Isnin, 19 Julai 2021 | 10:30am
Semua pihak perlu menyisihkan kepentingan politik kepartian buat seketika, utamakan hal rakyat ketika negara dilanda pandemik COVID-19. - Foto hiasan/Mohd Fadli Hamzah
Semua pihak perlu menyisihkan kepentingan politik kepartian buat seketika, utamakan hal rakyat ketika negara dilanda pandemik COVID-19. - Foto hiasan/Mohd Fadli Hamzah

Utamakan kepentingan negara atasi agenda politik peribadi

Negara terus merekodkan jumlah kes positif COVID-19 tertinggi hingga melebihi 11,000 kes sehari. Rakyat bukan sahaja bergelut soal hidup mati untuk melawan musuh tidak kelihatan, bahkan berjuang menguruskan makan minum, sewa rumah, bil utiliti, minyak, pendidikan anak dan keperluan keluarga.

Dalam kebimbangan melihat peningkatan kes COVID-19, kita menyaksikan sebahagian ahli politik mengaku sebagai juara rakyat. Ada mengaku kumpulan mereka mempunyai penawar terbaik untuk membawa Malaysia keluar daripada pandemik.

Tidak kurang mereka yang seperti pakar kesihatan awam, mengaku memiliki 'penawar' mengubati negara yang luka teruk. Ada juga berwatak seperti pakar ekonomi mendakwa ada ramuan paling mujarab untuk membawa rakyat bebas daripada kesengsaraan ekonomi.

Ketika kebanyakan pusat kuarantin ibarat medan perang dan pusat pemberian vaksin (PPV) terpaksa ditutup kerana COVID-19, sebahagian ahli politik kita giat mencaturkan arah tuju politik tanpa henti.

Pertarungan politik ini sebenarnya begitu gawat sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan tidak pernah tenang, malah lebih kronik hingga cuba mengheret institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja.

Lebih cacamarba, mereka yang semalam menjadi musuh ketat, hari ini menjadi kawan akrab, manakala mereka yang satu kumpulan sama berlawan pedang seolah-olah daripada parti berbeza atau bersekongkol dengan musuh politik untuk menjatuhkan rakan sekutu.

Dinamik politik Malaysia melangkaui pemikiran lazim atas satu sebab: Siapa yang boleh meletakkan si polan di puncak kuasa tidak kira dari pihak mana adalah rakan, manakala siapa cuba menghalang tidak kiralah daripada parti sama adalah lawan.

Dahulu, jika mereka daripada parti berbeza, tetapi menjalin kerjasama politik, maka akan dirujuk sebagai tidur sebantal, tetapi mimpi lain-lain. Hari ini, mereka yang mempunyai misi sama pun, boleh bermimpi lain-lain.

Dalam meneruskan keperitan ini, apakah sebahagian ahli politik kita mahu terus memberi isyarat kepada dunia luar bahawa negara kita tidak lagi stabil. Akibat tingkah laku mereka, tiada lagi istilah kestabilan politik untuk negara kita hingga boleh menyebabkan pelabur mula menjauhkan diri.

Jika mereka benar wira rakyat, ini masanya pemimpin sama ada dalam atau luar kerajaan, melakukan sesuatu di luar kelaziman dengan membuktikan kehebatan dan menggunakan segala hubungan baik untuk mendapatkan bantuan daripada negara sahabat atau mana-mana sumber lain.

Tidak kiralah bantuan itu berbentuk bekalan semasa COVID-19 seperti vaksin, alat ujian COVID-19, tabung oksigen atau aktiviti pelaburan yang boleh meningkatkan ekonomi negara.

Rakyat amat letih dengan suasana politik negara ditambah tekanan berganda akibat masalah kesihatan dan ekonomi. Sudah tiba masanya, ahli politik berlapang dada melakukan pengorbanan dengan mewujudkan gencatan politik hingga negara pulih semula.

Pada masa sama, pemegang taruh wajar memberi ruang dan platform kepada ahli politik yang benar-benar ada ramuan terbaik menyelesaikan luka parah ini untuk turut menyumbang kepada negara.

Melalui gencatan politik ini, semua pihak perlu menyisihkan kepentingan politik kepartian ke tepi buat seketika, lalu meletakkan kepentingan rakyat dan negara di tempat utama.

Kita boleh bangkit semula menjadi negara hebat jika meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik peribadi.

Datuk Ikbal Salam,
Johor Bahru

Berita Harian X