Selasa, 20 Julai 2021 | 10:30am
Sekatan jalan raya antara langkah dilaksanakan bagi menangani penularan pandemik COVID-19. - Foto hiasan/Azhar Ramli
Sekatan jalan raya antara langkah dilaksanakan bagi menangani penularan pandemik COVID-19. - Foto hiasan/Azhar Ramli

Waspada ziarah membawa padah

Pertambahan ketara jumlah kenderaan memasuki negeri tertentu menjelang Aidiladha, mengundang kebimbangan.

Ia memberi gambaran masih ada segelintir yang hanya mementingkan diri 'curi-curi' pulang untuk beraya, tanpa mempedulikan kesan negatif yang menunggu.

Masyarakat perlu diingatkan tentang fakta pertambahan 60 kluster COVID-19 baharu pada musim Aidilfitri dan Gawai lalu. Ia bukan angka kecil atau boleh diremehkan.

Daripada jumlah kluster dikesan itu, sehingga 10 Jun saja, sebanyak 13,023 individu sudah disaring dan 3,511 kes positif COVID-19 dikenal pasti. Ia juga menyebabkan sekurang-kurangnya 20 kes kematian. Angka tepat tentu lebih tinggi daripada dilaporkan.

Keluarga saya di Bangi Selangor antara dijangkiti COVID-19 beberapa minggu selepas Aidilfitri lalu. Kelekaan ahli keluarga saya wajar diambil pengajaran serius semua pihak.

Sifat bersangka baik ibu dan ayah yang membenarkan abang sulung menziarahi rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa padah apabila pada suatu hari abang disahkan positif COVID-19 bersama keluarganya.

Walaupun kebenaran menziarahi atas urusan menguruskan ayah yang menghidap penyakit strok dan abang tinggal berdekatan, malangnya ia mendatangkan risiko cukup besar kepada ibu yang sudah berusia dan ayah yang lumpuh separuh badan.

Selepas disahkan positif, ibu dan ayah dibawa ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan Hospital Sungai Buloh.

Nasib keluarga kami agak baik kerana mereka dibenarkan pulang selepas dua minggu menerima rawatan. Sudah tentu jutaan kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih mengizinkan kami memiliki ibu dan ayah walaupun mereka sebelum itu melalui detik getir apabila dikategorikan berada pada tahap 3 dan 4 COVID-19, yang mana memerlukan alat bantuan oksigen.

Walaupun disahkan pulih, kebimbangan terhadap tahap kesihatan mereka masih menghantui kami. Ibu pernah melaporkan keadaannya yang berasa letih ketika melakukan aktiviti tertentu.

Ayah pula banyak menghabiskan masa di bilik tanpa melakukan aktiviti ringan yang biasa dilakukan sebelum disahkan positif COVID-19.

Begitu juga keadaannya dengan abang sulung. Stamina melakukan riadah dikatakan terjejas dan mungkin mengambil masa lama untuk kembali pulih. Kami semua faham ia kesan 'Long COVID'seperti dilaporkan banyak pihak.

Justeru, berwaspada dalam menguruskan perasaan rindu kepada ibu bapa dan saudara-mara.

Aktiviti kunjung-mengunjung boleh mendatangkan risiko begitu besar kepada ahli keluarga dan masyarakat setempat. Ia bukan suatu yang berasaskan sangkaan, tetapi dibuktikan banyak fakta kes kematian yang berlaku di sekitar kita.

Jika rindu, manfaatkan kemudahan teknologi yang ada masa kini untuk melakukan panggilan video dan buktikan sayang kita kepada mereka dengan mendoakan kesejahteraan mereka di kampung.

Kita semua faham tekanan perasaan rindu dan sayang yang membuak-buak majoriti masyarakat ketika ini. Namun, berwaspadalah supaya ia tidak menjadi faktor kita kehilangan orang tersayang.

Pepatah Melayu yang bijaksana ada menyebutkan, 'Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya'.

Moga ada sedikit pengajaran daripada kisah dilalui keluarga kami dan lain-lain kepada semua masyarakat di Malaysia.

Berita Harian X