Khamis, 8 Julai 2021 | 12:00pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Ibu bapa perlu pupuk minat anak ceburi STEM

MENURUT laporan TalentCorp pada 2019, lapan daripada 10 pekerjaan dikategorikan kritikal dan mendapat permintaan paling tinggi di Malaysia adalah dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Mekanikal (STEM) [1].

STEM bukanlah subjek di sekolah semata-mata, sebaliknya cara berfikir dan bekerja. Ia satu kemahiran yang membolehkan beberapa generasi, contohnya yang tua dan muda berkerja secara berpasukan untuk menyelesaikan masalah besar dunia.

STEM mengajar kita bereksperimen, melakukan kesilapan dan belajar daripada kesilapan, bukan sahaja merujuk buku teks.

Tidak semestinya kita perlu menjadi pakar dalam semua bidang berkenaan. Contohnya jurutera mesin perlu bekerja dengan saintis untuk mengeluarkan produk bermutu tinggi. Kerja berpasukan satu skil STEM sangat penting.

Menurut laporan diterbitkan 2020, hanya 19 peratus daripada kira-kira 447,000 calon menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) memasuki aliran sains apabila menjejakkan kaki ke Tingkatan Empat.

Persoalannya, bagaimana menggalakkan anak menceburi bidang STEM? Kajian menunjukkan ibu bapa mempunyai pengaruh besar terjadap minat dan pemilihan kerjaya anak dalam bidang STEM, lebih besar daripada guru sekolah.

Rakan sebaya juga mempunyai pengaruh besar dalam pemilihan kerjaya, tetapi tidak mempengaruhi minat pelajar dalam STEM.

Skil dalam bidang STEM membolehkan kita mendapat gaji lebih tinggi dan lebih disukai untuk diambil bekerja oleh majikan. Namun, anda tidak perlu ada ijazah daripada universiti untuk terbabit dalam STEM.

Banyak kursus boleh diambil di luar. Menurut Biro Statistik Buruh di Amerika Syarikat, gaji pekerja STEM adalah AS$89,000 setahun berbanding gaji bukan STEM iaitu AS$40,000 setahun.

Kerjaya dalam STEM boleh bermula kecil dan kemudian mengubah dunia. Ibu bapa boleh bermula dengan menggalakkan anak memulakan langkah pertama dengan mempelajari coding, memulakan projek penyelidikan dalam rumah atau menyertai pertandingan sains.

Kita tidak tahu apa pekerjaan akan wujud dalam 20 hingga 30 tahun lagi, namun dengan STEM kita akan bersedia. Persoalannya bagaimana kita membentuk masa hadapan dengan skil STEM?

Pensyarah Kanan Universiti Teknikal Malaysia Melaka

Berita Harian X