Rabu, 21 Julai 2021 | 11:00am
Pelbagai usaha mempercepatkan program vaksinasi bagi menangani COVID-19 dilaksana kerajaan.
Pelbagai usaha mempercepatkan program vaksinasi bagi menangani COVID-19 dilaksana kerajaan.

Usaha bebas COVID-19 sukar dicapai tanpa sokongan semua

Saban hari, kes jangkitan baharu COVID-19 dalam negara masih menjangkau lima angka, walaupun rakyat Malaysia sekian lama dikurung di rumah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Contohnya pada 17 Julai, sejumlah 12,528 jangkitan baharu direkod seluruh negara - hari kelima berturut-turut jumlah kes melebihi angka 11,000. Sekilas pandang, angka jangkitan baharu yang menjangkau belasan ribu memang amat membimbangkan.

Namun, jika dilihat perincian daripada keseluruhan kes yang direkodkan itu, ternyata 98.2 peratus adalah pesakit kategori satu dan dua yang masing-masing merujuk kategori tiada gejala dan gejala ringan.

Kategori satu membabitkan 6,840 kes atau 54.6 peratus, manakala kategori dua merekodkan 5,468 kes atau 43.6 peratus. Sebanyak 112 kes atau 0.9 peratus pula adalah kategori tiga yang bergejala radang paru-paru.

Pesakit kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen pula sebanyak 44 kes atau 0.4 peratus, manakala kategori lima iaitu kritikal dan memerlukan ventilator merangkumi 64 kes atau 0.5 peratus.

Dengan pecahan itu, jelas konteksnya bahawa tidak sampai satu peratus daripada 12,548 kes yang direkodkan dalam tempoh itu tersenarai dalam kategori yang dianggap kritikal.

Justeru, tidak wajar kita melatah atau semberono menuduh kerajaan sudah gagal dalam perang melawan virus ini, sedangkan bermacam-macam strategi masih dalam pelaksanaan dan penambahbaikan.

Ia termasuk usaha vaksinasi bagi mencapai sasaran imuniti kelompok yang dijangka dapat disempurnakan Oktober ini, jauh lebih awal daripada sasaran asal pada suku pertama tahun depan.

Di United Kingdom (UK) misalnya, yang populasinya dua kali ganda lebih tinggi daripada penduduk Malaysia, lebih 50,000 kes baharu dilaporkan sehari, tetapi tiada cetusan panik kerana lebih 80 peratus penduduknya dilaporkan sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Di Malaysia, Perdana Menteri pada 18 Julai mengumumkan 100 peratus populasi dewasa dijangka melengkapkan dos vaksin COVID-19 pada Oktober depan berikutan sasaran pencapaian program vaksinasi negara dipercepatkan.

Tindakan mempercepatkan program vaksinasi itu termasuk meningkatkan kapasiti untuk mencapai kadar suntikan 500,000 dos sehari, berikutan penemuan varian baharu COVID-19 yang lebih ganas dan kes positif yang meningkat mendadak.

Dalam perang melawan musuh tidak kelihatan ini, vaksinasi adalah kunci utama kejayaan dan itulah yang sedang diperhebatkan kerajaan, selain kerjasama semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Mengikut jadual asal sebelum ini, 80 peratus penduduk Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin menjelang suku pertama 2022 sebelum dipercepatkan ke Disember tahun ini dan kemudian lebih awal lagi iaitu Oktober.

Jaminan diberikan Perdana Menteri, hampir semua negeri akan mencatatkan kadar vaksinasi melebihi 50 peratus pada akhir Ogos dan melebihi 70 peratus pada September.

Paling melegakan adalah program imunisasi negara juga antara paling pantas di dunia, cuma usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman virus berbahaya ini sukar dicapai tanpa sokongan semua.

Kita berada di landasan yang tepat untuk menangani ancaman pandemik ini dan harapannya selepas Oktober nanti, COVID-19 akan 'dilayan' sebagai endemik saja, sama seperti selesema biasa.

Hanafi Abd Salam,

Johor Bahru

Berita Harian X