Rabu, 24 Februari 2021 | 10:45am
21 Februari diraikan sebagai Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa.
21 Februari diraikan sebagai Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa.

Penerbitan karya ilmu mampu martabat bahasa Melayu

TANGGAL 21 Februari diraikan sebagai Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa dengan perbincangan mengenai nasib dan kedudukan bahasa ibunda di negara masing-masing untuk kekal relevan digunakan penuturnya.

Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda utama negara, tidak terlepas daripada perbincangan penting ini.

Kemajuan sains dan teknologi, keikhlasan serta kesungguhan pemimpin dan budaya antara cabaran utama mempengaruhi kedudukan bahasa Melayu. Hatta, antara usaha terdepan wajar diberi perhatian ialah penerbitan buku berkualiti dalam pelbagai disiplin ilmu termasuk agama, falsafah, bahasa dan sumber manusia dalam bahasa Melayu.

Ia penting bagi memastikan kedudukan bahasa ini kekal relevan sebagai medium perbincangan ilmiah terutama pada peringkat universiti. Tulisan ini cuba mengangkat tiga karya yang menonjolkan usaha beberapa pihak dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Akademi Jawi Malaysia (AJM) menerbitkan semula karya berjudul, Asuhan Budi, karangan ilmuwan Melayu, Za'ba atau Zainal Abidin bin Ahmad. Karya ini himpunan yang diaturkan semula daripada bahan ceramah beliau di radio disampaikan bermula 1951 hingga 1953 mengenai faham agama dan kaitannya dengan budi serta akhlak.

Penerbitan semula Asuhan Budi ini sudah lama dinanti-nantikan terutama pengikut pemikiran Za'ba selepas lebih separuh abad cetakan sulung diterbitkan HM Shah Enterprise pada 1958. Karya berstatus langka ini, sukar didapati dan hanya boleh diakses di perpustakaan universiti terkenal dan koleksi peribadi beberapa individu.

Cetakan terbaru ini bukan sahaja menarik pada sisi kualiti rupa cetakan, malah memuatkan kata pengantar tokoh bahasa, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan yang menulis mengenai kepentingan karya ini.

Usaha ini mampu menambah ruang kajian dan perbincangan mendalam terhadap pemikiran Za'ba, sekali gus mengangkat lagi sumbangan beliau dalam persuratan Melayu.

Sementara itu, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menerbitkan edisi terkini Sumber Historiografi Alam Melayu. Karya ini ialah kajian ilmiah Prof Dr Tatiana A Denisova terhadap koleksi peribadi orientalis sejarah Melayu terkenal, John Bastin yang terhimpun di PNM sebanyak 3,079 judul yang menarik dan bernilai tinggi.

Dalam bahagian Pengenalan (yang ditambah bagi edisi terkini) membahaskan takrifan sejarah, historiografi dan sejarah sebagai sumber ilmu serta tradisi kajian Melayu di Barat yang pastinya memberi manfaat kepada kita untuk meninjau kepentingan menghargai bahan sejarah di negara ini.

Kajian ini memberi kesedaran kepada kita khususnya golongan terpelajar untuk menghidupkan hakikat peranan perpustakaan sebagai institusi penting dalam aktiviti kesarjanaan.

Dalam ilmu sumber manusia pula, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerbitkan karya berjudul, Perhubungan Perusahaan di Malaysia karangan Dr Zulkiflee Daud dan Isa Mansor.

Karya ini menghuraikan faham dan amalan pengurusan perhubungan perusahaan secara mendalam termasuk hak pekerja, kesatuan sekerja dan majikan, kaedah pengendalian disiplin serta pengetepian pekerja mengikut peruntukan perundangan negara ini.

Penerbitan karya ini mengisi kekurangan rujukan dalam bahasa Melayu kerana sebelum ini rujukan dalam bidang ini lebih banyak diterbitkan dalam bahasa Inggeris seperti karya Dr Dunston Ayadurai dan MN D'Cruz.

Perbincangan dalam bahasa ibunda ini dapat memberi lebih banyak manfaat kepada pengamal sumber manusia untuk memahami dengan lebih tepat dan mengelakkan sebarang kesilapan dalam pengurusan disiplin pekerja.

Berdasarkan tiga contoh karya diterbitkan ini secara tidak langsung menjadi usaha tulen dalam mengangkat kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ini penting bagi memastikan bahasa ibunda ini kekal relevan dan memberi semangat kepada semua pemegang taruh untuk menerbitkan karya berkualiti.

Muhammad Mohamad Idris, Titiwangsa, Kuala Lumpur

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X