Sabtu, 17 Julai 2021 | 10:30am
Tekanan psikologi boleh mengakibatkan individu mempunyai pandangan negatif terhadap diri sendiri, orang lain atau persekitaran. - Foto hiasan
Tekanan psikologi boleh mengakibatkan individu mempunyai pandangan negatif terhadap diri sendiri, orang lain atau persekitaran. - Foto hiasan

Doa, tawakal hindari tekanan psikologi

TANPA disedari pandemik semakin hari semakin serius, membangkitkan tekanan terhadap psikologi rakyat Malaysia.

Ramai mengalami tekanan perasaan atau emosi berkaitan kesedihan, kemarahan, ketakutan, kekecewaan, rasa bersalah, putus asa, rasa bersendirian, kerisauan, kerinduan, pengabaian serta kecelaruan.

Gejala ini disebut tekanan psikologi. Perasaan dan emosi tidak menyenangkan ini akan mula mempengaruhi cara pemikiran, tingkah laku, aktiviti harian dan fungsi hidup individu.

Tekanan psikologi boleh mengakibatkan individu mempunyai pandangan negatif terhadap diri sendiri, orang lain atau persekitaran. Akibatnya termasuklah kemurungan, kegelisahan, kegagalan memberikan tumpuan, kesukaran untuk tidur tidak selera makan dan tidak berminat melakukan aktiviti biasa.

Dalam keadaan paling ekstrem, keinginan membunuh diri dianggap jalan akhir mengatasi tekanan ini.

Di institusi pengajian khususnya di universiti, pelajar tidak terlepas menghadapi situasi seperti ini dan mempunyai keresahan tersendiri.

Penggunaan teknologi dalam meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran seperti kelas maya, peperiksaan, persidangan, penilaian projek kursus, sarjana muda atau viva bagi pelajar sarjana dan doktor falsafah (PhD) semuanya dalam talian bagi menggantikan mod pembelajaran bersemuka.

Walaupun tidak bersedia, pelajar khasnya perlu menghadapi semua kekurangan seperti ketiadaan atau ketidakstabilan talian internet, kekurangan dana bagi pembelian talian, kekurangan gajet bersesuaian seperti komputer atau telefon pintar atau keadaan di rumah yang tidak kondusif untuk pembelajaran maya.

Bagi pelajar pascasiswazah dalam bidang penyelidikan pula, selain kemungkinan gangguan emosi dan perasaan, mereka juga amat bimbang mengenai kajian yang tidak dapat dijalankan. Lebih-lebih lagi bagi yang sedang dalam fasa akhir penyelidikan.

Kajian dan ujian di lapangan terhenti dan pergerakan terbatas juga akan menjadi penyumbang terhadap ketidakstabilan emosi.

Bagi menghindari tekanan psikologikal dan mengelakkan ia terus berpanjangan, beberapa langkah harus dilakukan segera. Pastinya ia akan mengambil masa lama untuk dirawat dan pulih, namun perlu dilakukan segera.

Pengurusan masa aspek perlu diberikan perhatian. Pengajian boleh diteruskan dalam talian dan pelajar perlu membuat jadual waktu belajar dan mengulang kaji pelajaran secara terancang.

Perbincangan atau sesi diskusi boleh diatur bersama rakan dan pensyarah melalui perantaraan media maya seperti e-mel, WhatsApp, Skype dan lain-lain.

Teruskan juga amalan menjaga kebersihan diri, ikuti prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa, memberikan sokongan terhadap mereka terdekat yang dikesan mengalami tekanan emosi dan perasaan. Teruskan hubungan kekeluargaan dan persahabatan yang baik, amalkan gaya hidup sihat dan hargai orang di sekeliling.

Bagi yang sering berasa kebimbangan melampau, kurangkan menonton, membaca atau mendengar sesuatu yang boleh menambahkan kebimbangan dan ketakutan dalam diri. Teknik minda sedar, iaitu fokus semula kepada masa sekarang tanpa memikirkan sesuatu yang sudah atau akan berlaku, boleh membantu untuk mengatasi gangguan kerisauan dan ketakutan diri.

Jika semua sudah dipenuhi, selebihnya kita serahkan kepada Tuhan. Inilah masa untuk kembalikan pergantungan hidup kepada Tuhan melalui konsep tawakal.

Pada masa sama, semua agama mengharamkan seseorang memudaratkan diri dan orang lain. Jangan jadikan tekanan hidup sebagai punca merosakkan diri sendiri.

Semoga dengan usaha membendung penularan COVID-19 berserta doa dan konsep tawakal, tekanan psikologikal dapat dihindari daripada diri setiap rakyat Malaysia!

Shafezah Abdul Wahab, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X