Isnin, 24 Mei 2021 | 10:45am
Peniaga kecil-kecilan antara yang terkesan dengan pelaksanaan PKP. - NSTP/Aizuddin Saad
Peniaga kecil-kecilan antara yang terkesan dengan pelaksanaan PKP. - NSTP/Aizuddin Saad

Bertindak segera urus hutang ketika PKP

Sudah lebih seminggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ketiga dikuatkuasakan. Ramai yang sedang beremosi.

Ketika PKP kali kedua dilaksanakan, saya sendiri diberhentikan kerja oleh majikan atas faktor perniagaan yang merudum. Tidak mahu terus larut dalam kesedihan, perkara pertama dilakukan ketika itu ialah menghubungi pihak bank bagi mendapatkan khidmat nasihat.

Hasil perbincangan, saya ditawarkan penangguhan ansuran selama tiga bulan untuk mengurangkan beban kewangan. Mengakhiri bulan ketiga, saya mendapatkan kerja dengan gaji agak jauh lebih rendah berbanding gaji terdahulu.

Seperti sebelum ini, saya menghubungi bank untuk mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat mereka. Alhamdulillah, pihak bank sangat memahami dan bersetuju untuk mengurangkan bayaran ansuran selama enam bulan seterusnya.

Apa yang saya kongsikan ini diharap dapat membantu menerangkan salah faham dalam kalangan rakyat mengenai pembayaran semula oleh pihak bank.

Ramai beranggapan skim pembayaran bersasar ini memerlukan dokumentasi remeh, tempoh permohonan yang lama atau hanya golongan B40 yang dibantu, selain rekod Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) akan terjejas.

Pengalaman saya menunjukkan ia tidak benar. Saya bukan kumpulan B40, tetapi tetap mendapat manfaat kelonggaran pembayaran ini.

Dokumentasi juga mudah, hanya perlu mengemukakan surat pemberhentian kerja serta surat tawaran kerja baharu (untuk maklumat gaji baharu) sebagai bukti.

Tempoh permohonan juga tidak lama, kurang seminggu. Pihak bank juga memaklumkan rekod CCRIS tidak akan terjejas.

Hasil bacaan, pihak bank juga menawarkan pakej bantuan bayaran semula kepada individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Antara pakej disediakan bank ialah membenarkan peminjam membayar bahagian faedah pinjaman saja sepanjang tempoh tertentu, moratorium bayaran balik pinjaman sepanjang tempoh tertentu, melanjutkan tempoh keseluruhan pinjaman untuk mengurangkan ansuran bulanan serta fleksibiliti lain sehingga peminjam berada pada kedudukan lebih stabil untuk menyambung semula bayaran balik sepenuhnya.

Sebagai rekod, sehingga 21 Mac lalu, 1.6 juta permohonan dibantu bagi mendapatkan bantuan pembayaran balik dengan kadar kelulusan 95 peratus.

Kadar kelulusan tinggi ini membuktikan proses dan dokumentasi permohonan ini mudah dan kesediaan pihak bank membantu peminjam.

Saya percaya pelaksanaan PKP kali ini sangat diperlukan ketika virus COVID-19 kembali mengganas dan usaha untuk melandaikan keluk wabak ini memerlukan sokongan semua pihak.

Saya juga percaya, kerajaan peka dan sedang mencuba sedaya upaya meringankan beban rakyat yang terjejas. Jika anda antara terkesan, segera ke bank untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai pengurusan hutang anda.

Shafika Mokhtar,
Kuala Lumpur

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X