Sabtu, 20 March 2021 | 11:00am
gambar hiasan.
gambar hiasan.

DidikTV KPM tingkat kualiti akses pendidikan negara

Sejak pandemik COVID-19 diisytiharkan pada awal tahun lalu, penularannya masih tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan berakhir dalam masa terdekat.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kemungkinan besar pandemik ini akan terus menghantui dunia hingga akhir tahun ini.

Pandemik masih bermaharajalela memberikan kesan kepada segenap rakyat dengan sektor pendidikan tidak terkecuali.

Mengambil kira keselamatan anak bangsa, terutama ketika kadar kebolehjangkitan dan kes positif masih mencatatkan jumlah tinggi, Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan langkah penutupan sekolah bagi mengelakkan kemungkinan penularan COVID-19 dalam kalangan murid.

Namun, bagi memastikan anak bangsa tidak tercicir dalam pendidikan dalam tempoh ini, KPM mengambil inisiatif proaktif memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menerusi PdPR ini, pendidik meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) ketika murid berada di rumah. Pendidik menunjukkan komitmen tinggi dengan mempelbagaikan variasi pengajaran termasuk menggunakan platform Google Classroom, Google Meet, Canva dan YouTube.

Namun, kaedah PdP dalam norma baharu masih tetap mengundang kesukaran kepada kedua-dua pihak, baik guru mahupun murid. Kekurangan peranti dan masalah capaian internet antara faktor menyukarkan hasrat murni KPM dicapai.

Menyedari hal ini, KPM mengambil langkah tepat memperkenalkan siaran TV Pendidikan melalui DidikTV KPM.

Pendidikan melalui siaran televisyen bukanlah konsep baharu di negara ini. Pada 1972, Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein melancarkan TV Pendidikan buat julung kalinya dan diperluas ke Sabah serta Sarawak pada 1976.

Selepas mengalami beberapa perubahan dalam pengoperasian TV Pendidikan, KPM memperkenalkan DidikTV sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). DidikTV KPM ialah TV Pendidikan melalui rangkaian televisyen pendidikan Malaysia dimiliki, dihasilkan dan dikendalikan oleh usaha sama antara Bahagian Teknologi Pendidikan KPM dan Media Prima Berhad.

Rangkaian ini menyiarkan program pendidikan untuk pelbagai mata pelajaran sekolah. Program ini mula bersiaran pada 17 Februari lalu.

DidikTV KPM menyiarkan program berteraskan kurikulum dan kokurikulum sebagai usaha KPM meningkatkan akses pendidikan berkualiti kepada semua murid di negara ini.

Slot pengajaran dikendalikan pendidik berpengalaman dalam bidang kepakaran masing-masing membuktikan mereka amat komited terhadap kemenjadian anak bangsa.

Dalam satu ucapan khas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan saluran DidikTV KPM akan turut menyiarkan program pendidikan lain yang dapat membina karakter murid, sejajar aspirasi Falsafah Pendidikan Negara.

Walaupun ada segelintir memandang remeh terhadap program ini, rata-rata ibu bapa dan pendidik menyambut baik program DidikTV KPM yang penuh berinformasi dengan diselitkan dengan konsep didik hibur.

Program KPM ini harus diteruskan, walaupun sesi persekolahan secara bersemuka dimulakan bulan lalu secara berperingkat. Ini kerana program DidikTV KPM ini dapat memastikan pendidikan terus kekal mampan.

Dr Jayakumary Marimuthu

Sekolah Kebangsaan Seri Tronoh, Perak

Berita Harian X