Rabu, 24 March 2021 | 11:22am

Pembukaan perpustakaan legakan pengguna

PEMBUKAAN semula perkhidmatan perpustakaan amat dialu-alukan khususnya bagi penyelidik, pelajar universiti dan profesional.

Peranan perpustakaan amat penting dalam pembinaan budaya ilmu. Institusi ini tempat berhimpun golongan terpelajar mendapatkan bahan rujukan ilmiah untuk bacaan serius dan rujukan dalam penyelidikan.

Memang benar, zaman digital membuka peluang kepada pengkaji mendapatkan bahan rujukan secara maya. Namun, tidak semua rujukan ilmiah boleh didapati seperti majalah, jurnal ilmiah, prosiding seminar dan buku berstatus langka.

Bahan ini hanya boleh didapati di perpustakaan utama negara. Maka, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ia mengehadkan pengunjung daripada ke perpustakaan, sekali gus menyukarkan mereka untuk mencapai sumber rujukan sebegini.

Kita harus sedar betapa proses digitalisasi ini tidak mudah kerana memerlukan kos pembelian mesin dan komitmen tinggi. Sudah tentu pentadbir dan pegawai terbabit memerlukan masa untuk mendigitalkan bahan ilmiah berkenaan.

Ini mengakibatkan ada penyelidik terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan bahan rujukan di pasaran. Ia menambah beban kewangan peribadi demi menyiapkan penyelidikan.

Oleh itu, pengumuman pembukaan semula operasi perpustakaan melegakan pengguna perpustakaan yang setia. Baru-baru ini, penulis berpeluang memanfaatkan perkhidmatan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Pustaka Raja Tun Uda (PRTU).

PNM misalnya mempunyai bahan rujukan ilmiah menarik merentas pelbagai disiplin ilmu.

Misalnya, dalam ilmu kebudayaan, PNM menyimpan salinan asli prosiding Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 di Universiti Malaya (UM) membahaskan makna dan rumusan terbaik dalam membina kebudayaan Malaysia.

Kongres bersejarah ini dokumentasi sejarah penting memuatkan kertas kerja dibentangkan tokoh pelbagai bidang seperti Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prof Diraja Ungku Aziz, Hijjas Kasturi, Dol Ramli dan Tan Sri P Ramlee.

Pastinya prosiding ini semakin relevan ditelaah dan dibahaskan semula lebih-lebih lagi kerajaan baru sahaja mengumumkan Dasar Perpaduan Negara 2021-2030.

Apatah lagi, PNM turut menyimpan khazanah manuskrip Melayu Jawi sangat berharga. Karya ilmuwan agung seperti Sheikh Nur al-Din al-Raniri, Sheikh Shams al-Din al-Sumatra'i dan Raja Ali Haji dihimpun serta ditempatkan di Pusat Manuskrip Melayu (PMM).

Ini membuka peluang kepada pengkaji meneliti kandungan dan memberi tafsiran tulen terhadap sumbangan ilmuwan agung Melayu dalam budaya ilmu zaman-berzaman.

Selain itu, PRTU di Shah Alam turut mempunyai koleksi bahan bacaan lumayan hebatnya. Misalnya, karya Sayyid Qudratullah Fatimi berjudul, Islam Comes to Malaysia diterbitkan pada 1963 oleh Malaysian Sociological Research Institute Ltd. Karya itu sangat bernilai bukan sahaja kerana berstatus langka dan tidak diulang cetak, malah menjadi rujukan sarjana dalam membahaskan sejarah pengislaman di alam Melayu.

Kesimpulannya, keputusan pentadbir perpustakaan membuka perkhidmatannya kepada pengunjung sangat bermanfaat dalam mengukuhkan lagi budaya ilmu. Ini dikuatkan lagi dengan koleksi bahan rujukan ilmiah sebagai rujukan berwibawa untuk tujuan penyelidikan.

Muhammad Mohamad Idris
Titiwangsa, Kuala Lumpur

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X