Selasa, 23 Februari 2021 | 10:45am
Pengamalan pedagogi amat berkesan apabila proses PdP berjalan melalui interaksi. - Foto hiasan
Pengamalan pedagogi amat berkesan apabila proses PdP berjalan melalui interaksi. - Foto hiasan

PdP bersemuka mudah nilai prestasi murid

KEMBALI ke sekolah selepas lama berada di rumah memberi harapan baharu kepada semua pelajar untuk memulakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka dengan guru.

Pembelajaran dalam talian menjadi cabaran besar dalam memperkasakan cara penyampaian pengajaran antara pelajar dengan guru. Peperiksaan utama penting untuk menentukan masa depan pelajar hingga memerlukan tunjuk ajar guru.

PdP bersemuka bertepatan kerana membabitkan pedagogi efektif. Pelajar mengharapkan panduan dan nasihat guru sebelum menduduki peperiksaan. Penerangan menerusi pendidikan maya menyukarkan sesetengah mata pelajaran diajar dengan baik.

Malah pelajar lemah dalam sesuatu mata pelajaran sukar membaiki kelemahan. Guru dedikasi juga akan menggunakan pelbagai kaedah penyampaian efektif untuk memastikan pelajar menerima pembelajaran secara dinamik dan responsif.

Pengamalan pedagogi amat berkesan apabila proses PdP berjalan melalui interaksi. Ramai pelajar peperiksaan utama gembira berjumpa dengan guru dan rakan, walaupun terpaksa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP).

Guru pasti menyediakan kandungan pengajaran dan nota ringkas untuk mendidik pelajar serta merancang kelas tambahan bagai memastikan bersedia menghadapi peperiksaan utama.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 menyebabkan penundaan peperiksaan dari Oktober tahun lalu ke tahun ini bagi memberi peluang kepada pelajar peperiksaan utama membuat persediaan menghadapi peperiksaan, walaupun ibu bapa menghadapi kesukaran menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif.

Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, bagi mencapai aspirasi tinggi dalam persekitaran gelombang tiga peningkatan pendidikan, norma baharu dihadapi pelajar adalah fenomena baharu.

Setiap guru bersedia menghadapi cabaran mendidik pelajar dalam keadaan pergerakan terhad, pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal.

Perubahan transformasi pendidikan memerlukan pendekatan dan strategi baharu agar pelajar mampu menguasai kemahiran pembelajaran agar memahami kandungannya, dapat membuat nota ringkas dan menggunakan makmal untuk praktikum Sains.

Prestasi pelajar belum dapat dipastikan akan cemerlang sekiranya masih menggunakan pembelajaran maya. PdP di sekolah membolehkan guru meningkatkan prestasi pelajar dengan cepat dan mengekalkan momentum kefahaman kognitif pelajar pada tahap tinggi.

Jika dibandingkan pembelajaran maya dengan bersemuka, setiap cara ini mempunyai kebaikan dan keburukan tetapi setiap pelajar khususnya bakal mengambil peperiksaan utama memerlukan panduan daripada guru.

Pembelajaran secara sistem dapat dilaksana sekiranya pelajar ke sekolah kerana pembabitan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta meningkatkan keberhasilan pelajar secara signifikan.

Kembalinya pelajar ke sekolah bukan lagi dianggap cabaran, tetapi satu rahmat dalam negara kerana pelaksanaan inisiatif dirancang kerajaan untuk meningkatkan kemahiran dan keberhasilan pelajar adalah tekal, berkesan dan memenuhi matlamat program transformasi pendidikan disasarkan.

Oleh itu, adalah dialu-alukan jalinan kerjasama semua pihak berkepentingan menggalakkan pelajar mendapat manfaat ketika berada di sekolah demi mencapai keputusan cemerlang.

Dr Mohan Rathakrishnan, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia

Pembaca yang ingin berkongsi pandangan dan membuat aduan boleh e-mel ke bhforum@bh.com.my

Berita Harian X