Jumaat, 9 April 2021 | 10:46am
Ruqyah dalam Garis Panduan Amalan Pengubatan Islam dikeluarkan KKM didefinisikan sebagai doa berasaskan ayat al-Quran dan hadis yang bertepatan dengan syarak bagi tujuan pengubatan dan kesejahteraan atau kebaikan. - Foto hiasan
Ruqyah dalam Garis Panduan Amalan Pengubatan Islam dikeluarkan KKM didefinisikan sebagai doa berasaskan ayat al-Quran dan hadis yang bertepatan dengan syarak bagi tujuan pengubatan dan kesejahteraan atau kebaikan. - Foto hiasan

Nilai semula akta rawatan ruqyah bagi jamin kesucian al-Quran

IMPLEMENTASI Akta Perubatan Tradisional Dan Komplementari (PT&K) 2016 (Akta 775) dikuat kuasakan pada 1 Ogos 2016 secara berfasa. Kini, ia memasuki fasa kedua dengan bermulanya pendaftaran pengamal PT&K dalam bidang amalan diiktiraf sejak 15 Mac lalu.

Pendaftaran dengan Majlis PT&K diwajibkan kepada pengamal yang ingin mengamal dalam bidang PT&K diiktiraf sahaja. Bagi bidang amalan pengubatan Islam, perawatan ruqyah diletakkan sebagai modaliti dalam Peraturan Perubatan Tradisional dan Komplementari 2021.

Ruqyah dalam Garis Panduan Amalan Pengubatan Islam dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) didefinisikan sebagai doa berasaskan ayat al-Quran dan hadis yang bertepatan dengan syarak bagi tujuan pengubatan dan kesejahteraan atau kebaikan.

Menurut Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari KKM, mana-mana orang mengamalkan bacaan ruqyah secara umum dalam kehidupan seharian tidak akan dikawal selia di bawah Akta 775.

Bagaimanapun, sekiranya seseorang mendakwa atau mengisytiharkan diri sebagai perawat atau pengamal menjalankan rawatan menggunakan kaedah ruqyah kepada pesakit, individu terbabit wajib berdaftar dengan Majlis PT&K. Ia juga termasuk peruqyah mempunyai tempat amalan tetap mahupun mengamal tanpa tempat amalan (mobile/ freelance).

Pelaksanaan dan penguatkuasaan Akta 775 ini secara tidak langsung memberikan impak besar kepada umat Islam dan kesucian al-Quran sebagai mukjizat. Umat Islam tidak terbabit dengan mana-mana pusat rawatan turut terseret dalam Akta 775.

Menjalankan amalan seperti disebut dalam surah al-Isra' ayat 82 kini kunci rantainya dipegang KKM.

Usaha membendung penyihiran kini bertukar kepada membendung orang membaca al-Quran sebagai syifa dan mengenakan denda RM30,000 atau/dan penjara bagi setiap bacaan yang diberi jika tidak berdaftar dengan KKM.

Perkara ini berlaku kerana kesilapan meletakkan ruqyah sebagai modaliti dalam Peraturan Akta 775 sedangkan ruqyah antara kaedah dalam rawatan Islam. Ruqyah ialah terminologi bahasa Arab, manakala dalam terminologi Melayu dipanggil mantera atau jampi, iaitu satu bahagian kecil daripada Tibb Nabawi atau kira-kira satu perempat sahaja.

Sheikh Jibrin dalam kitab al-Lu'lu al-Makin menyebut: "Sebenarnya dibolehkan menggunakan ruqyah bagi sesiapa baik bacaannya, memahami maknanya, mempunyai akidah betul dan melakukan amal perbuatan baik serta mempunyai peribadi baik.

"Tidak disyaratkan kepada perawat untuk mengetahui semua permasalahan furuk (cabang) dalam masalah agama dan mempelajari ilmu secara mendalam.

"Hal ini berdasarkan kisah Abu Said RA yang menjampi orang yang disengat binatang berbisa. Beliau berkata: 'Kami tidak pernah mengetahui (surah al-Fatihah) sebagai ayat untuk menjampi atau seperti termaktub dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

"Orang menjampi mestilah mempunyai niat baik dan bertujuan memberikan manfaat kepada orang Islam serta tidak bercita-cita memperoleh harta dan ganjaran agar jampi yang dibaca itu lebih berkesan."

Termaktubnya al-Quran sebagai syifa dalam Akta 775 akan menjadikan rawatan ruqyah lebih bersifat komersial, manakala membaca al-Quran sebagai penawar kepada orang sakit hanya milik mereka berdaftar dengan KKM sahaja.

Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang agama rasminya ialah Islam kerana Rasulullah SAW sendiri tidak pernah menghalang sahabat untuk membaca ayat al-Quran pada orang sakit serta tidak pernah mengkhususkan ayat rawatan seperti dalam hadis Abu Said al-Khudri.

Justeru, KKM perlu melihat semula Peraturan Perubatan Tradisional dan Komplementari 2021 bagi perawatan ruqyah agar menepati fungsi meningkatkan kesihatan dalam bidang kuasa kementerian.

Pada masa sama, ia bagi menjamin kesucian al-Quran agar umat Islam membacanya tidak diikat dengan Akta 775 atas sebab membantu orang sakit.

Dr Nor Azian Ab Rahman
Gabungan Perawat Muslim Malaysia

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X