Sabtu, 17 Julai 2021 | 10:30am
Warga emas antara golongan yang perlu diutama dalam pendekatan suntik dahulu daftar kemudian. - Foto hiasan
Warga emas antara golongan yang perlu diutama dalam pendekatan suntik dahulu daftar kemudian. - Foto hiasan

Kaedah suntik dahulu, daftar kemudian percepatkan vaksinasi

PADA 24 Februari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Rentetan itu, bermulalah lembaran baharu rakyat Malaysia di mana setiap individu berusia 18 tahun dan ke atas layak mendapat vaksin secara sukarela.

Bagi mempercepatkan proses vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok, kerajaan perlu memastikan seberapa ramai individu yang layak mendapatkan vaksin secepat mungkin.

Permasalahan mungkin dihadapi kini bagaimana memastikan masyarakat di kawasan luar bandar dan warga emas memperoleh vaksin. Di Malaysia setiap individu yang layak untuk divaksin perlu mendaftar melalui beberapa kaedah seperti aplikasi MySejahtera, laman web, berhubung terus melalui hotline atau pergi ke klinik dan hospital.

Disebabkan ketidaktentuan akses internet, keterbatasan penggunaan teknologi seperti telefon pintar serta lokasi jauh dari klinik, hospital atau dewan komuniti membuatkan sesetengah masyarakat luar bandar dan warga emas tidak dapat menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Hasilnya, proses pendaftaran vaksinasi tidak dilakukan. Ini disokong kenyataan Pegawai Kesihatan Daerah Kunak, Dr Izaidi Salman Yazid, yang memaklumkan sememangnya dua aspek penting seperti akses internet dan penggunaan telefon pintar halangan bagi penduduk luar bandar untuk mendaftar secara dalam talian.

Oleh itu, kaedah suntik dahulu daftar kemudian satu pendekatan baik boleh dipraktik kerajaan. Ia bertujuan memudahkan golongan yang berdepan masalah liputan internet dan peranti digunakan. Kaedah ini juga amat sesuai bagi golongan yang tinggal jauh di luar kawasan pedalaman.

Mereka ini amat kurang pendedahan dari segi penggunaan teknologi dan sebagainya. Sehubungan itu, agensi berwajib perlulah turun padang memastikan golongan ini tidak ketinggalan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dijalankan.

Kaedah ini juga mendapat sokongan dan disambut baik pakar kesihatan, yang mana mereka mencadangkan perkhidmatan ini bukan sahaja tertumpu kepada kawasan luar bandar, malah boleh diperluaskan kepada golongan warga emas sama ada di bandar mahupun luar bandar.

Warga emas juga mempunyai masalah dalam mengendalikan penggunaan telefon pintar dan internet.

Sebagai contoh, Sarawak mengguna pakai kaedah sedemikian kepada penduduk di kawasan luar bandar. Hasil pendekatan ini, dalam tempoh empat hari sahaja hampir 2,000 penduduk berjaya divaksinkan.

Ini menunjukkan pendekatan suntik dahulu daftar kemudian bukan satu pendekatan yang tidak boleh dilakukan. Sebaliknya, ia harus diberi keutamaan kepada penduduk luar bandar yang terpencil di setiap negeri dan juga kepada warga emas di luar bandar.

Kaedah sama juga dilakukan kerajaan Singapura di mana warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas hanya perlu berkunjung ke mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Ini bukan sahaja memudahkan urusan setiap warga emas itu, malah memudahkan urusan petugas di PPV juga dalam mengendalikan urusan warga emas.

Sehubungan itu, pelbagai agensi perlulah memainkan peranan mereka dalam memastikan kaedah ini dapat direalisasikan dengan jayanya.

Di harap dengan adanya kaedah seperti ini bukan sahaja dapat membantu kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi di Malaysia, malah membantu dalam mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

Ingatlah, kita masih belum menang dalam menangani pandemik. Oleh itu, kerjasama dan penyertaan pelbagai pihak amatlah ditagih dalam mengharungi situasi yang getir ini.

Dr Mohd Rahim Khamis, Ketua Unit Penyelidikan dan Pengurusan Maklumat, Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X