ahli politik dan pemimpin kerajaan perlu memahami kekuasaan diamanahkan mesti dilaksanakan penuh kebertanggungjawaban (akauntabiliti).

Kesungguhan melaksanakan amanah kepemimpinan dengan sifat mulia dijanjikan keredaan di sisi Allah SWT, sebaliknya jika menyeleweng, kesengsaraan menanti.

Jika pemimpin melakukan kezaliman dan menurut hawa nafsu politik atau kuasanya dalam keadaan menipu rakyat, maka perlakuan atau tindakannya itu akan meletakkan dirinya sebagai musuh Allah SWT.

Justeru, mereka perlu menggunakan nikmat itu dengan menjadikan satu saat daripada hidupnya seumpama keseluruhan hidup orang lain.

Pemimpin perlu berlaku adil dan memudahkan urusan rakyat, terutama orang dalam kesempitan hidup. Mereka tidak boleh bersifat bongkak dan cenderung mendengar pujian beberapa individu di sekeliling semata-mata kerana ia akhirnya membawa binasa.

Pemimpin perlu memberi perhatian kepada hal ehwal rakyat, berlaku adil, membantu golongan lemah dan melindungi mereka daripada dizalimi pihak lain. Hakikatnya, pemerintah atau kerajaan perlu memastikan kepentingan orang ramai terpelihara dan keadilan tercapai. Antara asas utama memelihara kepentingan rakyat, bersegera mengatur langkah dan strategi jika sesuatu buruk berlaku seperti pandemik COVID-19.

Dalam situasi begini, pemimpin perlu menjadi pelindung benar-benar dapat disandarkan harapan untuk membawa keluar kemelut dihadapi negara.

Pemimpin mesti menyegerakan sebarang bentuk bantuan benar-benar dapat membantu rakyat. Ketika rakyat dalam keperitan hidup, pemimpin sepatutnya tiada masa melayani kehendak dan kepuasan syahwat.

Justeru, pemimpin yang faham keberatan memikul amanah di sisi Allah SWT perlu berusaha sedaya upaya tidak menyusahkan rakyat.

Rasulullah SAW mengingatkan sesiapa dilantik mengurus sesuatu perkara untuk umat Baginda dan memudahkan mereka, maka Allah SWT akan menolongnya, sebaliknya jika dia menyusahkan mereka, maka sengsara akan menunggunya.

Dalam mengurus kehidupan bernegara dan bermasyarakat, pemimpin hendaklah berusaha mencari reda Allah SWT tanpa mengetepikan hubungan kerja dengan manusia atau pasukannya.

Pemimpin hendaklah memperoleh kepercayaan dan sokongan rakyat serta pengikutnya berteraskan nilai syarak dengan mendahului tuntutan syarak daripada kepentingan diri.

Dalam konteks ini, pemimpin mesti berupaya mengawas diri dengan menjauhi sifat bermegah dan bongkak supaya terhindar daripada melakukan kezaliman, termasuk apa dilakukan orang bawahnya atau di bawah pentadbirannya.

Harus diingat kezaliman terhadap rakyat akan mempercepatkan kejatuhan pemerintahan dan membawa kehinaan kepadanya.

Namun, pemimpin tidak perlu gusar cemuhan dan kritikan musuh politiknya jika sudah berusaha mengambil berat kehidupan rakyat dengan mengatur pelbagai langkah meringankan kesusahan dan membawa negara keluar daripada kemelut serta berlaku adil terhadap rakyatnya.

Bagi memastikan urus tadbirnya sentiasa berjalan baik dan lancar, pemimpin wajar mendekati dan mendampingi ulama salih serta pemikir dan pentadbir.

Ia bertujuan untuk mendapatkan pandangan, nasihat dan idea melalui mesyuarat atau perbincangan bersama kerana golongan terbabit ialah 'sumbu serta obor' negara.

Kesimpulan, pemerintah benar memelihara agama dan kebajikan rakyat dengan kekuasaannya. Asas terbinanya kuasa adil ialah keinginan (al-raghbah) ke arah mendorong penyatuan dan ketaatan membangkitkan rasa cinta kepada kedamaian, keharmonian dan kesejahteraan hidup bernegara dan bermasyarakat.

Mohd Ayop Abd Razid

Selayang Baru

Berita Harian X